Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.


Allah yang Maha Agung bercerita dalam Kitab Agung Al-Quran: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (Al-Anfal 8:2)

Gelaran Al-Fateh di penghujung nama Sultan Muhammad II, anakanda kepada Sultan Murad II dari Daulah Uthmaniah diberi oleh ulama dan sejarawan Islam, ia bukan nama asal baginda. Makna asas Al-Fateh ialah pembuka, perintis, pemenang dan penakluk yang adil. Begitu juga surah pertama dalam Al-Quran ialah Surah Al-Fatihah, surah pembuka, ibu dari isi keseluruhan Al-Quran.

Dalam Surah al-Fath (kemenangan), surah ke-48, antara lain Allah bercerita mengenai pembebasan kota Makkah yang kelak akan berjaya setelah beberapa tahun ditinggalkan oleh hijrah Nabi Muhammad bin Abdullah (SAW) dan para Sahabatnya ke Madinah. Tiba masanya setelah berjaya menawan / membebas kota Makkah, Rasulullah (SAW) bersama orang Muhajirin dan Ansar menuju ke Hajarul-aswad dan menyentuhnya.

Kemudian Baginda melakukan tawaf sambil tangannya memegang busur panah. Ketika itu Baginda melihat 360 buah berhala yang berada di sekelilingnya lalu membaca firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud: “Telah datang kebenaran dan hancur leburlah kebatilan, sesungguhnya kebatilan itu pasti hancur lebur.” (Al-Isra' 17:81)

Secara umumnya untuk perbincangan kita, Al-Fateh ialah membebaskan sesuatu penguasaan yang jahat atau zalim kepada cahaya Islam yang indah dan damai. Ia juga berkenaan tatacara membentuk daya juang pemuda dan pemudi agar terus istiqamah dalam nilai-nilai Islam. Itulah yang dirintis oleh Sultan Murad II, dan ulama besar wali Allah sebagai penasihat dan peniup obor jihad, dan kemudiannya dijayakan oleh Sultan Muhammad II terhadap kota Konstantinopel dari sang penguasa Bizantin.

Di sini wajah Al-Fateh juga adalah wajah-wajah pemuda jihad yang berani mati demi redha Allah semata-mata. Kosa kata utama ialah ‘pemuda’, justeru kumpulan pemuda pimpinan Imam Mahdi (juga seorang pemuda) dan pasukan tentera berpanji hitam dari Khurasan juga yang akan bebaskan Konstantinopel buat kali terakhir di akhir zaman. Seterusnya tentera yang bermukim dari Baitulmaqdis itu bakal bebaskan dunia dari segala kekejaman anasir sang pembohong besar Dajjal.

Saya terapkan banyak kisah dan ceritera dari sejarah dan masa kini sebagai penguat gaya tazkirah. Juga dipadankan dengan ayat-ayat Al-Quran dan hadis Rasulullah (SAW) yang berkaitan dengan setiap bab. Turut serta ialah ucapan / tulisan ulama dan cendekiawan Islam dari seluruh dunia, insya-Allah, yang sesuai dengan isu yang dibincangkan.

Buku ini ialah sebagai kesinambungan buku Berfikir Gaya Champion, namun ianya lebih ditekankan kepada gaya Al-Fateh. Banyak yang boleh kita ulas, tafsir dan mengambil ibrah dari kehidupan Sultan Muhammad Al-Fateh serta kepimpinannya. Sejarah tetap sejarah, insya-Allah ia bakal berulang. Justeru suruhan Allah agar ‘berjalan di atas muka bumi’ ini.

Pendekatan saya mungkin berlainan untuk siri buku motivasi ini. Seperti buku yang terdahulu, masih santai, namun saya cuba padatkan agar pembaca lebih seronok menelaahnya. Saya selang-selikan dengan kisah, ayat-ayat Al-Quran, hadis Nabi, kisah para Sahabat dan kisah umat terdahulu, serta pantun, tamsil, peribahasa dan puisi. Moga pembaca dapat menyerap rencam penulisan - debar dan tenang, sayu dan gembira, gertak dan kasih sayang.

Dalam usaha membawa satu elemen motivasi kukuh, penulisan buku ini tidak lengkap sekiranya tidak diimbas kembali siapakah di belakang kejayaan Al-Fateh dan bagaimana misi baginda dibentuk dalam meralisasikan sabda junjungan Nabi akhir zaman. Justeru visi Sultan Uthman Al-Ghazi – pengasas sebenar Daulah Uthmaniah - menjadi titik tolak atau asas pembentukan sahsiah Sultan Muhammad Al-Fateh.

Ibrah Sultan Uthman bin Urtughul yang diraih daripada mimpi itu yang menggariskan visi kesultanan yang dinamakan Impian Uthman, yakni pembebasan Konstantinopel. Leluhur sebuah daulah itu berhasrat menyebarkan agama Islam mencapai empat gunung dan empat sungai. Justeru kota Konstantinopel dijadikan matlamat dalam merintis jalan-jalan sutera suci Islam sebagai hadiah kepada umat Islam dan tamadun dunia.

Peranan para alim ulama tidak ketinggalan, tanpa panduan mereka, terasa sesebuah misi untuk bebaskan kekuasaan tirani agak sukar.

Insya-Allah, saya cuba menulis dalam bentuk nasihat yang dibahagikan oleh para ulama kepada dua kaedah – (1) secara lemah lembut dan (2) secara hikmah. Kadangkala kena beduk, kadangkala kena mengelus lembut kepala.

** Insya-Allah, ikhlas dari Web Sutera.

0 comments:


Photobucket
top