Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

"Dan mereka bertanya kepadamu, mengenai Zulqarnain. Katakanlah: Aku akan bacakan kepada kamu sedikit tentang perihalnya. Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi mencapai tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya." (Al-Kahfi,18 :83-84)

Alhamdulillah. Subhanallah. Allahu-Akhbar! Sesungguhnya kebenaran al-Quran itu ternyata tidak dapat dikaburi hijab walau segelap mana pun, insya-Allah.


Tuan-tuan dan puan-puan boleh dapatkan buku bernuansa fantasi sejarah atau fiksyen sejarah ini semasa berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lum
pur 2012 (PBAKL 2012), dari 27 April hingga 6 Mei nanti di PWTC.

Novel ini diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. di bawah genre novel sejarah. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih atas usaha editing dan penambahbaikkan yang diusahakan oleh pihak editorial yang ternyata mampu melihat apakah yang tersurat dan tersirat dalam usaha saya ini.

Ada yang tertanya-tanya, atau mungkin ramai yang ingin mengetahui apakah maksud 'fantasi sejarah'.
Fantasi sejarah bermaksud elemen dan fakta sejarah yang digabungkan dengan unsur fantasi dan fiksyen. Ia adalah sebuah fiksyen atau novel. Fakta sejarah menjadi intipati utama. Bukan sebuah novel sejarah secara total, kerana saya memasukkan juga watak dan plot yang difantasikan dalam ruang minda. Harus difahami bahawa buku fiksyen dan non-fiksyen banyak genre dan kategori berlainan. Novel genre sebegini pula banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris oleh penerbit Barat.

Di bawah ini saya terbitkan salah satu sub-plot yang disunting dan tidak dimasukkan dalam naskhah cetakan. Semoga bermanfaat.
“Kau tahu siapa menjadi dalang di sebalik pembunuhan Raja Philip?” tanya Brutus kepada seorang rakan bualannya ketika sedang bersarapan pagi di sebuah kedai makan.

“Entahlah. Sukar untuk memutuskannya. Aku dengar ada pihak yang menuduh itu angkara Permaisuri Olympias,” jawab kawan Brutus acuh tidak acuh sambil mengunyah laju makanannya.

“Siapa cakap?” Brutus membeliakkan matanya tanda terkejut dengan tuduhan liar tersebut.


“Aku ada dengar salah seorang pembesar Macedonia yang juga kerabat diraja bertegas mengatakan Permaisuri Olympias masih sakit hati kerana perkahwinan Raja Philip dengan Eurydice. Akibat dendam yang mendalam sejak lebih setahun lepas, maka Permaisuri Olympias mengupah pembunuh bagi menamatkan riwayat suaminya. Lagi pun isteri Raja Philip yang terakhir, Eurydice, sudah bersalin anak lelaki. Dikatakan anak lelaki itu bakal menaiki takhta raja Macedonia, bukannya anak Permaisuri Olympias, Alexander,” jelas rakan Brutus tanpa berlengah.


Rakan Brutus meneruskan lagi, “Tetapi dalam mesyuarat tergempar Dewan Parlimen Macedonia-Greek tiga hari lalu, Permaisuri Olympias menafikan sekeras-kerasnya. Malah beliau menuduh pembesar Macedonia itu yang merancang pembunuhan tersebut.”


Sedang mereka rancak berbual, lalu seorang pengawal pintu Dewan Parlimen, Cloythenes dalam perjalanan ke lokasi kerja. “Tuan Cloy, singgah sekejap. Saya mahu tanya tuan ” gamit Brutus dengan muka serius.


“Boleh juga. Lagi pun shif saya bermula dalam masa satu jam lagi. Saya pasti saudara berdua mahu bertanya apa yang terjadi dalam Dewan Parlimen, bukan?”


“Iya,” Brutus dan rakannya menjawab serentak. “Terutamanya penafian dari Permaisuri Olympias,” sambung Brutus.


“Permaisuri Olympias menjelaskan bahawa memang beliau sakit hati dan berkecil hati dengan sikap mendiang Tuanku Raja Philip, tetapi tidak pula sampai sanggup membunuhnya. Lagi pun apa guna membunuh Tuanku Raja Philip di khalayak ramai di suatu temasya perkahwinan. Semua orang akan syak seseorang yang berada di situ kala itu yang menjadi perancangnya. Permaisuri berkata beliau bukannya seorang wanita yang tidak berhati perut, malah selama ini pun beliau yang banyak mengalah. Banyak aduan berkenaan perilaku kurang sihat baginda Raja Philip didiamkan sahaja,” jelas Cloythenes lancar kerana masih dapat membayangkan drama yang terjadi di sebalik dinding kukuh Dewan Parlimen Greek.

“Saya dengar pengawal muda Raja Philip yang menikam baginda pun mati diserbu beberapa kelompok yang setia kepada baginda. Pengawal itu cuba memanjat tebing tembok, tetapi segera ditarik lalu tersembam ke tanah berbatu. Dia cuba melawan dan mahu membunuh lagi, namun tidak ke mana kerana ada seseorang menikamnya dengan tombak. Benarkah?” rakan Brutus berkata seraya mengajukan soalan kepada Cloythenes tanpa berkelip matanya.

“Kelihatannya, saya kira, kes ini bakal menemui jalan buntu,” simpul Brutus. Cloythenes dan rakan Brutus mengangguk bersetuju.
Siapakah penulis yang menggunakan nama pena Web Sutera? Sila kilik di sini untuk mengetahui sedikit latar belakang beliau.

5 comments:

Night Aves said...

Salam. Nampaknya buku Hijab Raja Zulkarnain ini begitu menggiurkan saya. Saya mesti mendapatkan buku Tuan pada pesta buku kali ini.

Web Sutera said...

Assalamualaikum, sdr. Night Aves. Terima kasih atas minat untuk mendapatkannya. Alhamdulillah. Semoga bermanfaat nanti.

Muhammad Alexander said...

Tuan Muhammad Alexander, penulis buku Alexander adalah Zulqarnain memberi komen seperti di bawah:

"Selamat, Tuan Web Sutera atas karya anda, semoga naskah ini menjadi karya novel sastra Melayu kedua mengenai Zulqarnain (karya sastra pertama: Hikayat Iskandar Zulqarnain, dengan Nabi Khidir).

Terimakasih telah menggunakan buku saya "Alexander adalah Zulqarnain" sebagai rujukan utama.

Mengenai Pembunuh Raja Philip (Ayahanda Alexander Zulqarnain), saya tahu orangnya, mereka adalah Jenderal/Panglima orang kanan Philips sendiri yang bernama Parmenion dan Philotas (putra Parmenion), banyak bukti yang menunjukkan hal ini. seperti kata-kata Philotas sendiri kepada Antigone: "..dalam keadaan mabuk, beliau (Philotas) menceritakan kepada gadis (Antigone) itu yg usaha terbesar sebenarnya dilakukan oleh dirinya sendiri (philotas) dan bapanya (Parmenion), dan menggelarkan Alexander sbg remaja yg melalui usaha mereka, menikmati jawatan raja. " (lihat hlm.413 buku Alexander adalah Zulqarnain)

Night Aves said...

Saya dah sambar buku Tuan siang tadi di Pesta Buku. Tapi belum baca lagi. Mencari masa yang sesuai untuk membaca.

Web Sutera said...

Terima kasih, sdr. Night Aves. Bila usai membacanya, saya sedia untuk dikritik, insya-Allah.


Photobucket
top