Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

23 Zulhijjah 1431H - Sayyid Qutb ialah satu nama besar dalam sejarah pemikiran gerakan Islam pada abad ke-20. Sejak kematiannya pada tahun 1966, karya-karyanya telah disebarkan dan menjadi inspirasi kepada pendokong-pendokong gerakan kebangkitan Islam di seluruh dunia. Ianya telah menawan pemikiran dan komitmen generasi muda Islam untuk bekerja untuk Islam.

Nama sebenar Sayyid Qutb (29 Ogos 1966 - 29 Ogos 2010) ialah Sayyid Qutb Ibrahim Hussain Shazali dan beliau berasal daripada keluarga yang berada dan dihormati di kampungnya di Moshah dalam wilayah Assyut di hulu Mesir. Beliau dilahirkan daripada rahim seorang muslimah yang menyintai al-Quran. Ayahnya sangat mementingkan soal agama dan telah memberikan pengaruh kehidupan beragama yang sangat besar terhadap Sayyid Qutb.


Oleh kerana asuhan keluarganya yang menitik beratkan pendidikan al-Quran, maka Sayyid Qutb semenjak kecil lagi telah mengahafal al-Quran dan beliau telah menghabiskan hafalannya ketika berusia 10 tahun. Dalam usianya 14 tahun, beliau telah berangkat ke Kaherah untuk menyambung pelajarannya dan beliau mendapat pendidikan tinggi di Darul Ulum. Beliau mengambil kursus-kursus bahasa Arab dan kesusasteraan, ulum al-Syariah, sejarah dan ilmu pendidikan. Pada tahun 1933, Sayyid Qutb telah berjaya menamatkan pendidikannya di Darul Ulum dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Diploma Pendidikan.


Beliau telah memulakan kerjayanya sebagai guru di Bani Suif dan telah menceburi bidang kesusasteraan kerana minat beliau dalam bidang ini begitu mendalam. Sayyid Qutb adalah seorang penulis yang prolifik. Selain daripada menulis tentang tafsir al-Quran, beliau telah mengarang sebanyak 24 buah buku serta banyak menyumbang karya-karyanya kepada majalah terutama majalah Ar-Risalah.

Sayyid Qutb pernah dihantar oleh kerajaan Mesir ke Amerika Syarikat untuk mengkaji sistem pendidikan tinggi di sana. Kehidupannya di Amerika Syarikat walaupun singkat, telah memberi Sayyid Qutb beberapa pengalaman hidup dan pengajaran yang sangat penting seperti melihat prejudis kaum yang dahsyat di Amerika dan juga sokongan Amerika kepada penubuhan Israel yang cukup menyentuh perasaan Sayyid Qutb.


Kebejatan nilai dan keruntuhan akhlak serta tamadun kebendaan masyarakat Barat telah memberikan Sayyid Qutb satu pandangan semula tentang paradigma perjuangan. Beliau merasa mual dengan tamadun Barat yang kosong spiritual. Beliau mula rasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk memperjuangkan Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh Imam Hassan Al-Banna.


Syed Qutb telah meletakkan jawatannya sebagai pegawai pendidikan apabila balik semula ke Mesir dan telah menyetai Ikhwanul Muslimin. Di awal penggabungannya dengan Ikhwan, sesuai dengan bakat dan kebolehannya dalam penulisan, beliau telah banyak menulis topik-topik berkaitan dengan Islam serta membandingkan dengan ideologi-ideologi seperti Komunis, sekular, fahaman kebangsaan dan kapitalisme. Beliau telah memperkenalkan Islam sebagai alternatif kepada kegagalan ideologi dan tamadun Barat.


Sayyid Qutb telah ditahan bersama-sama dengan ahli-ahli Ikhwan yang lain termasuk Zainab al-Ghazali, Fattah Ismail, Hamidah Qutb dan Kamal Saniri pada tahun 1954. Mereka telah dituduh merancang untuk membunuh Gamal Abdul Nasser dan ternyata tuduhan ini adalah sangat jahat untuk menghalalkan kejahatan regim Mesir. Beliau telah dibicarakan dan telah dijatuhkan hukuman penjara dengan kerja berat selama 15 tahun. Dalam penjara inilah beliau telah menghasilkan karangannya tentang tafsir al-Quran dan beberapa buah buku lain.

