Selmi bersekolah
dalam darjah empat. Pada suatu hari dia terjumpa seekor anak kucing yang
kehilangan ibunya semasa perjalanan ke sekolah. Anak kucing itu berbunyi “miau,
miau”. Kerana berasa kasihan dengan anak kucing itu, dia mengambil dan
menyimpannya ke dalam beg sekolah. Sewaktu dalam kelas, anak gadis itu menyuruh
anak kucing itu supaya berhenti berbunyi supaya tidak dimarahi cikgu.
“Kucing, kamu jangan
bising. Nanti cikgu marah kepada aku. Kamu jangan risau, aku akan
membawamu pulang ke rumah nanti. Aku akan berikan kamu minum susu, okey?” pujuk
Selmi secara berbisik.
Sebaik tiba di rumah, saya melihat anak gadis saya membawa pulang seekor
anak kucing. Dia memegang dan mengosok-gosok badan anak kucing tersebut.
“Cantik anak kucing itu. Mana
kamu jumpa?” soal Badariah sambil tersenyum kepadanya.
“Saya jumpanya semasa ke
sekolah pagi tadi, mak. Saya ambil dan masukannya ke dalam beg saya. Mujur juga
anak kucing ini tidak mengiau semasa berada dalam kelas. Baik pula dia apabila
saya suruh dia jangan buat bising,” cerita anak Badariah itu gembira dan
tersenyum riang.
“Boleh kita pelihara
anak kucing ini, mak?” Selajur Selmi bertanya.
“Boleh. Jom kita beri
dia minum susu. Kasihan mak tengok. Tentu dia lapar dan dahaga,” Badariah
berkata sambil mengambil anak kucing itu dari dakapan Selmi.
“Mujur juga kucing ini tidak berak atau kencing dalam beg saya, mak. Kalau
tidak tentu kotor buku-buku saya,” kata Selmi sambil berjalan mengekori ibunya.
Bulu kucing itu bertompok merah dan hitam. Bahagian bulunya yang lain berwarna putih. Memang cantik
gabungan tiga warna tersebut. Badariah dan Selmi menuangkan susu yang dicampur
air ke dalam sebuah mangkuk kecil. Apa lagi, anak kucing bertompok itu terus
menjilatnya dengan laju.
“Memang sah lapar sangat
dia. Tidak tahu berapa lama dia tidak makan,” Badariah berkata semasa mencangkung
di sebelah anak gadisnya yang leka melihat anak kucing itu menjilat susu itu.
“Kita namakan kucing ini
Tompok, ya mak?” Soal Selmi memberi cadangan.
“Ya, mak bersetuju.
Sesuai dengan bulunya yang bertompok-tompok tiga warna,” akur Badariah
tersenyum memandang silih berganti di antara anak sendiri dan kucing.
“Kamu minum dahulu, ya
Tompok. Aku mahu pergi mandi,” kata anak Selmi sambil mengosok-gosok kepala si
Tompok. Anak kucing itu seakan-akan memahami namanya lantas berbunyi “miau-miau”.
Beberapa minggu kemudian, anak kucing itu semakin membesar dan manja. Sudah
pandai melompat-lompat dan bergurau senda. Setiap kali dipanggilnya, “Tompok,
Tompok”, dia akan datang berlari-lari ke arah Selmi atau ibunya. Semakin hari
semakin besar si Tompok, dan bertambah cantik dan sihat.
Tiap-tiap hari sebaik sahaja nampak kelibat Selmi pulang dari sekolah,
berlarilah si Tompok mendapatkan tuannya. Tompok akan mengesel-gesel badannya
ke kaki dan betis tuannya meminta dimanjakan. Selmi lantas mendukungnya.
Setiap selang tiga hari, Tompok akan dimandikan bersama sabun. Justeru
badannya bersih, dan bulunya juga lembut dan bertambah cantik. Badariah
tersenyum melihat betapa akrabnya seekor kucing dengan tuannya. Badariah pun
tidak kisah akan adanya seekor kucing di rumah. Dia senang hati kerana anak
gadisnya pandai menjaga dan membelai kucingnya.
@@@@@@@
Si Tompok adalah seekor kucing
yang baik. Tidur juga bersama tuannya. Di waktu malam sekiranya dia mahu berak
atau kencing, Tompok pandai mencari Badariah di bilik. Ia akan mengiau-giau di
telinga bagi mengejutkannya. Badariah memahami yang itu tandanya ia mahu keluar
berak atau kencing. Ibu penyayang itu pasti menuruti kehendaknya, lalu terus
membuka pintu. Sebaik sahaja pintu terbuka, Tompok meluru turun ke tanah.
“Hai, sungguh bertuah ada seekor
kucing yang bijak dan baik. Pandai pula berak di luar rumah,” ulas Badariah
sendirian.
