Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

1 Ramadan 1432H - Dalam usaha meraih cinta Allah, nafsu sering sahaja melorongkan ke liku-liku denai yang kelam. Dalam usaha memimpin dan menjamah rezeki anugerah Allah, kadang kala tuntunan syaitan cuba melencongkan ke jurang neraka. Oleh itu berdoalah supaya ditetapkan hati kita kekal di jalan-Nya nan satu.

Jangan dikutip duri beracun yang dipandang indah oleh nafsu di dunia. Kelak ia bergumpal menjadi bara neraka yang panasnya hanya Allah jua yang Maha Mengetahuinya. Aku memohon keampunan-Mu, ya Allah.


Amalkan banyak membaca di bulan mulia ini, terutamanya al-Quran, buku agama serta terjemahan dan tafsir al-Quran. Masyarakat Islam di Malaysia kurang memberi perhatian berat dalam perihal ini. Apa yang selalu menjadi budaya ialah pesta makanan, mengisi perut dan bermula dari pertengahan Ramadan, mula berbelanja untuk persiapan Aidilfitri.

Sahabat aku, Tuan Abang Long, membalas status FB, "
Bila kita dekat dengan al-Quran dan memahami isi kandungannya, barulah kita tahu bagaimana hendak memilih pemimpin ummah. Islam itu luas dan hebat.

Islam itu juga mudah dan amat sesuai dengan fitrah kejadian makhluk manusia dan alam. Cuma manusia yang kerap tersasar dalam mencari sistem keadilan dan nilai.


Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam) berkata, "Terimalah dengan penuh kerelaan apa sahaja yang telah Allah berikan kepadamu, nescaya kamu menjadi manusia paling kaya."

0 comments:


Photobucket
top