Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

15 Jamadilakhir 1432H - Semasa di matrikulasi dan universiti, moto saya ialah "Rock tetap rock. Studi tetap studi. Ibadah tetap ibadah." Walau se-rock mana pun, ilmu agama itu amat penting. Akhirnya ke pangkal jalan Ilahi juga kita akan kembali, insya-Allah. Kenangan menyusuri denai (jalan kecil) yang di kiri kanannya ada kandang babi menjelma di ruang minda. Denai menuju ke tapak Pesta Pulau Pinang. Berjalan rapat-rapat bersama beberapa rakan untuk menonton konsert rock!
-----------------------------------------------------------------------------------------

Dengan nama Allah. Saya khatam Quran hanya sekali semasa bersekolah menengah. Di masa bujang tatkala belajar di universiti dan awal dunia karier, saya menjadi leka untuk menatap kitab Allah itu, hanya sekali-sekala.

Selepas berkahwin, dengan bantuan isteri, saya membetulkan semula tajwid bacaan. Alhamdulillah. Kesyukuran memenuhi nubari dikembalikan kepada Allah, sudah beberapa tahun saya khatam Quran paling kurang dua kali setahun. Pastinya sekali dalam bulan Ramadan. Nikmatnya! Ayuh teman, jom baca dan tadabur Kitabullah.


Teman, mencari dunia tidak akan ada sudahnya. Saya sudah alaminya. Dengan Quran dan cinta Allah, saya bermuhasabah. Bukan niat saya untuk riak atau takbur, sekadar meluah rasa dari lubuk jiwa. Jadikan ianya teladan, insya-Allah. kalau rindu jemba di lubuk nubarimu, ambil wuduk, baca Quran. Paling kurang dua halaman kitab suci seusai salah satu solat fardu 5 waktu. InsyaAllah, dengan mengingati Allah, hatimu menjadi tenang.
------------------------------------------------------------------------------------

Darjah keimanan ada turun dan naik. Jika di tahap tinggi, solat Asar empat rakaat dan Subuh dua rakaat terasa teramat sebentar. Jiwa meronta-ronta meluahkan keinginan sangat-sangat agar dapat dipanjangkan lagi. Tatkala darjah iman di tahap rendah pula, terasa solat Subuh dua rakaat panjang. Solat amat sukar didirikan jika jiwa dibelenggu syaitan durjana! Subhanallah. Ya Allah, ampunkan daku yang hina ini dan sering terlupa.

Umur terus melarikan diri dari tuan empunya badan. Umur lari tidak akan kembali lagi, seolah-olah membenci tuannya. Tetapi semangat saya kekal muda dalam perjuangan demi Islam yang didambakan. Saya muda demi sebuah Malaysia yang jauh lebih baik dari sekarang.

Teman, satu tip untuk kekal muda dan tidak nyanyuk. Baca, telaah dan tadaburlah Quran dan buku-buku yang baik, insyaAllah. Belajar dari sejarah, itu suruhan Allah.
------------------------------------------------------------------------------------------

Insan yang pernah susah akan mengetahui bagaimana peritnya cubaan itu. Manusia yang sentiasa senang tanpa ujian tidak akan dapat merasai isi nubari insan tersepit. Berikan ruang di mana boleh dalam sela buana tidak mutlak fana ini. Tidak membantu dan tidak dapat menghulurkan tangan untuk membantu satu hal. Menempelak tanpa usul periksa satu hal yang berlainan. Kita perlu bermuhasabah, insya-Allah.

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai, dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisaa’ ayat 1)
----------------------------------------------------------------------------------------


Suatu ketika. Usai bersolat di sebuah surau di Pandan Perdana, Selangor, saya melihat seorang dewasa (mungkin seusia saya), sedang mengulangkaji bacaan Quran bersama guru. Guru itu mendengar bacaan anak muridnya dengan tekun dan membetulkan setiap kesalahan bacaan. Insan dewasa itu memang lancar bacaan Qurannya. Saya memahami bahawa dia mengulangkaji bagi membetulkan tajwid. Dalam hati, saya tabik spring kepadanya. Saya pula membetulkan tajwid bergurukan isteri sendiri. Alhamdulillah, dewasa ini amat sukar meninggalkan Quran tanpa ditadabur.


Campakkan keegoan untuk tidak terus berguru, walau dengan siapa pun, jauh ke dasar lautan. Nyahkan sangkaan bahawa diri sudah sempurna, tidak mahu berguru lagi. Baca, belajar dan tadabur Quran, hadis Rasulullah dan buku / novel yang baik.


(Foto buku: Sebahagian daripada koleksi buku saya yang dibeli sepanjang bulan November 2010)

0 comments:


Photobucket
top