Si Tompok jarang tidur di waktu
malam. Dia menjadi pemburu tikus-tikus yang berkeliaran di dalam rumah.
Tiap-tiap malam Tompok berjaya menangkap dan membunuh dua atau tiga ekor tikus.
Justeru sang tikus sudah takut mahu berkeliaran di waktu malam dalam rumah.
Kalau nampak kelibat musuh utama si Tompok itu, nescaya nyawa tikus-tikus itu
dalam keadaan bahaya.
“Mahu lari ke mana sang tikus!
Aku tahu segenap ceruk rumah tuanku ini.” Agaknya itulah kata-kata Tompok.
“Kamu jangan cuba merosakkan dan mengotorkan rumahku dan tuanku ini. Aku akan buru kalian dengan
cengkaman kuku dan gigiku yang tajam ini. Keluarlah sekiranya berani!”
@@@@@@@
Enam bulan
berselang sejak si Tompok dipelihara. Si kucing
cerdik ini sudah mengandung. Badariah dan Selmi menyediakan suatu kotak khas
bagi Tompok bersalin. Tiba masanya, Tompok melahirkan lima ekor anak.
Sepanjang kehidupan Tompok, ia
beranak sebanyak lapan kali. Pada kali kedua Tompok beranak sebanyak empat
ekor. Ada satu ketika dia melahirkan anak dua kali dalam tempoh yang singkat.
Jadi jumlah anaknya ialah sebanyak sembilan ekor. Kisahnya ialah sewaktu
anaknya yang terdahulu berumur tiga bulan, Tompok beranak lagi. Justeru jumlah
anak-anaknya yang masih kecil sembilan ekor. Memang banyak!
Badariah sediakan makanan bagi
dua generasi anak-anak Tompok sebanyak dua pinggan. Di waktu inilah, kasih
sayang dan kecerdikan si Tompok semakin menyerlah. Ia memandang sahaja
anak-anaknya makan, membiarkan anak-anaknya kenyang terlebih dahulu. Apabila
sembilan anak-anaknya sudah makan, maka si Tompok pula menyusuli makan saki
baki makanan tadi.
“Sungguh cerdik si kucingku ini,”
kata Badariah kepada Tompok sambil mengosok-gosok belakangya.
Tompok menoleh kepada Badariah
sambil mengiau dan menyambung santapannya penuh santun.
@@@@@@@
Begitulah kasih sayang sang ibu. Kucing pun tahu menilai kasih
sayang dan memberikan perhatian kepada anak-anak. Manusia pula ada yang membelasah anak-anak tanpa
belas. Ada kes kematian pula. Itu belum termasuk ibu atau bapa atau
kedua-duanya sekali yang tega membuang anak di tempat-tempat tertentu.
Manusia kalau sudah mengikut
hasutan syaitan durjana, begitulah jadinya. Binatang pun sayangkan anak. Kalau begitu, apa kategori
yang harus diberikan kepada manusia yang menyeksa dan membuang anak? Lebih
teruk dari binatang!
Tidakkah manusia
mengetahui yang anak adalah anugerah Allah yang mesti dijagai sehingga besar?
Anugerah yang diberikan adalah sebuah tanggungjawab. Takut rezeki kurang
lantaran ada anak? Mana belajar mengenai tuduhan tersebut? Itu adalah budaya
Arab Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam
Ajaran
dibawa oleh Nabi Muhammad bin Abdullah (SAW) mengandungi kasih sayang dan
cinta sesama manusia dan binatang. Setiap anak yang lahir sudah ditentukan
rezekinya.
Sekiranya
alasan membuang anak ialah kerana hasil dari perhubungan luar nikah, mengapa
anak pula yang dipersalahkan? Malu? Tahu pula perasaan malu, tetapi melakukan
perhubungan yang diharamkan oleh budaya dan agama tidak pula malu. Itulah
manusia yang tidak sedar diri. Sudahlah berdosa dengan sebuah perhubungan
haram, anak pula dibuang. Dosa yang ditanggung pasti amat besar.
Aduhai
manusia, sedarlah kita dengan amaran dan ugutan Tuhan! Perhatian kata-kata
Allah dalam ayat berikut:
“Dan
tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang
terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. tiada
Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab al-Quran ini; kemudian mereka
semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima
balasan).” (Surah Al-An’am ayat 38)
Binatang juga adalah makluk Allah
yang mesti diambil perhatian berat. Tidak boleh disakiti apa lagi dibunuh
sewenang-wenangnya. Mereka juga berhak untuk hidup dan dipelihara sebaiknya.
Ambil contoh pelakuan Nabi Muhammad (SAW) terhadap kucing dan binatang lainnya.
Ambil iktibar akan kisah seorang wanita yang dimasukkan ke dalam neraka
lantaran mengurung seekor kucing sehingga mati.
0 comments:
Post a Comment