Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Tanggal 18 Julai 2009, saya kembali lagi ke kampung halaman tanah rancangan Felda di Jerantut, Pahang. Pada mulanya saya mengajak rakan-rakan rapat turut serta, tetapi alih-alih saya sendirian memandu. Isteri dan anak-anak menemani emak mertua saya ke Kuala Selangor untuk berubat sakit lututnya.

Rumah lima bilik tinggalan aruah ayah dan mak sunyi sepi sebaik sahaja tiba setengah jam sebelum waktu Maghrib. Adik entah ke mana merayau. Ya, adik bongsu saya menjadi penjaga rumah itu, untuk seketika. Setelah menelefon adik supaya cepat balik ke rumah, saya membersihkan lantai mozaik depan rumah yang agak kotor dengan tahi cicak dan sampah sarap lain. “Ei, budak ini, malas betul hendak menyapu,” runggut saya sendirian.

Kedai minum yang diusahakan jiran di hadapan sebelah kanan rumah terdengar riuh para makcik bersantai. Entah apa yang diborakkan, riuh macam murai. Teringin juga untuk saya meneguk air batu campur di situ, tetapi mengikut perkiraan saya kedai sudah ditutup kerana waktu Maghrib semakin hampir. “Tidak mengapalah, esok sahaja aku ke sana,” saya bermonolog.

Sebaik sahaja adik muncul, saya terus mengalas beg sandang menuju dapur rumah. Gelap. Lampu kalimantang dibuka. Melilau saya menyorot sekitar dapur yang luas itu. Ada tiga bahagian dapur yang sudah diubahsuai oleh aruah mak. Bahagian paling depan dinaikkan sedikit sebagai tempat berehat dan menonton TV. Susunan mozaik tersusun indah. Bahagian bawah pula beralaskan tikar getah, dan bahagian ketiga menempatkan dua buah bilik untuk dua orang adik setiap seorang.

Ubahsuai yang agak besar yang diselengarakan oleh aruah mak memang cantik. Seingat saya, kami lima beradik sempat menggunakan ruang dapur itu bersama aruah mak semasa sambutan Aidilfitri terakhir tahun lepas. Memang meriah. Tatkala itu semua adik, ipar dan anak-anak saudara ada. Itulah kali terakhir kami meraikan Aidilfitri bersama mak.

Tujuan utama saya ziarah rumah peninggalan orang tua ialah bagi mengutip buah-buahan yang menjadi tahun ini. Rambutan, dokong, manggis dan raja buah, durian. Saya minta tolong adik bongsu supaya kumpul buah durian yang gugur di kebun kecil depan rumah. Dalam masa yang sama, saya ingin membawa adik ke Kuala Lumpur. Kemudiannya pula dia akan dibawa ke Kuala Selangor bagi mengikuti kursus kemahiran jangka pendek di sana. Saya tidak ingat apa nama pusat kemahiran tersebut.

Setelah dua malam saya menginap di rumah agam itu, esoknya saya dan adik mengumpul durian, mengait dan mencantas dahan/ranting rambutan untuk diambil buahnya, memanjat pokon dokong dan memetik manggis serta cempedak. Ditambah dengan pemberian jiran, bonet kereta Proton Waja hanya mampu dimuat dengan anika bentuk dan rasa durian sahaja. Tiga guni sendat dengan empat jenis buah berwarna merah itu. Saya terpaksa letakkan guni-guni rambutan di tempat duduk belakang. Buah-buahan lain saya aturkan supaya tidak rosak.

Sebelum bertolak kembali ke Kuala Lumpur (Ampang), saya masuk menjengah bilik tidur aruah mak, sekali lagi. Memang bilik tersebut sudah dikosongkan, namun masih ada beberapa barang aruah yang tinggal. Saya ambil beg sangkut kecil yang digunakan oleh aruah mak semasa menunaikan haji ke Mekah setahun lepas. Saya lihat gambarnya. Ah, rindu bertandang lagi. Subhanallah!

Memang sendat kereta saya dengan buah-buahan. Bau? Tidak usah cakaplah! Sepanjang perjalanan lebih kurang 3 jam dari Kota Gelanggi Satu, melalui Bandar Tun Abdul Razak (dulu Bandar Pusat Jengka), merentas Temerloh, sehinggalah tiba ke rumah di Ampang, dua tingkap belakang sentiasa terbuka. Fuh! Bau durian dalam kereta mana boleh tahan! Semerbak!

Selepas seminggu ketika entri ini ditulis, ruang dalam kereta Waja itu masih berbau durian. Hahaha!! Memang kau raja buah, wahai durian.

Malam itu juga sebaik sahaja tiba di rumah, saya dan isteri membahagi-bahagikan buah-buah itu kepada jiran-jiran terdekat. Esoknya sambung lagi untuk jiran yang belum dapat. Adik ipar, suaminya, bapa mertua dan anak-anak menggasak durian malam itu juga.

Photobucket

0 comments:


Photobucket
top