Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Saudara mengenali Kassim Ahmad? Beliau merupakan seorang penulis dan politikus yang dilahirkan pada 9 September 1933 di Bukit Pinang, Kedah. Penulisan beliau berkenaan Hang Tuah telah mengundang kontroversi dan kritikan masyarakat justeru kerana beliau meletakkan Hang Jebat sebagai wirawan sejati kerana sanggup membunuh sultan demi mempertahankan maruah dan prinsip.

Beliau sekali lagi mengundang kontroversi dengan bukuHadith: A Re-Evolution’ sehingga ada yang melabelkan beliau sebagai anti-hadis. Di dalam buku itu, beliau menyarankan dikaji semula hadis dan mengajak kita “kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.”


Kassim Ahmad pernah menjadi Pengerusi kebangsaan Parti Sosialis Rakyat Malaysia. Oleh kerana pendapat beliau yang lantang dan radikal, Kassim Ahmad pernah dipenjara di bawah akta ISA selama hampir lima tahun.


Karya beliau yang pertama yang saya baca ialah Universiti Kedua - Kisah Tahanan di Bawah ISA. Buku ini ditulis ekoran penahanan beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada November 1976 hingga Julai 1981.


Buku Universiti Kedua - Kisah Tahanan di Bawah ISA
adalah serangkaian catatan dari pengalaman Kassim Ahmad sendiri. Iaitu pengalaman apabila beberapa orang pegawai polis berpakaian preman datang mengambilnya, pukul 2.30 pagi 3 November 1976, di sebuah rumah di Petaling Jaya hingga dia dibebaskan menjelang Hari Raya Haji dalam bulan Julai 1981.

Secara peribadi, label anti-hadis memang saya setuju dikenakan ke atas beliau. Walaupun saya banyak tidak menyukai beliau dalam perihal pembicaraannya mengenai Islam, namun buku Universiti Kedua - Kisah Tahanan di Bawah ISA sudah lama saya khatam.
Saya membaca kisah ini semasa masih belajar di universiti sekitar tahun 1990-91.

Ikuti komen terkini beliau mengenai ISA, seperti mana dipetik dari blognya.
Kelmarin seorang pemberita Berita Harian telah menelefon saya dan meminta saya komen tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Walaupun saya mengatakan saya akan tulis sebuah artikel mengenai perkara ini, beliau meminta juga saya memberi kenyataan itu.

Saya mengemukakan tiga perkara. Pertama, prinsip undang-undang ISA ialah kemudaratan kecil diharuskan untuk mencegah kemudaratan yang lebih besar. Apa yang perlu dilakukan dalam kajian yang sedang dibuat oleh Kerajaan sekarang ialah mempastikan supaya undang-undang ini tidak boleh disalah-gunakan oleh pihak Eksekutif.

Perisytiharan Universal ada 30 artikel. Artikel 9 mengatakan: “Tiada seorang pun boleh ditangkap, ditahan atau dibuang negeri secara sewenang-wenang.” Artikel inilah yang boleh dianggap sebagai bertentangan dengan ISA. Namun demikian, Artikel 30 berkata: “Tiada suatu pun dalam Perisytiharan ini boleh ditafsirkan sebagai bermakna mana-mana Negara, kumpulan atau orang mempunyai apa-apa hak untuk mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti atau melakukan sesuatu perbuatan yang ditujukan untuk merosakkan mana-mana hak dan kebebasan yang dinyatakan di sini.” Artikel ini boleh ditafsirkan sebagai membataskan Artikel 9.

Berhubung dengan apa yang disebutkan dalam Quran ialah cerita Nabi Musa berguru dengan seorang hamba Allah yang diberi ilmu oleh Tuhan. (Lihat Quran, 18: 60-82). Dalam cerita ini, salah satu kejadian yang disaksikan oleh Nabi Musa ialah guru itu tidak semena-mena membunuh seorang pemuda yang tidak berdosa. Reaksi Nabi Musa ialah memarahi beliau. Akhirnya, guru itu menerangkan kepada Musa bahawa ibu-bapa pemuda itu orang mukmin yang baik, tetapi pemuda ini akan menjadi suatu bebanan besar kepada mereka, kerana kejahatan dan kekafirannya. Guru itu menambah bahawa perbuatanya bukan datang dari dirinya sendiri, tetapi dari Yang Maha Mengetahui.

Jadi, dari peristiwa ini, kita boleh menggubal suatu undang-undang, iaitu kemudaratan kecil (pembunuhan pemuda itu) diharuskan untuk mencegah kemudaratan yang besar (umpamanya seperti peranan Hitler dalam Perang Dunia Kedua).

Oleh kerana undang-undang ISA ini sangat luas kuasanya, ia perlu dipinda supaya ia lebih jelas, adil dan tidak boleh disalah-gunakan oleh Kerajaan."

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kassim1234@gmail.com. Laman web beliau http://kassimahmad.blogspot.com

Berkaitan:
Dua Wajah membuka rahsia kezaliman penggunaan ISA

0 comments:


Photobucket
top