Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Sesi katering sepanjang dua minggu Hari Raya ini menghasilkan dua peristiwa yang menarik untuk dikongsi. Pertamanya di majlis Hari Raya di rumah orang perseorangan dan satu lagi di majlis di sebuah syarikat yang terletak di menara berkembar Petronas yang meraikan staf sempena Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.

Peristiwa pertama:

Sampai sahaja saya dan krew di rumah yang terletak di Kota Damansara, kami disambut oleh tuan rumah dengan senyuman. Saya menjeling dua buah kereta yang diparkir; Lexus dan BMW (siri saya tidak ingat) lantas bermonolog dalam hati “kayanya tuan rumah ini”.

Sebaik sahaja semua urusan hidangan selesai, isteri kepada tuan rumah bertanya, “Encik hendak balik atau tinggal sehingga majlis selesai?”

Saya menjawab, “Kami tidak kisah Puan.”

Isteri tuan rumah berkata, “Kalau begitu, encik boleh balik dahulu kerana saya rasa majlis ini akan selesai agak lewat, sekitar pukul 11.00 malam. Encik boleh ambil barang-barang malam ini atau esok pagi.” Saya dan krew pun balik apabila diberi kebenaran begitu.

Keesokan paginya saya berseorangan ke Kota Damansara bagi mengambil kembali barang-barang katering. Kejutan pertama saya ialah sebaik sahaja saya sampai, tuan rumah menegur, “Assalamualaikum, seorang sahaja?”

Kejutan kedua, saya lihat enam buah kereta terpakir di laman rumah yang memang luas itu; sebuah Lexus, sebuah BMW, dua buah Mercedes mata belalang dan dua buah lagi yang saya tidak pasti jenamanya. “Bukan dua buah kereta, tetapi enam buah. Memang kaya,” saya berkata dalam hati.

Kejutan ketiga, semua pinggan mangkuk, bekas makanan, bekas air minuman dan sudu garfu sudah dibasuh! Tersenyum simpul saya melihatnya.

Moral cerita ini ialah memang ada orang Melayu dan Islam kaya di Malaysia yang menghiasi diri mereka dengan budi pekerti tinggi sesuai dengan suruhan agama Islam.

Peristiwa kedua, bersambung di entri akan datang, jangan marah!

Buku terkini yang saya sudah selesai membacanya ialah “Islam Pilihanku”, diterbitkan oleh Karya Bestari Sdn Bhd, anak syarikat Karangkraf. Buku ini memuatkan cerita saudara-saudara baru Islam yang memeluk agama suci ini atas pelbagai sebab. Perkara menarik yang dihendak dikongsi ialah betapa mereka begitu komited dengan agama yang baru mereka anuti itu.

Mereka bersyukur dan merasa begitu beruntung kerana diberi hidayah oleh Allah dalam mengenali agama Islam. Ada cerita pahit dan manis serta pelbagai cabaran yang mereka alami, namun mereka tetap teguh dengan iman mereka. Cabaran dan mehnah didepani dengan tabah dan mengharap belas dari Tuhan. Mereka berjaya hidup dengan penuh keimanan dan ketenangan.

Kita yang tergolong dalam kumpulan orang-orang Islam sebab keturunan, mengapa tidak boleh mencontohi saudara-saudara baru tersebut? Bila terbaca kisah mereka, saya sendiri berasa malu. Mereka begitu komited mengamalkan ajaran Islam. Mengapa segolongan dari kita yang Tuhan anugerahkan iman sejak lahir tidak boleh menjadi seperti itu.

Islam itu indah dan mudah jika kita benar-benar faham dan mengamalkannya. Hanya Tuhan Yang Maha Tahu. Buku “Islam Pilihanku” berhalaman 240 muka surat, harga hanya RM6.00 dan cetakan pertama pada tahun 2005.

0 comments:


Photobucket
top