Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

"Demi menghargai pencinta buku, menggalakkan aktiviti pembacaan dan memeriahkan industri buku, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sedang menganjurkan pertandingan ulas buku ITNM melalui Facebook / blog," kata Pengarah Urusan ITNM Mohd Khair Ngadiron melalui Facebook.

Tambah beliau, hadiah yang ditawarkan kepada para peserta yang berminat itu mengikuti peraduan itu berjumlah sehingga RM10,000.

Menurut maklumat laman sesawang ITNM, para peserta boleh menulis sebarang ulasan buku terbitan ITNM di blog atau nota Facebook peribadi, lengkap dengan judul, nama penulis, nama penerbit (ITNM), harga, dan paparkan visual buku dalam bentuk paling kreatif.

"Seterusnya, peserta boleh melayari www.facebook.com/klikITNM, tulis judul buku ITNM yang diulas berserta nama penuh dan alamat mel-e anda di 'Dinding' (Wall) laman Facebook ITNM," maklumat dari laman sesawang ITNM dipetik.

Peraduan itu menawarkan hadiah wang tunai untuk tempat pertama sebanyak RM5,000, hadiah kedua, RM3,000 dan hadiah ketiga sebanyak RM1,500. Manakala hadiah bagi paparan buku paling kreatif pula menerima tawaran hadiah wang tunai sebanyak RM500.

Peraduan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia kecuali kakitangan dan ahli keluarga terdekat ITNM.

Peraduan yang berlangsung mulai 21 Februari sehingga 13 Mac itu membenarkan para peserta mengirim seberapa banyak ulasan buku ITNM, yang asli dan bersumberkan buku terbitan ITNM yang berlainan.

Sepuluh ulasan terbaik akan dipilih berdasarkan kualiti ulasan, paparan visual buku ITNM paling kreatif, dan jumlah komen diterima. Pemenang akan dinilai oleh juri profesional (30%) dan diundi pengunjung gerai ITNM di PBAKL 2010 (70%).


Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Mohd Khairulanuar Manshor di talian 03-4149 7210 (samb.
206) mel-e anuar@itnm.com.my dan Norhasydah Ayub di talian 03-4149 7210 (samb. 263) mel-e shida@itnm.com.my. (Laporan oleh Mohd Ali Bakri, Era Pakatan)

** Nota: Saya tidak memiliki atau membaca sebarang buku terbitan ITNM setakat ini. Tiada yang menarik untuk saya dari ITNM. Namun saya akan pantau penerbitan syarikat ini. Mungkin di masa akan datang saya akan memilikinya.

5 comments:

Abang Long said...

Rasanya kalau hadiahnya RM50K. Mungkin akan mendapat lebih perhatian dari pembaca. :)

Maaf, saya sendiri tidak pernah 'tertarik' untuk membeli buku keluaran mereka. :(

Unknown said...

Tuan Web Sutera dan Tuan Abang Long, apa kata tuan-tuan membaca buku terbitan ITNM terlebih dahulu. Saya bersedia memberikan diskaun istimewa sekiranya tuan berminat dengan mana-mana buku ITNM.

Web Sutera said...

Sahabat Abang Long, amboi straight to the point, tanpa berselindung lagi! Hihihi...Saya ada juga bagi sedikit 'kelonggaran' (atau berlapik) :-)

Mengapa kita berdua seakan-akan senada dalam memperkatakan buku-buku ITNM?

Lagi satu, setakat pandangan mata kasar saya, desain kulit buku ITNM amat tidak kontemporari, malah tidak memiliki daya pujukan. Adakah ITNM lemas dalam pernyataan don't judge the book by its cover?

Unknown said...

Tahniah dan terima kasih kerana tuan-tuan memberikan cadangan dan kritikan bernas kepada penerbitan buku ITNM. ITNM akan mengambil berat terhadap idea tuan-tuan. Terima kasih!

Web Sutera said...

Assalamualaikum Tuan Anuar Manshor. Terima kasih atas perhatian tuan bagi komentar ini.

1) Terima kasih atas tawaran diskaun istimewa untuk buku-buku ITNM. Saya akan teliti buku-buku yang mungkin boleh saya miliki. Saya akan hubungi tuan nanti, insyaAllah.

2) Komen saya terhadap desain kulit buku terbitan ITNM bukan dibuat secara semberono. Ini dari pemerhatian saya. Jika saya ke kedai buku, minda saya tidak berjaya mengarahkan mata dan jemari untuk membelek-belek helaiannya. Malah tidak keterlaluan untuk saya nyatakan bahawa brand ITNM jarang terlintas di benak.

Pada hemat saya, desain kulit yang menarik menjadi daya pujukan pertama untuk seseorang bakal pembaca meneliti kandungan sesuatu penerbitan, khususnya buku.

Hal ini saya pernah ajukan kepada Utusan Publications yang ternyata kedapatan novel-novel terbitannya menggunakan pendekatan desain yang, bagi saya, tidak mengundang pembaca untuk melihat-lihat. Sudahlah masyarakat Melayu dikatakan amat kurang membaca, desain kulit buku yang sedemikian rupa menjadi antara faktor penolak.

Desain kulit buku akademik boleh sahaja dikesampingkan. Walau bagaimanapun desain buku ini, pelajar terpaksa membelinya juga lantaran keperluan pembelajaran. Saya dan Tuan Anuar pernah menghadapinya tatkala belajar di sekolah dan universiti, bukan?

Tetapi buku untuk bacaan umum, termasuk fiksyen, mesti dibentuk supaya minat membaca dipupuk sedari awal bermula dari desain buku dan susun atur teks di dalamnya.

Menurut hemat saya lagi, pernyataan 'don't judge the book by its cover' hanyalah satu ayat yang penuh sindiran.


Photobucket
top