Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Oleh: Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

4 Rejab
1432H - Selamat bermuktamar kepada PAS dan tahniah kepada yang diberikan amanah. PAS adalah tonggak politik negara. PAS adalah nafas umat Islam dalam berpolitik di negara ini.

Saya mengalu-alukan kenyataan YB Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut: “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.

Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS. Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari retorik negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia. Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah atau islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah (decolonization).

Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu. Apabila perkataan ‘daulah Islamiyyah’ atau Islamic state muncul, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah Islamiyyah atau Islamic state ini mula dipopular oleh para pejuang politik Islami di seluruh dunia. Disebabkan istilah ini juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang Islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.

Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik. Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata.

Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya wujud di minda, tidak mungkin pada realitinya.

Alhamdulillah, apabila gerakan Islam –sebahagian mereka - benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan. Kembali mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis, juga amalan para khalifah Islam yang mendapat petunjuk (al-Khulafa al-Rasyidin), maka mereka akhir jelas mengapa perkataan ‘negara islam’ atau daulah islamiyyah itu tidak wujud atau tidak disebut.

Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya. Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya.

Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum –sama ada hudud atau tidak- dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi. Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.

Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini - dengan kenyataan YB Presiden akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.

Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas. Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana welfare state mempunyai pelbagai gambaran. Secara umum, dunia memahami welfare state adalah negara-negara yang memakai nordic model seperti Norway, Denmark, Sweden dan lain-lain. Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.

-- Komentar asal dipetik dari blog Minda Tajdid.

Muktamar PAS ke-57 sudah ditangguhkan semalam, 6 Jun 2011. Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengesyorkan supaya Majlis Syura Ulama diperkasakan dengan 'mengaudit' kepimpinan PAS termasuk mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar disiplin parti. "UMNO sedang menghadapi sakaratul maut."

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Mohamad Sabu sememangnya merupakan pemimpin PAS yang dibenci oleh UMNO kerana memiliki kehebatan tersendiri.

Demi Islam, semua gabungan pimpinan adalah bagus. Saya sebagai salah seorang umat yang cintakan perjuangan harakah Islamiyah, bukan sahaja mahu pimpinan Islamik, malah yang terlebih utama ialah KEPEMIMPINAN ISLAM demi masyarakat Malaysia yang harmoni dan merintis jalan ke syurga abadi, insya-Allah. Tahniah. ALLAHU-AKHBAR!

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat membayangkan saf kemimpinan baru PAS yang dipilih pada muktamar ke-57 parti itu menjadikan jalan menuju ke Putrajaya makin jelas.

Bercakap ketika ditemubual Harakah dan Harakahdaily, beliau yakin kabinet baru PAS itu mampu melakar masa depan baru untuk PAS khususnya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

"Jalan menuju Putrajaya makin jelas. Jangan ada jual kad pengenalan, bagi kepada warga asing mengundi, insya-Allah."

Memetik kata-kata Yang Dipertua PAS Pandan, Selangor, Tuan Iskandar bin Abdul Samad, "
Seseorang yang mempunyai kualiti, ilmu, kepakaran, komitmen dan visi untuk memikul sesuatu tanggungjawab wajar diberi peluang tidak kira seorang ulamak atau profesional. Tetapi sesuai dengan peranan PAS hari ini yang bukan hanya memimpin orang Islam atau orang Melayu sahaja, pemimpin PAS mestilah berupaya untuk memimpin rakyat yang berbilang kaum."
BAB 1

1 Rejab 1432H - Saya dilahirkan di sebuah kampung terpencil di daerah Besut, Terengganu. Mengikut surat perakuan beranak seperti yang tercatat di Borang A, Negeri-Negeri Tanah Melayu (Perakuan Beranak), saya menghirup udara dunia pada jam 5.00 pagi tanggal 29 Mei 1968.

