Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

KRONOLOGI PENGEMBARAAN ALEXANDER

Bab 8

Dalam Kitab Cahaya Bersinar berkulit kambing gunung……

Wahai anak cucuku, sebagai seorang penakluk yang adil Alexander adalah salah seorang insan mulia tercatat dalam sejarah kemanusiaan. Dia telah menyesuaikan taktik baru dan mencipta bentuk-bentuk inovatif dari peperangan, seperti pertempuran melawan kaum nomad Shaka, atau terhadap gerembolan tentera bergajah.

Strateginya adalah ramah dan imaginatif, dan dia tahu bagaimana menggunakan peluang yang muncul di setiap pertempuran bagi menentukan kemenangan bagi yang hak. Dalam satu peperangan, Alexander mempunyai 40,000 perajurit dalam pasukannya. Sebagai seorang general perang dan pemimpin, Alexander erat terlibat dengan peperangan bersama anak buahnya. Tidak seperti kebanyakan general atau penguasa, dia tidak tinggal di sisi defensif dari serangan itu untuk memastikan keselamatannya, melainkan bergabung dengan orang-orangnya dan membawa mereka kepada serangan.

Ketahuilah wahai anak cucuku, dalam rangka menjaga semangat di antara anak buahnya, dia membiarkan mereka yang baru saja menikah untuk pulang ke rumah dan melihat keluarga mereka beberapa ketika. Setelah pertempuran reda, dia secara peribadi akan pergi berkeliling ke khemah-khemah rumah sakit dan berbicara dengan orang-orangnya yang telah terluka dalam pertempuran dan membolehkan mereka untuk berbangga betapa beraninya mereka.

Ketika orang itu tewas dalam pertempuran, dia akan memberikan bantuan keluarga mereka dari cukai tanah dan perkhidmatan peribadi. Dia juga memberikan hiburan dalam bentuk permainan selepas pertempuran di mana para pemenang akan menerima hadiah yang diberikan olehnya.

Alexander adalah salah seorang general terbesar sepanjang masa, terkenal kerana kecerdasannya sebagai pemimpin politik. Sebagai negarawan dan penguasa dia melatih ribuan pemuda Parsi dalam dunia persaudaraan semua manusia.

Fasa 2, Bahagian ke-58, halaman 310.

---------------------------------------------------------

Sempena pengkebumian diraja untuk mendiang Raja Philip, Alexander mengarahkan supaya jenazah ayahandanya diuruskan sebaik mungkin. Sebaik sahaja dia ditakhtakan sebagai Raja Macedonia, Alexander berdiri di sebuah kawasan lapang yang ditinggikan oleh satu pelantar. Di hadapannya kerumunan tentera berperisai, unit askar berkuda dan rakyat jelata menunggu penuh sabar. Alexander ditemani oleh beberapa pembesar negara. Raja Macedonia itu memakai jubah diraja dan mahkota. Tidak berapa lama kemudian trumpet ditiup dan sejurus itu puluhan ribu bala tentera dan rakyat melaungkan, “Daulat Tuanku, Raja Macedonia!”

Bersama kuda perang kesayangannya, Bucephalus, Alexander menuruni pelantar menuju ke celah-celah rakyatnya yang memberikan sokongan padu atas pelantikannya sebagai pengganti Raja Philip. Walaupun negara Macedonia baru sahaja kehilangan seorang raja dan masih diselubungi kesedihan, namun sebuah negara mesti meneruskan kewujudannya. Itulah yang ditunjukkan oleh kerumunan di padang lapang tersebut. Sokongan mereka kepada Alexander tidak berbelah bahagi. Paling tidak, itulah tanggapan Raja Mecodonia yang baru berusia 20 tahun itu.

Di saat bersendirian di awal malam selepas acara penabalan menaiki takhta Raja Macedonia di siang hari itu, Alexander mengimbau beberapa kenangan terindah bersama ayahandanya Raja Philip. Peristiwa akan kedatangan seekor kuda menjelma di tubir mata.

Pada waktu itu ada seorang rakyat membawa seekor kuda hitam bagi dijual kepada Raja Philip. Ketika itu hari panas terik.

“Alamak! Kuda hitam itu sungguh liar. Cuba kau lihat, beberapa orang askar cuba untuk menunggangnya tetapi ia tidak berjaya dikekang,” kata seorang pemerhati di kalangan pengawal diraja kepada rakan di sebelahnya.

Apabila melihat situasi itu, Alexander lantas berjalan ke arah kuda tersebut. Dia mendongak ke langit melihat matahari. Tahulah Alexander bahawa kuda hitam itu ketakutan dengan bayang-bayangnya sendiri. Dia memalingkan sang kuda ke arah matahari supaya ia tidak dapat melihat bayang-bayangnya sendiri. Alexander mengusap-gusap belakang dan kepala kuda hitam itu. Sebaik sahaja melihat kuda itu mula tenang, dia melompat ke atas badan kuda dan terus menunggangnya dengan selesa. Kuda memecut laju.

Orang ramai bersorak keriangan dan penuh kagum. “Alexander memang bijak. Kuda liar itu boleh dijinakkannya,” kedengaran satu suara.

Sebaik sahaja Alexander kembali dan turun dari kuda itu, Raja Philip mendekatinya lantas memeluk erat dan berkata, “Wahai anakanda, anakanda memang hebat. Ini nasihat ayahanda. Cari dan bukalah kerajaan anakanda sendiri kerana negara Macedonia tiada ruang bagi kehebatanmu itu.”

“Terima kasih, ayahanda. Anakanda memberikan nama kuda ini Bucephalus,” kata Alexander sambil menunduk hormat di hadapan Raja Philip. “Adakah kamu menyukai nama itu?” Tanya Alexander kepada Bucephalus. Sang kuda hitam itu lantas merengkek sambil mengangguk-anggukan kepalanya. Raja Philip tersenyum bangga dan orang ramai bersorak riang, terus mengucapkan tahniah kepada Alexander.

“Ayahanda, anakanda merinduimu,” rintih Alexander sambil cuba untuk melelapkan mata. Air matanya menitis lagi. Pilu namun reda akan ketentuan Tuhan yang Esa.

--- Akan bersambung, insya-Allah, (19 Syaaban 1432H).

** Hakcipta Terpelihara 2011 Hizamnuddin Awang. Plagiat adalah haram hukumnya dalam agama Islam.

0 comments:


Photobucket
top