Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

22 Syawal 1430H: Salam Aidilfitri 1430 Hijrah, sahabat. Maaf jika isu sakit gastrik sudah tidak sesuai untuk diperkatakan. Maklumlah Ramadhan telah berlalu dan Aidilfitri sedang rancak diraikan di Kuala Lumpur dan Selangor. Jalan-jalan utama di sekitarnya pun sesak dengan kenderaan. Jumaat dan Sabtu (semalam) saya terperangkap dalam kesesakan jalanraya dalam perjalanan ulang-alik ke premis klien bagi urusan katering.

Saya teringat antara perbualan dengan seorang sepupu di Besut semasa pulang beraya di sana. Dia khabarkan kepada saya bahawa satu ujian diterima semasa berpuasa Ramadhan tempoh hari, iaitu dia kena serang gastrik.


Sebelum ke klinik, sakit perut menyerang sebaik sahaja berbuka puasa. Perut memulas, badan sakit-sakit dan terasa mual. Mulanya dia tidak mengetahui apa puncanya.


Setelah merujuk kepada doktor, sah bahawa dia kena gastrik. “Saya takut hendak mengatakan kepada saudara bahawa saudara kena gastrik,” kata doktor tersebut kepada sepupu saya.


“Saya pun tidak mahu tahu saya kena gastrik. Saya tidak akan tinggalkan puasa hanya sekadar gastrik,” jelas sepupu saya tanpa berselindung.


“Itu yang saya bimbang, takut ada orang berkata bahawa alasan tidak berpuasa kerana kena penyakit gastrik. Jadi saudara boleh terus berpuasa.
Makan ubat gastrik selepas buka puasa dan semasa bersahur,” nasihat doktor.

Alhamdulillah, doktor Mukmin dan saudara saya itu berbaik sangka terhadap Allah.
Tetapi ada segelintir manusia Muslim mencari-cari alasan untuk tidak berpuasa lantaran gastrik. Kalau sakit sikit pun, lekas-lekas pergi ke klinik dan meminta ‘sijil’ atau surat perakuan diserang gastrik. Masalahnya ialah hanya terjadi di bulan puasa. Alahai!

0 comments:


Photobucket
top