Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.


27 – 29 Mei 1453 Masihi

Mesej dan arahan Sultan Muhammad al-Fateh sudah sampai ke telinga semua tentera Islam. Tarikh 29 Mei sudah ditetapkan. Siap siaga, formasi dan kelengkapan senjata dikumpul. Undur sudah sirna dari kamus bala tentera Uthmaniah. Semangat ghazi mengalir ke seluruh serat-serat pembuluh darah.

Pasukan artileri masih tetap menembak dan mengebom tembok Konstantinopel sebagai strategi supaya pasukan pertahanan musuh tidak boleh berehat. Sementara batalion dan kontijen tentera darat Uthmaniah dibiarkan berehat.

Di sebelah laut pula, armada perang Uthmaniah dipastikan oleh laksamana dan komander bertugas agar bersedia dan berwaspada.

Pada sebelah malamnya, semua khemah tentera Uthmaniah dinyalakan obor dan api. Sirah perang Rasulullah (SAW) semasa menakluk kota Mekah diperikan. Mereka bermunajat dan bertakbir lantang.

Sultan Muhammad al-Fateh dan Panglima Tharhan mengelilingi semua khemah di sebelah malam. Para ulama melawat tentera dan membaca ayat-ayat al-Quran, terutamanya surah al-Anfal yang mengisahkan perjuangan jihad.

Para ulama bersepakat untuk mengisahkan peranan dan keberanian Sahabat Rasulullah (SAW), Abu Ayub al-Ansari, di malam-malam terakhir sebelum gempuran besar-besaran dilancarkan.

“Tuan-tuan yang dimuliakan Allah, Rasulullah (SAW) berhenti di rumah Abu Ayub al-Ansari ketika hijrah ke Madinah. Di sini, di tembok kota ini, jenazah beliau disemadikan. Kita akan mencari kuburnya sebaik sahaja berjaya memasuki kota ini.”

Sepanjang malam ucapan “Laa ilaaha illaAllah, Muhammad Rasulullah” bergema menjulang langit, lalu dibawa angin memasuki kota Konstantinopel. Penat hilang serta merta.

Sementara itu hati-hati musuh Islam semakin kecut dan kecil.

Berkaitan: Konstantinopel: Menjulang Panji al-Fateh | Prelude to the final assault

0 comments:


Photobucket
top