Dua belas orang menunggu. Tiada bantuan kunjung tiba. Di mana janji
mereka itu? Apakah mereka takut dengan tentera Uthmaniah? Atau memang
pengecut sifatnya? Dua belas anggota tentera berada di Laut Tengah,
terkuntang-kanting sendirian. Hanya dua belas sahaja di situ.
“Di mana mereka?”
“Kita sudah ditipu dan dibohongi!”
“Apa tindakan kita?”
“Balik sahaja.”
“Kembali?”
“Ya, kembali ke Konstantinopel.”
Kelesuan jelas terbayang di wajah-wajah mereka. Dengan kayuhan dayung
dan tiupan angin, mereka beransur-ansur kembali ke Konstantinopel. Dalam
benak, macam-macam perasaan saling berebut mengungguli satu sama lain.
Khabar dukacita itu segera disampaikan kepada pengetahuan Giovanni Giustiniani dan Maharaja Constantine XI.
Maharaja Byzantine itu berang, lalu berkata, “Sah! Memang Kristian Latin pengecut!”
Kemudian beliau terdiam, tunduk. Beberapa ketika kemudian kedengaran tangisannya.
Maharaja Constantine XI dilanda kecewa yang sungguh galau sehingga terluah kata-kata yang meruntun hati para penasihatnya, “Dunia sudah melupakan beta. Perpaduan agama ini hanyalah palsu belaka.”
Dalam esakan tangis, beliau berlalu memasuki kamar peraduan.
Tarikh 22 Mei, kepungan yang sudah berlangsung selama 47 hari itu memberi impak kepada kedua-dua kem tentera. Yang nyata, emosi Maharaja Constantine XI terganggu dan bekalan makanan semakin kritikal.
Sementara di pihak kem Uthmaniah, mereka terus menerus mengisi masa lapang dengan beramal ibadat, berzikir, bermunajat dan membaca al-Quran. Para ulama tidak putus-putus memacu semangat juang mereka.
Syeikh Aaq Syamsuddin al-Wali bertafakur. Sujud. Munajat dengan linangan air mata. Beliau menunggu sesuatu alamat.
“Ya Allah. Ya Allah. Ya Allah. Hancurkanlah mereka dan tolonglah kami untuk mengalahkan mereka. Campakkan ketakutan ke dalam hati-hati mereka. Sungguh, ya Rabb, kuasa-Mu Maha Agung.”
Berkaitan: Catatan sisi bagi Konstantinopel: Menjulang Panji al-Fateh
0 comments:
Post a Comment