Dalam
usaha melentur itu, peranan ulama atau cerdik pandai menjadi penting. Lahirnya
generasi penerus pejuang Islam demi kebaikan manusia sejagat dibentur oleh
mereka yang ikhlas kerana Allah dan demi kelangsungan hidup sebelum mati.
Para
pemuda yang ikhlas berjuang tidak mudah melatah dengan sebarang provokasi
murahan. Mereka mentaakul dengan nasihat ulama yang setia bersama perjuangan
Islam. Mereka bergerak dengan niat kerana Allah, demi tegakkan Islam yang
janjikan pahala jihad yang suci di sisi Allah.
Kisah
ini sangat penting untuk dijadikan rujukan dan ikutan kepada pemuda-pemudi kerana
ia mengisahkan seorang pemuda yang berani kerana Allah hatta dipertaruhkan
nyawa sekalipun justeru menyedari yang nyawa adalah pinjaman Allah. Ilmu yang
benar akan memimpin kita kepada Allah, dan ini yang diajarkan oleh ahli ibadat
sedangkan ilmu yang diajarkan oleh ahli sihir istana adalah batil semata-mata.
Tawakal
dan berserahnya pemuda itu kepada Allah menyebabkan
bukan sahaja dia seorang, malah keseluruhan rakyat negeri itu mendapat hidayah
dan beriman kepada Tuhan Yang Esa. Kita dapat mengikuti kisah pemuda ini
tertera dalam surah al-Buruj dan diterangkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad (SAW)
dalam hadis Baginda. Shuhaib bin Simaan Armi mengatakan bahawa Rasulullah (SAW)
bercerita seperti di bawah dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Nasa’i.
Pada suatu masa dahulu ada seorang raja bangsa Yahudi yang
mempunyai seorang ahli sihir. Apabila sudah tua, pada suatu ketika ahli sihir
itu berkata kepada raja, “Kini saya mencapai usia tua dan mungkin telah dekat
ajal saya. Justeru pohon tuanku kirim kepada saya seorang pemuda yang dapat
saya ajarkan kepadanya ilmu sihir.”
Maka raja berusaha mencari seorang pemuda untuk mempelajari
ilmu sihir itu, dan menemuinya. Pemuda itu diarahkan agar belajar dengan ahli
sihir diraja.
Di tengah jalan di antara tempat ahli sihir dengan rumah
pemuda itu ada tempat seorang pendita (ahli ibadah) yang mengajar agama. Pada
suatu masa pemuda itu singgah di tempat pendita untuk mendengar pengajiannya.
Pemuda itu tertarik dengan ajaran pendita itu sehingga jika dia terlambat
datang kepada ahli sihir, maka dia akan dipukul, dan bila terlambat kembali ke
rumahnya juga dia dipukul oleh ahli keluarganya. Justeru dia mengadu tentang
kejadian itu kepada pendita.
Maka diajar oleh pendita, andai terlambat datang kepada ahli
sihir, katakan, “Saya ditahan oleh ibu saya”, dan bila terlambat kembali ke
rumah katakan, “Saya ditahan oleh ahli sihir.”
Beberapa lama kemudian, pada suatu hari ketika pemuda itu
hendak pergi ke rumah pendita untuk belajar agama, secara mendadak di tengah jalan ada seekor
binatang buas sehingga orang ramai tidak berani berjalan di tempat itu. Pemuda
itu berkata, “Sekarang aku akan mengetahui yang mana lebih baik di sisi Allah,
apakah ajaran pendita atau ajaran ahli sihir.”
Lalu dia mengambil sebutir batu dan berdoa, "Ya Allah!
Andainya ajaran pendita itu lebih baik di sisi-Mu maka bunuhlah binatang itu
supaya orang-orang dapat lalu lalang di tempat ini.”
Lalu dilemparkan batu itu, dan langsung terbunuh binatang
yang menjadi penghalang. Orang ramai gembira kerana telah dapat melalui kembali
jalan itu.
Justeru dia memberitahu kejadian itu kepada pendita. Pendita
itu berkata, “Kamu kini memperoleh pesan dari saya, dan kamu akan diuji. Jika
diuji jangan sampai menyebut nama saya.”
Takdir tentukan yang kemudiannya pemuda itu dapat
menyembuhkan orang buta dan sopak, dan berbagai macam penyakit yang berat-berat
pada semua orang. Namanya terkenal.
