Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Entri ini saya ingin menyorot dua buah buku yang berlainan, tetapi ia menyentuh hati nurani saya, iaitu Duka Aceh Luka Kita (Ustaz Riduan Mohamad Nor) dan A History of God (Karen Armstrong).

Buku pertama memang sukar untuk dibeli. Seingat saya buku Duka Aceh Luka Kita boleh diperoleh di Pustaka Mukmin di Jalan Tunku Abdul Rahman dan di kedai internet U Wise Enterprise. Sementara buku kedua pernah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mari baca sorotan dan sedikit isi kandungan kedua-dua buku ini. Insyaallah, semua yang baik datang dari Allah.

Duka Aceh Luka Kita

Ingatan kita seakan disentap kuat terhadap Aceh dengan tragedi 26 Disember 2006 lalu yang menggegar dunia. Walaupun di penjuru alam lain turut diasak dengan tsunami namun ianya tidak sama dengan simpati kita yang mendalam terhadap Aceh.

Ya, Aceh bukan nama asing bagi sebahagian besar kita yang sejarahnya kita terpaksa menekuninya dari celah-celah lembaran buku Tamadun Islam sama ada di bangku sekolah atau Universiti. Aceh adalah warna warni kehidupan yang ditoreh dengan darah merah pertembungan.
Mulai perang panjang menentang kafir Belanda, perlaksanaan Daerah Operasi Militer (DOM) di zaman Soeharto yang tidak sedikit menelan korban sehingga api kebencian tidak mampu dipadam dalam masa terdekat. Kini bumi Acheh sebahagiannya menjadi padang jarak padang tekukur dengan korban tsunami lebih daripada 200,000 orang manakala ratusan ribu yang lain kehilangan tempat berteduh dan mata pencarian.

Sungguh teman! Duka Aceh adalah luka kita bersama kerana kita mengusung panji akidah yang satu. Bukankah bumi ini pernah bersimbah dengan darah syuhada menentang penjajah kafir Belanda dan di dada bumi pernah tertegak ketuanan Islam yang namanya wangi ke seluruh alam.

Taman-taman ilmunya pernah dilestarikan oleh ulama-ulama besar seperti Sheikh Samsuddin Al-Sumaterani, Sheikh Abdul Rauf Singkel, Sheikh Hamzam Fansuri. Dari kolam madrasah dan pesantrennya pernah mengalirkan ilmu ke pelosok nusntaranya ketika kafir Portugis menerjah rakus akidah umat Islam. Pautan berita: Pemimpin Aceh dalam buangan kembali.

A History of God

Karen Armstrong, penulis buku A History of God memberi gambaran akan kekecewaannya sebagai paderi Katolik Rom dalam memahami sifat tuhan secara subjektif. Bagi beliau, gagasan manusia tentang tuhan mempunyai sejarah yang berbeza antara generasi yang berbeza dan ada kalanya saling tidak kena antara satu sama lain.

Dalam bab tentang Keesaan: Tuhan Islam, Amstrong menulis tentang keyakinannya terhadap agama Nabi Muhammad (Sallallah-hualaihiwassallam) yang dikenal dengan nama Islam. “Islam bermaksud bahawa kaum Muslim wajib melahirkan masyarakat yang adil dan setara dengan keadaan orang miskin dan lemah diperlakukan setara, selain juga tegas dalam membincangkan soal ketuhanan.”

0 comments:


Photobucket
top