Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Saya memang suka membaca kisah-kisah nabi dan rasul yang dibukukan oleh beberapa penerbit di Malaysia dan Singapura dalam bahasa Melayu, juga sirah Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam). Pengajaran sudah pasti teramat banyak. Kebanyakan dari buku sirah Nabi Muhammad (Sallallahhu’alaiwasallam). adalah terjemahan asal dari bahasa Arab.

Para
penterjemah yang semestinya mahir berbahasa Arab melaksanakan inisiatif menterjemah ke dalam bahasa Melayu. Satu usaha yang harus diteruskan.

Saya ada memiliki beberapa kitab sirah dan lain-lain buku yang berkaitan Islam dalam bahasa Melayu. Sayangnya buku-buku yang diterjemah itu berbau Arab. Kalau sudah berbau Arab pastinya banyak kesalahan nahu dan ayat yang tunggang-langgang untuk versi bahasa Melayu.

Walaupun begitu, saya tetap menghabiskan suatu buku bila sudah mulai membacanya. Cumanya kadang-kadang minda saya sedikit tergeliat untuk cuba memahami setiap ayat atau perenggan yang dibaca. Dan sistem ejaan untuk nama-nama sahabat Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam), misalnya, amat berbeza di antara satu buku dengan satu buku yang lain. Kenapa terjadi begini?

Saya baru selesai membaca buku karangan Roziah Sidek terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd bertajuk Genius Muhammad Bin Abdullah. Amat lain rasanya, ditambah pula pendekatan sorotan sirah yang amat berbeza.

Buku Genius Muhammad Bin Abdullah menerangkan Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam) sebagai seorang genius yang pakar dalam bidang-bidang: ilmu diplomasi, strategi perang, perhubungan sosial, reformasi sosial, undang-undang dan tatanegara, pembangunan sumber manusia, ilmu politik, psikologi, kekeluargaan dan lain-lain lagi.

Buku terbitan tahun 2004 ini dibahagikan kepada 12 bab utama. Penggunaan bahasa Melayu yang menarik dan mudah difahami, walaupun wujud ayat berulangan di sana-sini. Mungkin itu terjadi kerana penulis mempunyai alasan tersendiri dalam merujuk kepada fakta sejarah bagi setiap kejadian dalam menghuraikan sikap dan teladan Muhammad Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam).

Buku ini boleh dimiliki oleh semua peringkat pembaca, terutamanya golongan dewasa yang ingin melihat secara sepintas lalu sirah manusia teragung sepanjang zaman, Muhammad Bin Abdullah. Walau apapun, elok selepas itu memiliki buku sirah sepenuhnya.

0 comments:


Photobucket
top