Ada seorang pembesar dalam majlis diraja raja Yahudi, dan dia
buta kerana sakit mata. Ketika dia mendengar berita ada seorang pemuda dapat
menyembuhkan pelbagai macam penyakit, maka dia segera pergi kepada pemuda itu
sambil membawa hadiah yang banyak.
Pembesar istana itu berkata, “Sembuhkan saya, dan saya
sanggup berikan kepadamu apa saja yang kamu suka.”
Pemuda itu menjawab, “Saya tidak dapat menyembuhkan seseorang
pun sedang yang menyembuhkan hanya Allah Azza wa Jalla. Sekiranya tuan mahu
beriman kepada Allah, maka saya akan berdoa semoga Allah sembuhkan sakit tuan.”
Pada masa itu juga pembesar itu beriman kepada Allah dan
didoakan oleh pemuda itu. Seketika itu juga pembesar itu sembuh dengan izin
Allah. Kemudian pembesar itu kembali ke majlis raja sebagaimana biasanya.
Raja bertanya, "Hai Fulan! Siapakah yang menyembuhkan
mata kamu?”
Pembesar itu menjawab, "Rabb, Tuhan saya."
“Beta?”
"Bukan! Tuhan saya dan Tuhan
tuanku, yakni Allah.”
Raja Yahudi itu menjadi marah dan
bertanya garang, "Apakah kamu mempunyai Tuhan selain beta?”
Dengan berani pembesar itu
menjawab, "Benar, tuanku! Tuhan saya dan Tuhan tuanku ialah Allah.”
Maka diseksa oleh raja
seberat-beratnya sehingga terpaksa pembesar itu memberitahu raja akan pemuda
yang mendoakannya agar sembuh.
Sebaik
mendengar khabar itu, raja
segera memanggil pemuda itu menghadapnya di istana. Raja berkata, "Duhai
anak muda! Sungguh hebat sihirmu sehingga dapat menyebuhkan orang buta, sopak
dan berbagai macam penyakit!”
Pemuda itu menjawab,
“Sesungguhnya saya tidak dapat menyembuhkan sesiapa pun. Hanya semata-mata
Allah Azza wa Jalla.”
"Adakah beta?”
“Tidak!”
"Adakah kamu ada Tuhan lain
selain beta?"
"Ya, Tuhan saya dan Tuhan
tuanku hanya Allah.”
Maka pemuda itu ditangkap dan
diseksa dengan seksaan yang berat. Kemudian akibat tidak tertahan dan dipaksa
secara kejam, pemuda itu memberitahu raja perihal pendita yang mengajar agama
Tuhan Yang Esa, yang turut didengarnya.
Tidak berapa lama kemudian
tentera raja menangkap orang alim itu dan dibawa ke istana. Dia dipaksa untuk
meninggalkan agama tauhid Tuhan Yang Esa, tetapi pendita tetap bertahan dan
tidak mahu beralih agama. Akibatnya sang algojo, dengan arahan raja, mengergaji
pendita dari kepala sehingga terbelah dua badannya. Maka dia pun syahid dalam
imannya kepada Allah.
Kemudian raja masih menyuruh
pemuda itu tinggalkan agama tauhid yang dianutinya, namun dia tetap enggan.
Raja sangat murka, justeru keluar perintah agar dia diheret ke puncak gunung.
Ketika berada di puncak gunung itu, arahan raja dibaca, yakni kata dua sama ada
masih tetap dalam agama Allah atau dilempar ke bawah. Pemuda berani itu tetap
teguh dengan imannya, tidak mahu mengikut titah perintah raja zalim itu.
Pemuda itu berdoa, “Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta (Ya
Allah! Selesaikanlah urusan mereka ini dengan aku mengikut kehendak-Mu).”
Tiba-tiba gunung itu bergoncang
sehingga mereka yang berada di situ jatuh dari atas gunung dan mati semuanya. Pemuda
itu selamat, dan bersegera kembali menemui raja di istana.
Melihat kehadiran pemuda itu
tanpa orang-orang atau tentera suruhannya, raja bertanya, “Manakah orang-orang
yang membawa kamu?”
Pemuda itu menjawab, "Allah
yang menyelesaikan urusan mereka.”
Lalu pemuda itu diperintah untuk
dibawa ke laut dan kemudian menaiki perahu. Apabila sampai di tengah laut
ditanyakan padanya jika dia mahu mengubah kepercayaannya. Sekiranya masih
berdegil, dia akan dilemparkan ke dalam laut.
Pemuda itu berdoa, "Allahumma ikfinihim bimaa syi'ta.”
