Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Bertarikh 6 Jun 2010, chef Lusiana Catering ringan tangan memberi perkhidmatan di meja mempelai di majlis perkahwinan saudara lelakinya di sebuah perkampungan di Parit Buntar, Perak.

Seminggu kemudian beliau dengan berbesar hati melaksanakan tugas mengurus pengendalian penyediaan sajian di Keramat, Kuala Lumpur pula. Majlis di Keramat juga melibatkan tugas pramusaji meja utama bagi meraikan pasangan raja sehari yang sama, menerima kunjungan pengantin perempuan dan keluarganya (foto kiri).

Dalam pada itu, kek hantaran mempelai lelaki kepada mempelai perempuan di Parit Buntar turut disediakan olehnya. Kek fondan (foto) diadun bersama resepi rahsia didekor sedemikian rupa supaya mudah dibawa dari Kuala Lumpur menuju ke Parit Buntar, Perak.
Photobucket

Alhamdulillah. Semua selamat dan bahagia. Tahniah dari Lusiana Catering untuk pasangan Zuraimi dan Rozana. Kami di sini mendoakan kalian bahagia atas ikatan cinta yang dimeterai dengan nama Allah. Dalam meraduk laut kehidupan, kadang-kala riak kecil, kadang-kala juga gelombang melanda. Namun semua itu adalah ujian dari Allah demi cintaNya kepada hamba-hambaNya. Harungilah dengan penuh sabar dan syukur.

Okey, saya ingin ceritakan satu peristiwa mengenai ikan patin. Sebagai orang Besut yang ‘dicelup’ budaya makan orang Pahang, jadi saya dan aruah ayah merupakan penggemar masakan ikan patin. Ikan sungai yang terkenal di negeri pahlawan Mat Kilau ini sangat sedap bila disediakan secara masakan asam pedas menggunakan asam jawa ataupun masak tempoyak. Juga boleh digoreng. Namun pastikan ianya garing.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Parit Buntar pada malam 6 Jun 2010, rombongan yang terdiri dari lima buah kereta singgah di hentian rehat Sungai Perak. Waktu sudah menjangkau tengah malam. Di sebuah gerai menjual nasi campur, saya lihat ada ikan patin masak tempoyak. Tanpa fikir panjang, saya terus mengambil seketul. Saya pilih dengan teliti.

“Itu ikan apa?”, nenek pengantin lelaki dari Singapura (foto kanan) bertanya sebaik saya duduk di sebelahnya.
“Ikan patin, nenek,” jawab saya ringkas.
“Nenek selalu dengar orang kata ikan patin sedap. Tolong ambilkan nenek seketul,” kata nenek sambil menyuruh seorang cucu perempuannya ke gerai menjual nasi campur tersebut.

Saya tanpa lengah terus menyuap nasi ke mulut berlaukkan ikan patin masak tempoyak tadi. Memang berselera saya makan sambil diperhatikan nenek.
“Sedapkah, Hizam?”, soal nenek sambil tersenyum menoleh ke arah saya.
“Bolehlah,” gumam saya.
Tidak sampai dua minit, ikan patin yang dipesan nenek sudah di atas meja. Nenek terus mencubit ikan patin yang terletak dalam piring.
“Eh, kenapa ada darah dan berbau hanyir?”, soal nenek disuapan yang kedua sambil menoleh ke arah saya. Mimik muka nenek kecewa.

Saya lantas bercerita kepada nenek dan cucu-cucunya yang seramai lima orang di meja yang sama berkenaan masakan ikan patin (foto kiri - ikan patin masak tempoyak, ihsan Fried Chillies). Ikan sungai ini memang agak sukar untuk disiang, apatah lagi dimasak. Jika tidak pandai menyiangnya, ada kemungkinan sesetengah bahagian ikan itu berbau kurang enak. Bila memasak pula, jangan sekadar sambil lewa. Akibatnya ialah daging ikan kurang masak. Pastinya berbau hanyir dan masih berdarah. Ini yang terjadi kepada masakan di gerai nasi campur di hentian rehat Sungai Perak tersebut. Saya berasa sedikit malu kerana warga Singapura yang ingin merasa masakan ikan patin tidak berdaya untuk menelannya lantaran masakan yang tidak sempurna.

Sebagai info tambahan berkenaan lokasi gerai menyediakan ikan patin, saya syorkan satu tempat. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan menggunakan jalan lama dari Jerantut ke Maran atau Kuantan di Pahang, boleh singgah di satu lokasi yang terdapat satu deretan gerai makan. Lokasi tersebut terletak di sebelah kiri jalan sebelum tiba pekan Maran. Saya dan rakan-rakan kerap berhenti di situ semasa bertugas di MIMOS/JARING dalam perjalanan ulang-alik dari atau ke Kuantan dan Terengganu. InsyaAllah berbaloi dengan harga. Kuah tempoyaknya pekat dan ikan dimasak sebaiknya.

0 comments:


Photobucket
top