Pada hari ini beliau akan berkongsi tip-tip penulisan dan pengalaman beliau sebagai penulis. Terima kasih kepada tuan / puan / cik kerana meluangkan masa pada hari ini. Kita mulakan dengan sesi perkenalan dahulu.
Jawapan: Saya menggunakan nama pena Web Sutera. Nama sebenar ialah Hizamnuddin bin Awang. Sebelum
menceburi dalam bisnes katering sepenuh masa, saya pernah menjawat jawatan
Editor bagi subjek matematik dan komputer di salah sebuah syarikat penerbitan.
Selepas itu selama 11 tahun bekerja di MIMOS Berhad dan Jaring Communications
Sdn. Bhd. sebagai Penyelidik dan Pegawai Pemasaran yang fokus tugasnya kepada
penulisan bahan-bahan pemasaran, pendidikan ICT / Internet dan branding.
Semasa bekerja di Jaring Communications Sdn.
Bhd., saya melaksanakan tugas-tugas sebagai penulis, editor bersekutu (associate
editor) dan editor online
bagi majalah Jaring Internet Magazine. Dalam waktu yang sama saya banyak
menyumbangkan hasil penulisan kepada beberapa majalah berbahasa Melayu tempatan
dan juga bagi tugas rasmi untuk sisipan Komputer, Berita Harian. Kesemua subjek
penulisan saya ialah dalam bidang sains dan teknologi, ICT, internet dan
peradaban manusia. Jawatan terakhir saya ialah Ketua Unit bagi salah satu unit
dalam jabatan Komunikasi Korporat dan Branding syarikat Jaring Communications
Sdn. Bhd.
Kini saya mengusahakan bisnes katering
sepenuh masa bersama isteri. Dalam pada itu, saya meneruskan habit membaca dan
menjadi pengulas dan pengkritik buku-buku fiksyen dan non-fiksyen.
Soalan pertama, apakah
ciri-ciri yang perlu dipunyai sebagai seorang penulis? Adakah semata-mata
konsisten menulis sahaja?
Jawapan: Untuk menjadi penulis yang
baik, wajib rajin membaca, menelaah dan memerhati. Kemudian mentaakul setiap
ilmu yang diperoleh itu. Taakul dengan semangat untuk mengambil pengajaran,
untuk berkongsi. Konsep ini lebih kepada amalan belajar sepanjang hayat, selari
dengan anjuran Nabi Muhammad (SAW).
Jangan
sombong dengan ilmu, justeru itu milik Allah. Oleh kerana milik Allah, buat apa
kita sombong, kelak Allah boleh sahaja menarik balik ilham dan pemahaman ilmu
itu. Baca, taakul dan tulis. Buat adaptasi di mana perlu, kemudian persembahkan
kepada khalayak. Ikhlaskan niat, insya-Allah, ilmu itu bakal beroleh manfaat
untuk diri sendiri dan orang lain yang membacanya.
Penulis wajib ikhlas menulis.
Soalan kedua, apakah dorongan
utama tuan semasa menulis sehingga karya pertama berjaya diterbitkan
sehinggalah karya yang ada sekarang?
Jawapan: Saya ulangi, penulis wajib
ikhlas menulis. Jujurnya, siapa tidak mahu duit dengan menulis. Namun jangan
pula niat menulis buku atau novel semata-mata demi duit. Apa yang sangat utama
ialah mencari redha Allah, dan agar semua pihak mendapat manfaat daripada
buku-buku yang diterbitkan.
Bercerita mengenai kejayaan,
banyak pembaca mahu tahu apakah teknik dan strategi supaya menghasilkan karya
mereka sendiri. Apakah caranya supaya seseorang penulis boleh terus
menghasilkan karyanya?
Jawapan: Jangan tulis
kerana duit semata-mata, betulkan niat. Tulis untuk dakwah dan saling
mengingati. Itu hasrat saya, dan syukur Allah berikan kemudahan. Wang perlu,
tapi redha Allah paling utama. Saya jahil, sahabat, saya pernah silap langkah.