Sejurus itu juga, semua tentera
yang membawanya ke tengah laut mati tenggelam. Pemuda itu segera kembali menghadap
raja Israel (Yahudi) itu.
Sang raja hairan justeru pemuda
itu masih hidup. Dia bertanya, “Bagaimana keadaan orang-orang yang membawa
kamu?"
Pemuda itu menjawab sekali lagi, "Allah
yang menyelesaikan mereka.” Kemudian dia menyambung, “Tuanku tidak akan dapat
membunuh saya, kecuali jika tuanku menurut apa yang saya beritahu.”
“Apakah perintah kamu?”
“Tuanku kumpulkan semua orang di
suatu lapangan, lalu tuanku gantung saya di atas tiang. Kemudian tuanku ambil
anak panah milik saya ini dan letakkan di busurnya, kemudian bacalah ‘Bismillahi Rabbil ghulam (Dengan nama
Allah Tuhan pemuda ini). Selepas itu tuanku lepaskan anak panah itu, maka
dengan itu tuanku dapat membunuh saya.”
Maka semua usul pemuda itu
dilaksanakan oleh raja. Ketika anak panah mengenai pelipis pemuda itu, tatkala darah
mengalir laju, dia mengusap dengan tangannya dan meninggal dunia.
Semua orang atau rakyat yang
melihatnya berkata, “Kami beriman kepada Tuhannya pemuda itu.”
Sesudah itu datang orang
memberitahu raja bahawa semua rakyat telah beriman kepada Tuhan pemuda itu,
yakni Allah. Sang raja semakin kecewa dan murkanya semakin menggelegak.
Justeru sang raja
memerintah tentera agar di setiap jalan digali parit dan dinyalakan api. Raja
bertitah, “Siapa
yang tidak mahu keluar dari keyakinannya, bakarlah hidup-hidup dalam parit
itu.”
Justeru
berbaris-baris
rakyat dan mereka didorong secara paksa masuk ke dalam parit berapi itu. Mereka
tetap teguh percaya kepada agama Allah yang dianuti oleh pemuda itu.
Tentera sang raja tanpa belas kasihan terus melaksanakan arahan raja itu. Sampai akhirnya diseretlah seorang wanita yang sedang menggendong bayinya. Imannya teguh dan sanggup mati, tetapi wanita itu mundur sebaik melihat api yang bernyala-nyala justeru kasihan dengan anak kecil yang digendongnya.
Alih-alih bayi itu berkata kepada ibunya, "Wahai bonda! Bersabarlah, kerana sesungguhnya bonda di atas al-haq.”
Tentera sang raja tanpa belas kasihan terus melaksanakan arahan raja itu. Sampai akhirnya diseretlah seorang wanita yang sedang menggendong bayinya. Imannya teguh dan sanggup mati, tetapi wanita itu mundur sebaik melihat api yang bernyala-nyala justeru kasihan dengan anak kecil yang digendongnya.
Alih-alih bayi itu berkata kepada ibunya, "Wahai bonda! Bersabarlah, kerana sesungguhnya bonda di atas al-haq.”
“Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran
bintang-bintang; Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; Dan makhluk-makhluk
yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan.
“Celakalah
kaum yang menggali parit, api yang penuh dengan bahan bakaran. (Mereka
dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya. Sambil mereka melihat apa yang
mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman.
“Dan
mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan
kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!
Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa
menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
“Sesungguhnya
orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang
beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak
bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan
buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana
mereka tidak bertaubat).
(Al-Buruj 85: 1 – 10)
Teguhnya iman pemuda itu akhirnya
diserap oleh semua rakyat negeri sang raja Bani Israel yang kejam itu. Mereka
sanggup mati dalam pertahankan kepercayaan kepada keEsaan Allah, biarpun
dibakar di dalam parit berapi.
Ada maklumat yang mengatakan
jumlah rakyat raja Israel yang dibakar itu sekitar 20 ribu orang. Ashabul ukhdud ini adalah kisah kumpulan
Muslim penganut agama Tuhan Yang Esa yang dibawa oleh Nabi Isa sebelum era Nabi
Muhammad (SAW) di Najran, rajanya ialah Dzu Nuwas dari dinasti Himyar di Yaman
sekitar abad kelima Masihi.
Sahabat Rasulullah (SAW), Ibnu Abbas berkata, “Kisah ini terjadi 70 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad."
Sahabat Rasulullah (SAW), Ibnu Abbas berkata, “Kisah ini terjadi 70 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad."
Pemuda dan ulama saling
memerlukan.
0 comments:
Post a Comment