Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Saya cukup terkesan dengan pengorbanan suami kepada Puan Molee Kamal, staf Alaf21 Sdn. Bhd. Puan Molee Kamal sedang menerima ujian Allah.

Di dinding FBnya beliau menyatakan:
“My 2nd anniversary. Tak tergambar bahagia antara kami berdua, walau dilanda pelbagai ujian terutama sakit yang sedang aku hadapi. Terima kasih kerana menjadi suami yang penyayang, sangat memahami. Walau ada kekurangan darinya, tapi dia cuba sedaya upaya menjadi sempurna untuk aku. Dari dapur, tangan memutar kerusi roda, di dalam bajunya ada baby carrot untuk aku di dalam bilik, dimulutnya pula membawa coklat. Bila aku kesejukan, dia bersusah payah menutup suis kipas, walaupun suis tersebut berdekatan dengan aku. Setiap malam dia akan memegang bahagian tubuhku yang sakit sambil membacakan ayat-ayat al-Quran supaya aku dapat tidur lena, dan sentiasa membisikkan padaku bahawa aku amat cantik dan sempurna untuknya, walaupun banyak perubahan pada diriku. Itulah Ahmad Daniel Shah.”
Dalam manuskrip travelog kehidupan yang saya serahkan kepada Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM: Dahulunya ITNM) untuk dinilai, saya ada perkisahkan satu ceritera kehidupan. Catatan itu seperti di bawah.

Seperti catatan travelog di bahagian pertama buku ini, saya juga menerima banyak ujian dari Allah. Salah satunya ujian isteri tersayang sakit selama beberapa ketika.

Pada peringkat awal, saya membawa isteri ke klinik berdekatan. Selepas diagnosis ringkas, doktor berkata tiada sebarang penyakit. Kemudian saya membawanya ke Hospital Ampang Puteri. Di sana ujian darah dilakukan. Keputusannya seperti biasa sahaja; tahap gula normal, kandungan kolestrol okey, kandungan darah merah dan putih stabil.

Isteri saya mengadu sakit berterusan. Sampai ketika paling teruk, dia tidak boleh bangun untuk berjalan, apatah lagi bekerja secara biasa. Mahu ke bilik air pun terpaksa dipapah. Kasihan saya melihatnya. Saya sentiasa menemaninya di katil. Bimbang dan takut melanda sanubari. Demi Allah, saya takut kehilangannya. Doa, munajat dan permohonan kepada Allah tidak putus-putus saya panjatkan.

Saya terus berusaha melalui kaedah pengubatan tradisional pula. Saya membawa isteri pulang ke kampung di Jerantut, Pahang. Seterusnya ke Rantau Panjang, Kelantan dan ke kampung kelahiran saya di Besut, Terengganu.

Pelbagai kaedah pengubatan tradisional, sehinggakan ada pengamal perubatan menatijahkan kepada perbuatan jin dan syaitan. Saya mulai cuak, sehinggakan saya dapat menelah apa kata seorang pengamal perubatan tersebut, iaitu “Abang pasti selepas ini tiga biji buah limau akan timbul" di hari ketiga. Sah, memang tiga biji buah limau timbul!

Situasi isteri saya tidak berubah secara drastik, hanya mengalami perubahan kecil sahaja. Saya mulai syak yang kaedah pengubatan tradisional yang saya hadiri tidak ke mana, malah banyak pula unsur-unsur kurang sihat. Saya meneruskan meminta bantuan dan ihsan dari Allah yang Maha Penyembuh.

Mungkin dengan ilham dari Allah, saya sekali lagi pergi ke Hospital Ampang Puteri. Kali ini saya dan isteri membuat temu janji dengan seorang doktor pakar. Berkat nasihat doktor pakar, penggunaan ubatan-ubatan yang mahal harganya, dan dengan cinta Allah yang agung, isteri saya sembuh. Dia sihat kembali seperti sebelumnya, malah macam tidak pernah sakit.

Alhamdulillah. Itulah secebis kisah di celah-celah travelog kehidupan. Usaha, doa dan tawakal membuahkan hasil. Sesungguhnya Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya yang pasrah memohon limpah rahmat dan cinta-Nya terbiar terkapai-kapai sendirian.

** Keterangan foto: Isteri saya Cef Hana sedang menghias meja bufet di sesi katering Tahun Baharu Cina 2012 di rumah klien Cina di Ampang Permai, Selangor.

6 comments:

Ainon Mohd. said...

Allah meringankan. Amin... Amin..

Ahmad Ziakari said...

Sakit adalah ujian dan boleh menjadi satu rahmat dan jalan untuk Allah mengurangkan dosa kita. Diharap sisakit dan keluarga redha dengan ketentuan Allah dan teruskan ikhtiar dalam kesabaran.

Web Sutera said...

Wahai para isteri, hayatilah cinta kami kepada isteri kami :-)

Molee Kamal said...

Terima kasih kerana sudi membaca catatan luahan saya yang tidak seberapa, terima kasih juga kepada semua suami yang menghargai isterinya, menyayangi dengan sepenuh hati. Semua isteri tidak akan sempurna jika tidak mendapat bimbingan dari suami sehebat anda semua...

Norliza Adanan said...

Bagus suaminya. Tak ramai suami sanggup berkorban untuk menjaga isteri yang sakit.

Anonymous said...

Jika anda telah disahkan mempunyai fibroid,cyst dan dinasihatkan membuat pembedahan..makanlah SALAMON selama 1-2 minggu. Selepas itu buatlah pemeriksaan semula di klinik.


Photobucket
top