Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan, pilihanraya umum akan datang boleh dijadikan penentuan akhirnya, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) dipetik sebagai berkata oleh laman berita Malaysiakini.

"Jika masih gagal, ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya, sebagai kuasa yang terakhir. Gunalah undi secara bijaksana.”

Beliau diminta mengulas tindakan lanjut yang perlu diambil sekiranya perhimpunan raksasa 100,000 rakyat – ala Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) – anjuran Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) masih tidak dihiraukan kerajaan.

GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad merancang mengadakan perhimpunan itu pada 7 Mac bagi menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan baginda berhubung isu itu.

Sebuah lagi perkumpulan aktivis bahasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) yang dianggotai 24 persatuan penulis di seluruh negara turut mengancam mengadakan "Perarakan Keranda" – dinamakan Keranda 152 – bagi tujuan yang sama, dijadual pertengahan bulan Februari 2009. (Gambar baju T, Keranda 152, sila rujuk blog LanteraJiwa)

Gapena juga tetap dengan pendiriannya mengheret kerajaan ke mahkamah berhubung pelaksanaan dasar itu sejak tujuh tahun lalu yang didakwanya melanggar Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan – yang menggariskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Berhubung rancangan GMP berhimpun besar-besaran, A Samad berkata tindakan generasi muda daripada pelbagai kumpulan bagi tujuan menyatakan bantahan terhadap dasar itu memang wajar. "Wajar kerana semua sumber lain telah digunakan, tetapi tidak dihiraukan.”

Bekas editor kanan Berita Harian dan pengarang pelbagai genre kreatif itu juga menyangkal tanggapan bahawa tindakan berdemonstrasi seperti GMP atau Gapena sebagai "tidak rasional".

Mengulas sama ada aktivis bahasa dan sastera veteran wajar sama-sama turun padang berdemonstrasi, Pak Samad berkata:

"Orang tua berjuang daripada sisi yang lain. Tetapi tidak bererti tidak berjuang. Sekarang giliran angkatan muda." Generasi muda sekarang, tambahnya, daripada pelbagai organisasi dan parti politik termasuk Umno mendukung perjuangan bersama itu.

Dalam perkembangan yang sama laman web Unika melaporkan bahawa baru-baru ini Pak Samad telah berada di pentas markas PAS di Taman Melewar Kuala Lumpur bagi membacakan sebuah sajaknya yang mengkritik dasar-dasar kerajaan yang banyak merosakkan bahasa dan kebudayaan Melayu.

Beliau memulakan dengan bercerita bagaimana pada petang hari itu beliau telah menerima telefon dari seseorang cuba menasihati beliau supaya jangan ke Taman Melewar kerana beliau sedang diperalatkan.

Lalu beliau menjawab dengan berkata, "Kalau saya datang dalam keadaan saya tidak sedar, ya, itu saya diperalatkan. Tetapi saya datang ini dalam keadaan saya sedar."

Kata-kata beliau itu disambut dengan tepukan dan laungan takbir dari hadirin yang penuh sesak, lapor Unika.

Beliau datang dengan diringi isteri beliau, Datin Rashidah, yang sepanjang malam itu mendengar para penceramah dengan penuh tekun dan bersemanga.

Satu gerakan yang berani dan mempunyai jiwa serta tujuan jitu. Tahniah Pak Samad! Saya masih menunggu Dato’ Baha Zain bertindak.

0 comments:


Photobucket
top