
Terima kasih kepada semua yang mencintai buku dan dunia keilmuan. Pesta buku tahun ini membuka sebuah laluan yang cerah buat saya, insya-Allah, dengan sokongan serta bantuan semua.
Hari raya sudah tamat, buat sementara. Kerja-kerja penulisan bakal diteruskan. Saya tidak akan berundur walaupun beberapa manuskrip saya ditolak penerbit. Saya akur dengan keputusan demi menambah baik mutu penulisan saya.
Kesempatan bertemu dan berbual kali kedua dengan novelis sejarah no. 1 Malaysia, Tuan Abdul Latip pada suatu hari mengujakan saya. Beliau turut membeli novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain. Tuan Abdul Latip merupakan salah seorang Sifu saya dalam penulisan kreatif. Nama beliau saya sebutkan dalam Prakata novel sejarah sulung saya di bawah penerbit Galeri Ilmu Sdn Bhd. ini.

Pada hari terakhir 6 Mei saya menziarah gerai kepunyaan Ustaz Riduan Mohamad Nor, Jundi Resources. Sebanyak lebih kurang RM140 saya laburkan (sebelum diskaun) di gerai tersebut. Sembang dan bertukar pendapat bersama beliau mencerahkan ruang naluri. Cadangan dan cabaran dari insan budiman itu juga sedang saya fikirkan, insya-Allah.
Secara rambang info yang dikumpul seputar teman-teman pembaca dan pentaksub buku, mereka menghabiskan paling kurang pun RM200 sepanjang PBAKL 2012. Ada kalangan sahabat yang berbelanja RM500 dalam satu hari, ada juga yang 'terbeli' sebanyak RM800. Saya? Entah, tidak mahu dihitung.
Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan saya tahun ini. Walaupun demikian apabila tiba di rumah saya berkata, "Alamak! Buku itu belum saya beli!"
Foto ‘riak buku’ yang saya paparkan di sini adalah sebahagian hasil buruan di PBAKL 2012. Memang sebahagian daripada buruan. Dua bahagian lain ialah 30 naskhah novel sendiri dan hampir 20 buah buku kanak-kanak untuk tujuan khusus dan hadiah untuk anak saya.
Terima kasih kepada teman, sahabat

Bagi sesiapa yang tiada kesempatan datang ke PBAKL 2012, sila dapatkan novel Macedonia: Alexander Agung - Hijab Raja Zulqarnain di rangkaian kedai buku POPULAR Bookstore dan MPH di seluruh negara. Bagi pemegang kad Popular, ada diskaun 20% untuk Pilihan Popular Mei 2012.
Saya dan beberapa watak dalam Hardcore RAMFC berbual santai di tingkat 5 PWTC pada hari terakhir PBAKL 2012. Bersama kami ialah novelis thriller no. 1 Malaysia, Tuan Ramlee Awang Murshid. Beliau berkata, "Novel Macedonia: Alexander Agung ini bagus dan terbaik dari Web Sutera. Saya sendiri tidak dapat menukilkan novel sejarah sebegini justeru perlu merujuk banyak buku dan fakta sejarah. Saya lebih mudah membayangkan plot-plot fantasi dalam kepala dan terus menaip. Itu mudah bagi saya, sementara Web Sutera suka mengkaji."


Dalam perjalanan balik ke rumah dari pejabat penerbit Galeri Ilmu pada 9 Mei, saya sempat singgah di kedai buku Popular Ampang Point bagi meninjau dua buah buku saya. Di kesempatan itu juga, nafsu membeli buku masih membara. Hasilnya dua buah fiksyen klasik; Dracula oleh Bram Stoker dan The Phantom of the Opera oleh Gaston Leroux; turut dibeli.
0 comments:
Post a Comment