Saya sedar. Doa, taubat dan tawakal. Kasih dan cinta Allah untuk kita,
insya-Allah. Niat bersih, duit ikut kita dari belakang, jadi hamba kita, bukan
sebaliknya.
Mungkin, hikmah saya boleh istiqamah dan kuatkan
semangat di sela-sela blok minda menulis dan kemalasan ialah justeru menulis
dari hati. Menulis dari kesedaran yang saya perlu buat sesuatu.
Saya tidak mendalam ilmu agama. Cuma ingin belajar betulkan
diri, mahu berubah, niat luruskan langkah sendiri yang terasa pincang. Mengaku
di hadapan Allah. Mahu berubah dan berhijrah, menjadi lebih baik. Menjadi
Champion dari sudut tersendiri.
Membaca buku-buku yang
baik, kitab, al-Quran. Kemudian fahami, taakul dan serap. Amalkan, insya-Allah.
Dirikan yang wajib, buatkan yang sunat. Usaha, doa dan tawakal.
Pada pandangan tuan,
adakah bahan bacaan dan rujukan itu penting untuk menghasilkan buku. Bagaimana
pula memanfaatkan bahan bacaan dan rujukan ini supaya dapat dibuat buku?
Jawapan: Sudah semestinya bahan dan
rujukan penting dalam menulis perkara yang baik. Lagi banyak membaca, lagi
baik. Ingin saya berikan satu tip penting dalam bidang menulis ini, iaitu
berkaitan dengan kenyataan bahawa hanya al-Quran yang benar-benar original, itu
jaminan dari Allah.
Bahan-bahan
lain ialah berupa hikmah atau ilmu milik manusia atau lebih tepat milik Mukmin
yang tercicir. Saya ulang kembali, asal ilmu itu milik mutlak Allah. Ambillah
dari sumber manapun, namun pastikan ia selari dari sudut al-Quran dan ingatan
Rasulullah (SAW).
Manfaatkan
bahan bacaan dengan membuat proses adaptasi, sesuaikan dengan apa yang mahu
disampaikan. Harus jangan dilupa, penulis juga wajib melihat elemen pahala dan
dosa, halal dan haram. Ikhlaskan niat. Usaha dan doa.
Soalan terakhir, boleh
kongsikan empat prinsip tuan semasa berkarya?
Jawapan:
(a) Ikhlaskan
niat untuk menggapai redha Allah.
(b) Betulkan apa
yang salah ambil / difahami oleh masyarakat atau khalayak pembaca. Kongsikan
ilmu yang diilhamkan. Lestarikan menjadi buku atau novel yang bermanfaat.
(c) Buntu? Minta
pandangan dari orang-orang atau sahabat yang boleh dipercayai. Kongsi, debat
dan lestarikan. Saya ulang, ikhlaskan niat kerana Allah.
(d) Buntu lagi?
Amalkan doa-doa mustajab, atau minta dengan Allah secara terus dalam bahasa dan
gaya sendiri. Solat sunat agar Allah mudahkan segala usaha.
Jawapan:
Untuk PBAKL
2013 ini, insya-Allah, boleh dapatkan tiga buah buku saya bersama Galeri Ilmu.
(a) Novel
sejarah – Macedonia: Alexander Agung
dengan tagline Hijab Raja Zulqarnain. Alhamdulillah, setakat ini penerimaan daripada pembaca sangat baik.
(b) Buku
motivasi berjudul Berfikir Gaya Champion.
Kita mungkin tidak boleh menulis
buku motivasi yang baik jika kita sendiri tidak mengalaminya, yakni mungkin
kegagalan atau kesukaran. Inilah yang
ingin saya kongsikan dalam buku ini, insya-Allah. Moto utama ialah doa, usaha
dan tawakal. Ia kisah saya dan tafsiran serta taakulan saya daripada peristiwa
seharian. Cerita biasa-biasa yang saya harap menjadi luar biasa dengan
penyampaian santai.
(c) Novel sejarah kedua berjudul Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH. Insya-Allah, kita boleh bersemuka, bertemu dan berbual.
Datanglah juga untuk mendapat autograf bagi setiap buku saya.
** Entri asal dari Buku Kita Harta Kita.
0 comments:
Post a Comment