Terima kasih khusus untuk bonda kerana dengan susah payah melahirkan saya sebagai anak pertama dari perkongsian cinta bersama ayahanda. Dalam surat beranak itu juga tercatat bahawa pekerjaan ayahanda
ialah menanam padi dan nama kampung tempat tinggal bonda ialah Kampung Jebak. Tarikh pendaftaran beranak ialah pada 4 Jun 1968.

Surat perakuan beranak itu juga ada tertera suatu undang-undang yang berbunyi, “Saya yang bertandatangan di bawah ini, dengan ini memberi notis kepada tuan/puan bahawa anak tuan/puan Hizamnuddin Bin Awang hendaklah ditanam cacar dalam tempoh enam bulan dari tarikh ia dilahirkan dan jika tuan/puan mungkir berbuat demikian maka tuan/puan akan dikenakan denda sebanyak 1,000 ringgit.” Tandatangan insan yang mengeluarkan surat beranak ialah Tuan Roslan.


Terima kasih juga saya ucapkan kepada Tuan Roslan. Saya tidak pasti sama ada penandatangan tersebut masih hidup ataupun sudah meninggal dunia. Semoga Allah memberkati kehidupan beliau di dunia, apa lagi di negeri kekal abadi akhirat. Undang-undang yang tertera di atas sudah ditunaikan oleh bonda dan ayahanda kerana kesan tanam atau mencacah cacar ke dalam salur darah saya kekal sampai sekarang di bahu sebelah kiri. Parut sebesar duit syiling 20 sen. Saya tidak boleh membayangkan denda sebanyak RM1,000 sekiranya kedua-dua bonda dan ayahanda tidak menjalankan tanggungjawab itu. Di manakah atau bagaimanakah mahu dicari duit sebanyak itu di tahun 1968?


Di rumah papan satu bilik saya dibesarkan. Lokasi rumah kami sekeluarga berada di belakang rumah Mak Teh dan Pak Teh. Di sebelah kirinya ada kebun buahan-buahan. Sementara di sebelah kanannya ada kebun getah dan hutan kecil yang bersempadan dengan tanah perkuburan Kampung Jebak Puyoh. Ya, nama kampung sebenar ialah Kampung Jebak Puyoh. Mengikut cerita orang-orang tua, nama kampung diambil bersempena kegiatan menjebak atau menangkap burung puyoh yang memang banyak terdapat di persekitarannya sewaktu mula-mula penempatan diterokai.


Kampung damai dan menyegarkan ini berjiran dengan Kampung Hutan Nangka, Kampung Kubang Depu, Kampung Pulau Panjang dan beberapa buah kampung lagi. Hampir kesemua warga Kampung Jebak Puyoh berkerabat, sama ada kerabat terdekat, para sepupu dan dua pupu ataupun bersemenda melalui perkahwinan.


Sekeliling Kampung Jebak Puyoh dan kampung-kampung berjiran dilatari dengan petak-petak sawah padi. Itulah antara harta yang dimiliki oleh penduduk kampung yang diwarisi semenjak penerokaan tanah berlaku. Saya tidak mengetahui tarikh sebenar bilakah pendudukan asal kampung. Namun sedikit info yang diperoleh ialah Kampung Jebak Puyoh diterokai oleh sekumpulan orang Melayu dari Patani, Thailand yang diketuai oleh Tok Janggut. Sudah menjadi fonomena biasa akan penghijrahan orang-orang Melayu memasuki dan bermastautin di Tanah Melayu sebelum merdeka. Sesungguhnya negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu memang menjadi antara negeri penghijrahan orang-orang Melayu dari Yala, Narathiwat dan Patani di selatan Thailand. Justeru susur galur salasilah keluarga saya berasal dari sana.

Berkaitan:
Travelog: Dari Pinggitan ke Kota Metropolitan - Catatan awal
29 Jamadilakhir 1432H - Saya ingin menyampaikan sekuntum ucapan terima kasih di atas kesudian para pembaca mengikuti fragmen novel fantasi sejarah berjudul Alexander Agung: Hijab Raja Zulqarnain yang diterbitkan di laman web Penulisan2u dan Facebook. Banyak galakan yang diterima secara nyata melalui komen-komen membina.

