Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Setelah selesai membaca Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah, maka benarlah kata orang, hikayat ini adalah hikayat perang. Hampir keseluruhan isi dan dialog hikayat ini berkisahkan perang menentang golongan Muawiyah yang dipimpin oleh Yazid bin Muawiyah dan Marwan Hakim.

Seperti kata penerbit, sebahagian cerita dalam hikayat ini, terutamanya peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat adalah dongeng dan khayalan penulisnya sahaja. Walaupun ada watak dan personaliti yang benar-benar wujud dalam sejarah, namun kejadian dan banyak watak-watak lain merupakan fiksyen semata-mata. Justeru itu, pembaca dinasihatkan supaya merujuk buku-buku sejarah dan sirah Rasulullah S.A.W bagi mengetahui kisah sebenar.

Apabila saya rujuk buku sejarah, watak utama hikayat ini, Muhammad Ali Hanafiyyah, memang benar-benar wujud. Muhammad Ali Hanafiyyah merupakan anak kepada sepupu Rasulullah S.A.W, Ali bin Abu Talib.

Menurut buku sejarah, selepas Hasan dan Husain meninggal dunia, sekelompok keluarga Rasulullah S.A.W melantik Muhammad Ali Hanafiyyah sebagai pemimpin atau khalifah. Mereka yang setia secara aktif terhadap perjuangan keturunan Ali r.a ini dinamakan golongan Syiah, yang ingin membela kematian Husain di Karbala. Sentimen ini diteruskan dengan cubaan untuk menabalkan anak Ali r.a yang lain, iaitu Muhammad Ali Hanafiyyah sebagai khalifah. Pemberontakan Syiah ini diketuai oleh Mukhtar bin Abi ‘Ubaid. Inilah antara rentetan peristiwa yang dikategorikan sebagai ‘fitnah yang kedua’ selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W.

Ya, fiksyen tetap fiksyen. Namun pada hemat saya, penulis Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah ini cuba mengangkat keturunan Ali r.a yang merupakan susur galur keluarga Rasulullah S.A.W ke suatu tahap yang penulis itu sendiri tahu ke tahap mana.

Sebagai sebuah fiksyen perang, ia menarik untuk diteliti dan direnungi. Watak utama Muhammad Ali Hanafiyyah dan rakan-rakannnya digambarkan mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Mengapa? Bayangkan: mereka boleh mengangkat seorang hulubalang musuh yang gagah perkasa dengan satu tangan dan kemudian menghempas ke tanah, maka hancurlah tulang temulang; mereka memotong putus keempat-empat kaki gajah dengan sekali libasan pedang; memancung kepala berpuluh-puluh askar musuh dalam beberapa saat sahaja; menggempur keseorangan ke dalam askar musuh yang berjumlah puluhan ribu dengan amat berani, umpama aksi kamikaze, namun tetap berjaya; memukul kepala panglima utama musuh dengan cokmar sampai hancur badan menyembah bumi atau sekurang-kurangnya keluar otak dari hidung, telinga dan mulut; dan seterusnya.

Bagi peminat cerita perang, Hikayat Muhammad Ali Hanafiyyah memang sesuai untuk anda. Plot-plot yang pendek dan mendebarkan!

Penulis: Muhamad Ikhram Fadhly Hussin
Penerbit: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd, 2007
ISBN-13: 978-983-192-069-5
ISBN-10: 983-192-069-4
Muka surat: 234 halaman
Harga: RM19.00 (Sem. Malaysia), RM22.00 (Sabah & Sarawak)

6 comments:

Anonymous said...

Ulasan yang menarik, membuatkan saya teruja untuk memiliki buku ini. Izinkan saya meletakkan link ke blog tuan.

Web Sutera said...

Sdr Wuqing,

Terima kasih, saya izinkan.

Anonymous said...

mintak maaf saya katakan... mungkin buku ini kurang sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap pengetahuan pembaca...
terlalu banyak kisah dongeng dan dikhuatiri akan menimbulakn fitnah kepada nabi dan sahabat sekiranya jalan cerita yang sebenar tidak diketahui dengan jelas... TQ

Anonymous said...

Aduh, adegan lawan dalam buku ini merangkumi tiga suku (atau lebih) kandungannya. Setuju dengan pendapat pedang_panjang, perlu berhati-hati ketika membaca buku ini.

Web Sutera said...

Memang benar sdr Pedang_Panjang, saya setuju dengan pandangan saudara.

Pembaca kena tahu terlebih dahulu sirah Nabi Muhammad & kisah para sahabat yang tercatit dalam tinta sejarah.

Terima kasih atas komen sdr.

Web Sutera said...

Sdr A.M Jarni,

Ribuan terima kasih atas komen sdr. Saya cukup hargai pandangan ini.

Memang pembaca bukan perlu, malah mesti merujuk buku sejarah untuk kisah sebenar. Ini adalah fiksyen sahaja.


Photobucket
top