Catatan peribadi untuk
tuan editor. Kini saya kongsikan untuk para pembaca blog ini, insya-Allah.
Assalamualaikum, Tuan
Amir budiman.
Jam 5.10 am, Jumaat yang
berkat. Saya masih bertukang, menyusun aksara membentuk cerita. Maaf dipohon
justeru dateline yang diberikan agak tersasar. Semakin ke penghujung cerita,
semakin sukar.
Berikan saya sedikit
masa lagi dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Sekarang di
muka surat ke-683, insya-Allah. Untuk tatapan tuan.
@@@@@@@@@
Hasan Ulubate berada di
dalam khemah tentera elit Sipahi Anatolia. Dia dilahirkan di sebuah kampung
kecil Ulubat dalam wilayah Bursa, Anatolia. Tinggi orangnya dan pandai bermain
pedang.
Dia mengagumi kekuatan
dan kewarakan Sultan Muhammad al-Fateh sejak mula-mula mengenali beliau.
Kenangan bertarung dengan Sultan muda itu di sekitar pancutan air masih
bertakhta di dalam ruang mindanya. Titipan nasihat dan semangat dari Sultan
sentiasa menjadi obor semangat dalam misi ini. Dia sudah bersumpah yang
hayatnya hanya untuk Islam dan syahid itu cita-citanya yang abadi.
Restu tulus sudah
dipohon daripada kedua-dua orang tuanya. Kemaafan juga sudah diminta agar
segala salah dan silapnya dimaafkan oleh mereka.
Tanpa linangan air mata,
si ibu berkata, “Pergilah, duhai anak kesayangan ibu. Ibu rela dan redha. Demi
Islam dan cita-citamu, andai kamu syahid, tunggu ibu di syurga sana. Andai kamu
selamat, kembalilah ke kampung halaman. Ibu dan ayahmu sedia menanti. Usah
dirisau kami di sini. Insya-Allah, ibu dan ayah di bawah lindungan Allah. Doa
ibu sentiasa dalam dakapan cinta, walau di mana sahaja kamu berada."
Hasan Ulubate sujud
syukur. Di sebelah malamnya, dia bangun di sepertiga malam, bermunajat dan
berdoa, lirih dalam berani.
Terima kasih kerana
memahami. Tuan Amir, doakan saya dalam sujudmu.
Wassalam,
--- Web Sutera
Saya katakan kepada isteri tersayang, “Lelah
untuk menoktahkan novel ini, jauh lebih lelah berbanding dengan Macedonia: Alexander Agung – Hijab Raja Zulqarnain. Kadangkala terfikir untuk tamatkan
dengan cepat, namun bimbang menjadi anti-klimaks. Justeru itu, abang tetap
menekuninya, bait demi bait yang panjang.”
0 comments:
Post a Comment