Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Curahan Cinta Niagara Memberi Penekanan Cinta Suci Islam

Terus terang saya nyatakan bahawa saya tidak meminati novel cinta yang banyak terdapat dalam pasaran sekarang. Seingat saya, saya membaca novel cinta semasa di peringkat sekolah menengah rendah, itu pun novel terpilih yang mempunyai unsur-unsur Islam di dalamnya. Saya masih ingat novel Hartini oleh Aziz Afkar yang begitu indah garapannya.

Namun novel Curahan Cinta Niagara mempunyai kelainan. Novel cinta Islami ini memaparkan kehidupan manusia yang kompleks dengan pelbagai watak yang begitu berbeza. Kehidupan di Amerika Syarikat banyak memberi cabaran terhadap kehidupan manusia Islam seperti mana yang dipaparkan melalui watak-watak dan plot dalam novel ini.

Novel sulung Maya Iris ini berjaya membawa satu fonomena kehidupan yang sarat cinta, namun perjalanan cinta yang dipaparkan melalui watak-wataknya amat mengesankan saya. Banyak tunjuk ajar secara tidak langsung bagaimana Islam menangani situasi tidak islamik yang diwujudkan oleh masyarakat barat. Islam itu mudah kalau kita benar-benar memahami agama indah ini; itulah antara mesej yang hendak disampaikan oleh penulis.

Komen pertama isteri saya setelah habis membaca novel ini; novel cinta yang berlainan dan banyak panduan yang boleh diikuti sepanjang kita berada di negara barat yang tidak pro Islam. Banyak mesej supaya kita kembali kepada Islam yang syumul dan jangan terikut-ikut budaya barat yang bobrok.

Pada bab-bab 1 hingga 3 ia agak sterotaip. Namun bermula dari bab 4, ia sudah menampakkan kelainan jika dibandingkan dengan novel-novel cinta yang berlambak dalam pasaran. Di sinilah bermulanya ciri-ciri Islam yang diterapkan dalam watak dan plot.

Saya amat suka dengan kata-kata ini, “Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan?” Tuhan menjawab soalan ini dalam Quran, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu menyayanyi sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216).

Kita hanyalah hamba Tuhan. Kita merancang, Tuhan juga merancang. Ingat perancangan Tuhan itu amat tepat. Justeru itu, kadang-kadang kita sebagai manusia tidak menyedari hal ini. Kita sering merasa marah dan kecewa terhadap peristiwa yang menimpa kita, tetapi itulah takdir terbaik untuk kita.

Cinta berlandaskan Islam adalah pengajaran utama isi kandungan Curahan Cinta Niagara. Sesiapa yang tidak meminati novel cinta popular yang ada dalam pasaran, saya syorkan anda memiliki novel ini. Walaupun ada sedikit kelemahan dari segi kesinambungan cerita, tetapi penulis telah berjaya mengenengahkan plot yang menarik untuk tatapan anda.

Umpama curahan air terjun Niagara yang sentiasa mencurahkan air ke dasarnya sejak wujudnya ia, begitu juga cinta Tuhan terhadap hamba-hambaNya, tidak pernah sirna hingga ke akhir usia dunia.

Sebagai seorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan sistem komputer, novel ini merupakan percubaan yang berani dan matang dari Maya Iris. Tidak rugi memilikinya. Beliau berjaya mencabar diri sendiri dengan terhasilnya Curahan Cinta Niagara. Tahniah dari saya!

Judul: Curahan Cinta Niagara

Penulis: Maya Iris

Penerbit: PTS Mellennia Sdn Bhd (www.pts.com.my), 2007

ISBN: 978-983-3604-82-1

Muka surat: 564

0 comments:


Photobucket
top