Di entri ini, saya pautkan kembali fragmen-fragmen tersebut. Saya sangat mendambakan komen, kritikan dan sebarang ujana dari para sahabat dan pembaca blog ini. Silakan, saya membuka gelanggang.


(1) “Aristotle, beta berharap kamu dapat mendidik anakanda beta Alexander dalam segala bidang kemahiran yang kami miliki,” titah Raja Philip kepada Aristotle ketika baginda mengunjungi tempat persembunyiannya. Aristotle terpaksa melarikan diri dan bersembunyi di suatu lokasi rahsia bersama isteri setelah ditangkap penguasa Asia Kecil bagi dibunuh.


“Baik, Tuanku. Saya sangat berbesar hati dengan undangan dari istana Tuanku,” akur Aristotle dengan wajah berseri-seri.


Aristotle diselamatkan oleh askar-askar Raja Philip dan membawa beliau ke istana Macedonia.


LAGI >>


(2)
“Sila semua pengawal tinggalkan beta,” titah Raja Philip kepada semua pengawal peribadinya bagi mempastikan para tetamu senang dengan baginda tanpa kawalan. Hanya dua orang puterinya, anak lelakinya Alexander dan bakal menantunya menemani baginda memasuki dewan khas.


Raja Philip tidak sempat memasuki pintu masuk dewan. Di hadapan pintu gerbang yang dihias indah, seorang pengawal peribadi muda melanggar perintah baginda dan berlegar-legar santai di belakang pegawai-pegawai istana. Sebaik sahaja Raja Philip menghampiri pintu gerbang di hadapan pintu masuk dewan, lelaki itu bergerak pantas dan terus membenamkan mata pisau Celtik ke bahagian rusuk baginda.

LAGI >>

(3)
“Aku ada dengar menantunya, raja negeri Epirus, bertegas mengatakan Permaisuri Olympias masih sakit hati kerana perkahwinan Raja Philip dengan Eurydice. Akibat dendam yang mendalam sejak lebih setahun lepas, maka Permaisuri Olympias mengupah pembunuh bagi menamatkan riwayat suaminya. Lagi pun isteri Raja Philip yang terakhir, Eurydice, sudah bersalin anak lelaki. Dikatakan anak lelaki itu bakal menaiki takhta raja Macedonia, bukannya anak Permaisuri Olympias, Alexander,” jelas rakan Brutus tanpa berlengah.


Rakan Brutus meneruskan lagi, “Tetapi dalam mesyuarat tergempar Dewan Parlimen Greek tiga hari lalu, Permaisuri Olympias menafikan sekeras-kerasnya. Malah beliau menuduh pula menantunya yang merancang pembunuhan itu.”


LAGI >>


(4)
Ini adalah kebiasaan budaya tertentu sejarawan Yunani untuk menjelaskan perihal perkara asing, sudut kepercayaan mereka, cara dan kebiasaan dari perspektif etnosentris. Mereka melihatnya dari sebuah lensa Greek Yunani pagan.

Seumpama tuhan Krisha penganut Hindu yang digambarkan oleh sejarawan Yunani sebagai Heraklius tuhan Greek yang disembah penganut Hindu atau bahawa orang pagan Mesir menyembah dewa Zeus, Apollo dan Ammon.


Anak-cucu manusia sekalian, ketahuilah bahawa sehingga ada kemungkinan bahawa ketika Alexander menyembah satu Tuhan, atau ketika dia menggambarkan nama dan sifat yang berbeza, atau ditawarkan penyembelihan binatang kepadaNya, para sejarawan Yunani menggambarkan bahawa seolah-olah dia menyembah Zeus atau Heraklius atau Ammon.


LAGI >>


Fragmen ke-6. Fragmen ke-7. Fragmen ke-8. Fragmen ke-9.

Lusiana Catering: Kisah, aktiviti dan suka duka

top