Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Artikel ini saya cedok dari blog bertajuk “Melihat Kasunyataan”. Maklumat blog ini saya peroleh dari blog penulis Abdul Latip Talib. Sekali saya membaca ulasan dan komentar penulis blog Melihat Kasunyataan, saya sudah jatuh hati.

Sila baca dua artikel yang saya cedok di bawah; satu berkenaan kedai buku bergerak dan satu lagi isu PPSMI.


Semasa menghadiri Pertemuan Penulis Serumpun sempat meninjau-ninjau kedai buku bergerak.
Banyak juga buku-buku yang dijual termasuk buku ilmiah, sastera dan majalah.

Prof Dr. Abdullah Zakaria dan Kasim Tukiman nampaknya begitu teruja dengan lambakan buku dari sebuah van yang diubah suai menjadi 'kedai buku bergerak' itu.

Rasanya kalau di Malaysia sukar menjual buku begini, kerana budaya membaca masyarakat kita masih belum meluas.

Di UTM sendiri memang ada van yang menjual beraneka akhbar dan majalah termasuk makanan jajan. Tapi untuk jualan buku seluruhnya belum ada lagi. Beberapa hari lepas akhbar Utusan Malaysia sendiri ada menyiarkan dapatan kajian yang menyatakan bahawa mahasiswa kita sendiri kurang membaca. Terutama bahan bacaan umum. Apa lagi bahan sastera dan sejarah. (Artikel asal dari blog Melihat Kasunyataan)

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Ramai orang Melayu menyatakan bahawa mereka sayangkan bahasa Melayu. Siapa kata aku tidak sayangkan bahasa Melayu? Tengok, aku bercakap Melayu. Aku hantar anak aku ke sekolah Melayu. (Walaupun sekarang ramai orang Melayu menghantar anaknya ke sekolah Cina). Aku beli akhbar berbahasa Melayu. Apakah aku tidak sayangkan bahasa Melayu? Begitulah ukuran ‘sayang bahasa’ itu bagi kebanyakan orang Melayu. Apakah dengan hanya bercakap Melayu, membaca akhbar Melayu sudah bermakna kita sayangkan bahasa Melayu?

Bagi mereka yang sayangkan anak pula, bukan bermakna bila kita dapat memenuhi segala keperluan si anak maka itu sudah boleh dikatakan sayangkan anak, tetapi lebih jauh daripada itu, seharusnya mereka dapat membentuk anak-anak menjadi anak-anak yang soleh dan berilmu, tahu menghormati ibu bapa dan orang lain juga. Begitu juga bagi mereka yang sayangkan bahasa Melayu seharusnya bukan semata-mata dengan menggunakannya dalam percakapan harian sahaja, tetapi juga dapat memastikan kita menambahkan ilmu dan berfkir dengan menggunakan bahasa Melayu. Pastikan juga bahasa kita akan dapat terus maju sehingga menjadi salah satu bahasa penting dunia, sama taraf dengan bahasa Inggeris, Perancis, Cina dan Arab.


Bagaimanakah caranya? Di sinilah kita selalu keliru dan sentiasa tersilap. Sebagai seorang Melayu kita seharusnya belajar apa juga bahasa, selepas itu tulislah dalam bahasa Melayu. Kita belajar dan menjadi pakar matematik, mengapa kita tidak menulis dalam bahasa Melayu. Kita belajar dan menjadi pakar sains, mengapa kita tidak mahu menulis dalam bahasa Melayu. Inilah kelemahan orang kita Melayu. Sikap malas masih menguasai orang Melayu. Kalau ada pun pakar yang boleh menulis, mereka hanya boleh menulis dalam bahasa Inggeris, kerana bagi mereka menulis dalam bahasa Melayu tidak ada kualiti, tidak educated. Jadi sampai bilakah bahasa Melayu akan maju? (
Rencana asal di sini: Antara Anak dan Bahasa)

Kata saya, "Bagaimana kita mengharapkan bangsa lain menghormati bahasa Melayu, sedangkan kita sendiri tidak menggunakannya secara meluas di Malaysia secara piawai?

Bagaimana kita mahukan orang bukan Islam menghormati hukum Islam sedangkan kita sendiri (umat Melayu Islam) memperlekehkan undang-undang Islam?"

1 comments:

Tirana said...

Alangkah seronoknya kalau ada kedai buku bergerak seperti ini di tempat saya. Perpustakaan bergerak pun tiada di sini. Terpaksalah memandu sendiri untuk ke kedai buku dan ke perpustaan.


Photobucket
top