Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Kenal sosok bernama Abdul Rahman bin Auf? Beliau antara sahabat Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam) paling kaya. Kalau di era kita, beliau mungkin sekaya bilionir Donald Trump.

Semasa kematiannya, Ali bin Abi Talib berkata kepada jenazahnya, "Tuan telah mendapatkan kasih sayang Allah dan tuan berjaya menundukkan kepalsuan dunia. Semoga Allah sentiasa merahmati tuan. Amin!"


Dalam al-Quran, Tuhan berkata:


“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah).


Janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)


Banyak kisah sifat dermawan Abdul Rahman bin Auf ini. Salah satunya ialah cerita ini.


Pada suatu hari, Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam) berucap bagi membangkitkan semangat jihad dan meraih pengorbanan para Mukmin. Baginda berdiri di tengah-tengah para sahabat, lalu berkata, “Jika ada antara kalian yang mahu bersedekah, maka bersedekahlah. Saya ingin mengirim satu pasukan ke medan perang!”


Sebaik sahaja mendengar saranan Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam) itu, beliau bersegera pulang ke rumahnya.

Beberapa ketika kemudian beliau kembali mengadap Rasulullah dan berkata, “Wahai Rasulullah! Saya mempunyai wang 4,000 dinar. Sebanyak 2,000 dinar saya pinjamkan kepada Allah dan 2,000 dinar lagi saya tinggalkan untuk keluarga.”
Kemudian beliau menyerahkan wang 2,000 dinar kepada Rasulullah.

Justeru itu Rasulullah berkata, “Semoga Allah melimpahkan keberkatan-Nya kepada tuan terhadap harta yang tuan berikan. Juga semoga Allah memberkati pula harta yang tuan tinggalkan untuk keluarga tuan.”


Khalifah Umar bin Khattab mengisytiharkan perang terhadap semua bentuk pengganguran, kemalasan dan kelembapan. Beliau pernah menarik keluar para pemuda yang diam dalam masjid dan tidak melakukan sebarang kerja. Umar memukul mereka dan berkata, "Keluar kalian dan carilah rezeki. Langit tidak akan menurunkan emas dan perak."


Nabi Muhammad bin Abdullah (Sallallahhu’alaiwasallam) berkata, "Sesungguhnya Nabi Allah Daud makan dan minum daripada hasil usahanya sendiri."


Telusuri sejarah di era Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam) dan para sahabat, serta era kegemilangan khalifah daulah Islam selepasnya. Banyak contoh tauladan bagaimana mereka mengamalkan ajaran dan tunjuk ajar daripada Rasulullah (Sallallahhu’alaiwasallam) bahawa Islam mahukan panganutnya kaya. Kaya dalam segala segi, kemudian menjadi dermawan.


Salah satu manifestasi kekayaan ialah bersedekah, selain daripada berzakat wajib. Justeru itu kaya bukan sahaja melalui nilaian wang ringgit dan harga benda yang boleh dilihat dan dibelanjakan. Malah dalam Islam kaya juga termasuk sikap dan olahan keseluruhan hidup kita.


Doa untuk seorang sahabat juga sedekah. Doa semoga musuh kita bertaubat juga sedekah. Membuang halangan di sebatang jalan adalah sedekah. Itulah peribadi seorang kaya yang dermawan. Tidak kedekut, walaupun sepotong doa dan nasihat.


Kaya dengan sikap bertolak ansur dan saling bertimbang rasa. Kaya dengan sikap pemaaf, walaupun seseorang itu pernah melakukan kesalahan kepada kita atau waris-waris kita. Sekiranya si fulan itu datang meminta maaf, maka bersikap baiklah. Justeru itu, saudara memang kaya lagi dermawan!


Ada banyak harta, dermawan gaya orang kaya berharta. Ada harta sedikit, jadi dermawan secara sedikit. Tiada harta benda yang boleh didermakan, derma budi pekerti dan sikap baik sesama manusia dan penghuni alam yang lain. Itu pun harta juga.


Tanamkan sikap berwawasan gaya Champion yang kaya dan dermawan. Ruang lingkupnya luas.


** Kisah-kisah, kata-kata hikmah, peransang, sumber inspirasi dan tamsil ibarat saya kumpulkan dan masukkan sebagai isi kandungan buku seterusnya, insya-Allah. Doakan semoga Allah memperkenankan hasrat saya ini, di bawah judul Wawasan Gaya Champion. Sebarang ujana daripada penerbit atau wakil penerbit sangat dialu-alukan, insya-Allah.

0 comments:


Photobucket
top