Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Sedari remaja sehingga sekarang, antara tempat yang paling saya suka melepak ialah perpustakaan dan kedai buku. Kalau dahulu semasa di kampung, sayalah yang selalu ke perpustakaan awam. Malah saya agak yang selalu ke situ ialah saya seorang, kerana asyik-asyik saya sahaja. Orang lain tidak pula kelihatan.

Bila tamat belajar dan mempunyai pendapatan sendiri, minat membeli buku semakin menggila. Saya boleh lepak di sesuatu kedai atau lokasi penjualan buku sehingga dua atau tiga jam, tanpa jemu. Sebab itu, kalau saya ajak isteri saya keluar jalan-jalan, dia tanya dahulu, “Abang hendak ke mana, ke kedai bukukah?” Isteri saya setuju menemani saya, tetapi dengan syarat, dia dibenarkan berlegar-legar di tempat lain, bukannya kedai buku. Dia benarkan saya tenggelam bersama buku-buku!

Pada kunjungan terbaharu saya ke kedai buku Popular bertempat di Ampang Point, saya dapati kedai tersebut sudah berubah wajah. Banyak rak-rak buku baru dengan susunan yang lebih mesra mata disediakan. Yang paling menarik ialah buku-buku Bahasa Melayu yang merangkumi novel (dewasa, remaja dan kanak-kanak), buku motivasi, buku umum dan buku kategori agama menjadi elemen penting. Saya berkata demikian kerana buku-buku Melayu diletakkan di bahagian depan di lokasi yang mudah dilihat dengan dikategorikan sedemikian rupa supaya pembeli senang memilih.

Siapa kata buku-buku Bahasa Melayu tidak mempunyai penggemar? Walaupun saya turut membeli fiskyen dan buku-buku berbahasa Inggeris, tetapi buku Melayu tetap menjadi pujaan hatiku.

P/s: Saya memegang kad keahlian kedai buku Popular untuk tahun ke-5 berturut-turut. Juga memegang kad keahlian Saba Islamic Media, sejak bulan Julai 2005.

0 comments:


Photobucket
top