Bermula dengan Perempuan Politikus Melayu saya terus mengikuti perkembangan penulis ini dan sentiasa menunggu hasil beliau di persada sastera tanah air. Lantaran itu saya mengumpul dan membaca Cinta Hari-Hari Rusuhan, 1515, 1511H (Kombat), Advencer Si Peniup Ney, Detektif Endigo, dan terkini ialah Surat-Surat Perempuan Johor. (Saya tahu ada beberapa novel Faisal yang masih belum saya miliki).
Melalui novel-novel ini saya mengenali pendekatan beliau dalam mengenengahkan pandangan dan alirannya, terutama dalam memperkatakan konsep dan isu berkaitan Islam kontemporari. Saya memang sangat menyukai dan senang dengan cara beliau berdakwah lewat karya-karyanya.
Paling terkini saya dapati beliau sangat menentang fahaman Wahabi yang menjadi mazhab keluarga pemerintah Arab Saudi dan sekaligus menjadi aliran utama Islam di kalangan rakyat negara tersebut.
Satu lagi isu Faisal yang menjadi bahan perbualan ialah pegangan beliau dalam mempertahankan karya kreatif yang dihasilkan. Menurut rakan penggemar sastera, beliau tidak membenarkan karyanya disunting oleh mana-mana penerbit. Beliau lebih rela karyanya diterbitkan sendiri atau langsung tidak diterbitkan oleh penerbit-penerbit besar jika mereka berhasrat mengubah, walaupun sedikit dari ayat-ayat yang Faisal karang.
Kata rakan saya, Faisal sombong dan ego dalam mempertahankan isi karya beliau. “Faisal lebih mementingkan prinsip dari memenuhi minat khalayak sastera masa kini. Sebab itu novel dia tidak laku.”
Kata rakan saya lagi, “Novel-novel dia hanya laku kepada orang-orang seperti kau.” Saya tersenyum.
Lantaran itu, saya tidak hairan mengapa novel Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu tidak diterbitkan oleh DBP, walaupun meraih tempat pertama bagi Hadiah Sastera Jubli Emas DBP 2007 bagi kategori novel dewasa dan remaja.
Kita boleh berbeza pandangan, namun pada hemat saya, Faisal mempunyai pendirian yang harus dihormati. Saya tetap meminati karya beliau kerana ianya lain dari yang lain; walaupun tidak popular sepopular novel cinta yang boleh dijual 100,000 naskhah dalam setahun.
Saya tidak memilih novel popular, tetapi isi, pandangan dan aliran murni dalam novel-novel Faisal, walaupun novel cinta.
* Blood of heroes, they never die.
2 comments:
salam,
1) adalah tidak benar saya tidak membenarkan karya saya disunting, sebahagian besar penerbit dan editor yang pernah bekerja dengan syaa tahu saya adalah seorang pengarang paling pragmatik dari segi suntingan.
2) Alhamdulillah karya saya kekal mendapat sambutan memberangsangkan, malah diulang cetak banyak kali. hanya penerbit saya kebanyakannya lemah dari segi pengedaran dan promosi.
3) Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu akan diterbitkan oleh DBP dalam tahun ini Insya-Allah, perjanjian penerbitan sudah saya tandatangani.
4) Penentangan saya terhadap wahabi telah dilakukan oleh ramai tokoh dan para ulama terdahulu termasuk Syeikh Ahmad al-Fathani. Blog saya dikunjungi pelbagai lapisan pembaca. Ada yang tidak faham tidak bermakna semua orang yang membacanya tidak faham.
Nasihat saya: Jangan dengar kata orang.
wassalam
Sdr Faisal,
Terima kasih atas penjelasan. Teruskan perjuangan, saya tetap menyokong saudara.
Post a Comment