Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

"Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawahnya adalah sebaik-baik pasukan" – Hadis Rasulullah (SAW)

Hadis di atas sangat mengesankan malah jika menceritakan kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh menawan Konstantinopel pasti hadis ini dijadikan sebagai kapsyen utama.

Novel sejarah yang terlalu banyak ilmu di dalamnya. Perkisahannya juga panjang bermula dari tatkala Nabi (SAW) dengan mukjizat baginda semasa peperangan Khandak sehingga percubaan sahabat-sahabat Rasul (SAW) yang berusaha menakluki kota ini, sehinggalah seorang anak muda yang hanya berusia 21 tahun tika merealisasikan sabda junjungan.

Selain itu penjelasan terhadap fitnah ke atas Saiyidina Muawiyah juga memberi pemahaman yang berbeza setelah banyak versi riwayat yang pernah saya baca sebelum ini. Kisah Abu Ayub Al-Ansari yang mahu dikebumikan di depan pintu gerbang kota membuatkan saya sangat kagumi sehingga mengalirkan airmata.

Secara ringkas ada 3 kumpulan yang saling bercerita mengenai cubaan dari pihak tentera Islam untuk menakluk Konstantinopel dalam sela masa yang berlainan;

(1) Muhammad Nabil seorang anak remaja yang bijak berusia 15 tahun bagi saya adalah refleksi Sultan Muhammad Al-Fateh yang berfikiran cerdas tika muda remaja – pada masa sekarang..

(2) Abdul Kudus dan Sutan Gunung (mereka ini dari kelompok jin) yang berdiskusi mengenai Konstantinopel – suatu masa sebelum kelahiran Sultan Muhammad dan selepasnya.

(3) Grisham Gale, Mavi dan Sarah Mirza – pada penghujung daulah Turki Uthmaniah.
Pembacaan tidak akan keliru kerana terdapat masa, tahun pada setiap bab yang bercerita. Dialog-dialog para pencerita juga mudah untuk difahami, jadi tidaklah terfokus sahaja dengan fakta-fakta yang diberikan.

Percubaan demi percubaan dari pihak Islam untuk menawan Konstantinopel, silih berganti empayar kerajaan Islam, namun misi jihad ini terus menerus sehingga kota itu dapat ditawan. Pada tika kelahiran Sultan Muhammad Al-Fateh semakin bertambah keterujaan untuk bersama beliau membuka Kota Konstantinopel seperti yang disabda Rasul (SAW). Didikan awal yang bermula dari kanak-kanak menjadikan Sultan Muhammad seorang pemimpin yang menepati seperti yang disabda Rasul (SAW).

Saya menelusuri KPPAF pada 29 Mei 2013 bersempena dengan ulang tahun ke 360 tahun pembukaan Konstantinopel oleh Sultan Muhammad Al-Fateh. Mengambil masa 5 hari untuk menghadam novel sejarah setebal 885 mukasurat ini. Nilai sejarah yang terdapat didalamnya tidak ternilai, dan rating 5 bintang juga tidak mencukupi untuk saya mengkelaskan ilmu di dalamnya…terlalu bernilai.

Saya sangat kagumi penulis dengan ilham yang dikurniakan oleh Allah SWT dapat menulis dan memberi ilmu kepada pembaca. Tahniah kepada penulis, Tuan Web Sutera!

Tajuk: Konstantinopel: Kibaran Panji-panji Al-Fateh
Penulis: Web Sutera
Terbitan: Galeri Ilmu

** Oleh Secondhand Novel di grup BukuTigaLima.

2 comments:

Admin 1 said...

Bukunya tebal sekali, ya...
Novel yang baik tampaknya, dari ulasan itu.

Tapi, saya lebih suka sejarahnya saja dari Muhammad Al-Fateh.

Terima kasih

Web Sutera said...

Terima kasih, Pengurus Situs.


Photobucket
top