Penjara tidak pernah mematahkan daya juang dan semangat yang ada pada dirinya untuk menyatakan kebenaran. Jeriji penjara adalah nyanyian bisu yang melantunkan api semangat dan pencerahan. Setelah 10 tahun di dalam penjara, Abdul A’rif Al-Salam iaitu Presiden Iraq telah merayu kepada Gamal Abdul Nasser untuk membebaskan Sayyid Qutb, dan beliau telah dibebaskan.


Beliau tidak serik untuk berdakwah dan meninta ilmu untuk mencerahkan akal manusia terutama beliau adalah ikon kepada aktivis muda Ikhwanul Muslimin. Regim Mesir dengan seluruh kekuatan aparat keamanan sentiasa mengintai pergerakan beliau dan teman-temannya.


Sayyid Qutb sekali lagi ditahan iaitu tidak sampai setahun setengah daripada tahun pembebasannya sebelum itu. Kali ini bukan untuk menerima hukuman penjara tetapi hukuman gantung sampai mati bersama-sama dengan 2 orang rakannya yang lain. Tarikh 29 Ogos 1966 , menyaksikan kesaksian sebuah ikrar perjuangan sang mujahid dakwah, beliau tidak mahu merayu diatas hukuman yang telah dijatuhkan.


"Kezaliman walau sekuat mana pun akan hancur. Kebenaran walaupun kelihatan lemah namun ia akan muncul", tekad Sayyid Qutb bergema menyuluh buana jihad.
Semboyan kebenaran akan terus memekik dan mencabar kezaliman thaghut di sepanjang zaman.

*** (Tulisan asal oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor, pendakwah dan penulis).
Buku Ustaz Riduan: Gaza Menangis dan Duka Aceh Luka Kita.

Beberapa Studi Tentang Islam

Buku Beberapa Studi Tentang Islam yang merupakan terjemahan dari
درسات إسلامية adalah salah satu karya Sayyid Qutb. Buku ini sangat bermaklumat dan berpengaruh bagi memahami apa itu sebuah pergerakan Islam.

Terdapat 36 bab dalam buku ini yang sebenarnya merupakan makalah-makalah terpisah Sayyid Qutb yang ditulis pada waktu belainan. Namun, setelah digabungkan secara sistematik ia menjadi sebuah buku yang memiliki alur pemikiran yang padat.


Sayyid Qutb memang seorang ideolog dakwah yang produktif menulis. Selain buku Beberapa Studi tentang Islam ini, banyak kedapatan buku-bukunya yang sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan Indonesia moden. Saya akan cari buku-buku beliau yang lain dan memberikan info di blog ini, insyaAllah.


Buku Beberapa Studi Tentang Islam boleh dimuat turun dari sini. E-buku ini dalam format PDF.

2 comments:

Welma La'anda said...

saya suka mengumpul tulisan Syed Qutb. Tetapi apabila membacanya, Ya Allah, rasa payah sungguh. Bahasanya terlalu tinggi.Kelemahan saya untuk memahaminya.

Web Sutera said...

Assalamualaikum, Cikpuan Welma. Doa saya semoga cikpuan sentiasa di bawah payung cinta Allah dan dilimpahi rahmatNya yang sebesar buana. Amin ya Allah ya Rabbal 'Alamin. Teruskan berjuang dengan sedaya yang termampu menurut kaedah masing-masing, insyaAllah.

Saya kira bukan penyampaian Sayyid Qutb yang sukar difahami. Saya tidak memahami bahasa Arab secara menyeluruh, jadi versi terjemahan bahasa Melayu dan Indonesia yang menjadi bacaan saya. Ya, isu terjemahan yang berbelit-belit yang sering saya utarakan di blog ini menjadi penyebab utama.

Diharap supaya penerbit PTS, Kemilau Publika dan Rijal Media melihat-lihat buku-buku mujahid ini supaya masyarakat Islam dapat mencicip isu perjuangan yang diajukan. Ketiga-tiga penerbit ini memiliki daya menggubah isu tatabahasa tunggang-langgang kepada bentuk bahasa Melayu kontemporari dan mudah difahami.


Photobucket
top