Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Kami bertemu, berukhuwah, bersembang dan berkongsi. Insya-Allah, bukan main-main dalam misi meninggikan Islam dan memandaikan bangsa.

Insya-Allah, saya kongsikan sebuah cetusan rasa dari seorang novelis. Saya sunting di mana perlu (dan patut).

Alhamdulillah. Semalam (9 November 2013) telah berlangsung sebuah bengkel penulisan novel di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur yang dihadiri oleh 19 orang peserta. Lima orang daripada mereka sudah pernah menulis.

Bengkel ini dikendalikan oleh saya bersama-sama Tuan Resha Hamzah dan Tuan Web Sutera.

Saya naik bas dari Changlun dan turun di Puduraya pada pukul 6 pagi. Tuan Web Sutera mengambil saya dan kemudian kami bersarapan pagi di sebuah restoran Mamak. Kelihatan Puan Monalita Mansor turut menjamu selera di tempat kejadian. Peserta-peserta lain masih menelefon saya bertanyakan jalan. Sebenarnya, saya sendiri pun kurang arif sebab saya tidak tinggal di Key Ell.

Lebih kurang pukul 9.30 pagi, kami memulakan bengkel. Saya berkongsi teknik-teknik asas dalam penulisan novel (yang patuh syariah), tips-tips novel yang diminati serta teknik-teknik promosi yang berkesan.

Kemudian, Tuan Resha Hamzah memulakan sesinya pada pukul 11.45 pagi untuk membicarakan mengenai proposal dan manuskrip yang disukai oleh editor. Lebih kurang pukul 1.15 petang, kami semua berehat untuk solat dan makan tengahari (lapar juga). Sewaktu makan itulah, tetiba datang idea spontan untuk meminya Tuan Ajwad Zulfiqar dan Tuan Resha berlakon. Saya hanya menggunakan kamera biasa.

Sesi petang, disudahi dengan perkongsian ilmu dan pengalaman daripada Tuan Web Sutera.

Setelah semua peserta pulang, saya berkata kepada Tuan Resha, “Hang pandai edit Movie Maker? Kalau reti, sekarang juga kita edit video tadi.”

Tuan Resha menjawab, “Boleh sahaja! Jom kita buat di kedai Mamak (sebab ada wifi).”

Maka, petang itu, sambil pekena roti Arab, kami bersama-sama menyiapkan video yang diberi judul, “Bini Nak Beranak! Alamak!”

Sampai waktu Maghrib, kami berhenti dan sambung semula mengedit di kedai Mamak yang lain di Keramat (sini ada wifi).

Tuan Web Sutera bertanya, “Hang hendak balik bila?”

Saya menjawab, “Kalau tiket ada malam ini, saya balik malam inilah.”

“Kalau tiada?”

“Kalau tidak ada, saya merempatlah di mana-mana. Haha.”

Hampir pukul 9.00 malam, barulah suntingan video selesai. Terus publish dalam Youtube di sini.

Kemudian, Tuan Web Sutera pun bergegas menghantar saya ke Puduraya sedangkan dalam hati risau juga. “Ada lagikah tiket malam ini?”

Alhamdulillah, mujur ada lagi tiket. Pukul 11.00 malam. Dalam bas, tidur dengan aman dan damai. Letih yang amat.

Insya-ALlah, jika Allah mengizinkan, kami akan buat bengkel lagi di seluruh negara mulai awal tahun 2014. Sekiranya tuan dan cikpuan berminat untuk menyertainya nanti, bolehlah tuliskan nama, alamat dan emel di ruangan komen di bawah.

** Rencana asal di sini.

@@@@@@@

Catatan sang penglipur lara (baca: Web Sutera) sebelah malam Sabtu selepas bengkel.

Antara isi penglipur lara ini pada sesi Bengkel Penulisan Novel Islami, Sabtu 9 Nov. 2013:

(1) Dalam menulis novel sejarah Islam, saya merujuk epik sesuatu bangsa, Perjanjian Lama (Taurat), Perjanjian Baru (Bible), dan Al-Quran serta hadis Rasulullah yang turut merangkumi tafsir para ulama silam dan kontemporari. Seterusnya penemuan dunia Barat dan Islam di era moden. Akhirnya lakukan rujuk silang dengan tafsir Al-Quran, hadis dan pandangan ulama. Buang mana-mana yang tidak selari dengan sumber Islam itu.

(2) Hasilkan watak tambahan sesuai dengan persekitaran atau catatan sejarah. Bagi bahagian ini, elok banyakkan dialog sebagai penerangan.

Terima kasih khas untuk teman-teman penulis dan bakal penulis di Bengkel Penulisan Novel Islami siang tadi. Saya menerima beberapa mesej yang ucapkan terima kasih atas ceritera saya dalam lestarikan dunia penulisan, dan seterusnya menulis dua novel sejarah Islam.

Moga tuan dan cikpuan beroleh manfaat dari celoteh yang tidak seberapa tadi. Sungguh, saya bercerita dari pengalaman. Penghargaan juga justeru sudi membeli dua novel saya itu. Semua dari Allah belaka.

Daku bukan pengkarya agung. Karya Teragung tetap selamanya Al-Quran. Segala puji dan puja dikembalikan ke hadrat Allah Azza wa Jalla dengan ilham yang dimasukkan ke dalam ruang minda daku.

"Daku bermohon pada-Mu ya Allah, andai bengkok mohon luruskan daku. Andai tersalah, mohon sebatan cinta-Mu. Pastinya daku tetap hamba-Mu yang daif, justeru ampunkan daku."

0 comments:


Photobucket
top