Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

22 Zulkaedah 1432H - Pada tanggal 15 Oktober 2011, saya memandu di sepanjang Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Bertemankan seorang sahabat akrab, Tuan Zainal bin Haji Mohd. Nor, saya memulakan perjalanan lebih kurang jam 11.30 am dari Kepong, Kuala Lumpur.

Kali ini saya kembali ke Kota Gelanggi Satu (KG1), Jerantut, Pahang, bagi meraikan majlis perkahwinan seorang anak jiran dan juga keluarga sahabat baik aruah ayahanda dan bonda. Kesempatan pulang ke perkampungan KG1 juga menerbitkan idea dari Tuan Zainal, iaitu singgah sebentar menghirup udara segar di Taman Negara di Kuala Tahan, Jerantut.


Malu juga untuk saya menyatakan bahawa semenjak bermastautin di KG1 sebermula tahun 1977, saya tidak pernah ke Taman Negara, walhal jaraknya hanyalah lebih kurang satu jam perjalanan yang merentasi Padang Piol. Itulah hakikatnya. Namun saya kira okey juga kerana mengakui kepada teman Tuan Zainal dan teman-teman lain bahawa saya tidak pernah menjejaki kaki ke sana.

Ada seorang teman di Padang Piol yang juga tidak pernah ke Taman Negara, padahal jarak dari rumahnya hanyalah lebih kurang lima belas minit pemanduan kereta berkelajuan sederhana (sambil mengelak jalan rosak). Dia dipetik sebagai berkata, “Alah! Rumah aku dekat sahaja dengan Taman Negara.” Aduhai! (Saya harap teman itu tidak marah kerana menyebutkan perihal dirinya di sini).


Setibanya kami berdua di persimpangan Jerantut-Maran, saya membelok kereta ke sebelah kiri menuju ke Taman Negara, walaupun pada mulanya tersasul ingin ke sebelah kanan. Apa lagi, sebuah kereta menempitkan honnya! Saya dan Tuan Zainal hanya tersenyum kerana saya sudah menyedari ada dua buah kereta di belakang. Saya sudah mengambil langkah berhati-hati.

Jarum jam menunjukkan waktu menghampiri 4.00 pm. Pemanduan ke Taman Negara agak perlahan di sepanjang jalan menuju ke Padang Piol. Jalan kurang cantik. Berlopak dan agak kecil. Menurut kata Tuan Zainal, dahulu lagi teruk. Pada hemat saya, laluan tersebut semestinya dinaik taraf kerana itu merupakan satu-satunya laluan ke Taman Negara. Ramai pelancung luar negara yang sering berkunjung ke sana.


Sebaik sahaja memasuki kawasan perkampungan Padang Piol, baharulah jalan elok, justeru perjalanan juga menjadi sedikit lancar. Semakin menghampiri Taman Negara, saya melihat banyak rumah penginapan, resort, chalet serta hotel bajet yang disediakan. Saya memakir kereta di tepian Sungai Pahang (walaupun saya perasan terdapat papan tanda melarangnya), betul
-betul berdepan dengan Taman Negara. Kemudian kami menaiki sebuah perahu kecil bagi melintasi Sungai Pahang dengan bayaran RM1 setiap seorang. Suasana hening sebaik sahaja kaki saya menaiki tangga menuju ke atas.

Photobucket
Berjalan santai, saya dan Tuan Zainal menuju ke satu kawasan tinjauan bernama Bumbun Tahan bagi melihat kelibat binatang yang mungkin muncul. Hampir setengah jam kami menunggu, namun seekor binatang pun tidak muncul. Agaknya masa tidak berketepatan.

Faktor masa menjadi penghalang. Kalau tidak, mungkin saya dan Tuan Zainal bakal menaiki bot laju panjang menuju ke destinasi menarik yan
g lain. Kami minum dan melepak sekejap di sebuah restoran terapung, makan lempeng (orang putih kata pancake). Singgah juga di salah sebuah kedai menjual barang-barang cenderahati.

Photobucket
Kami berdua bertolak menuju ke KG1 sekitar jam 6.15pm. Hari sudah mulai gelap dan hujan mulai renyai-renyai mencurahkan butir-butir halus di sepanjang pemanduan merentasi Padang Piol kembali ke KG1. Gerimis di senja hari. Kami selamat tiba di rumah peninggalan kedua-dua aruah orang tua saya sekitar jam 7.15 malam.

Usai berehat sebentar, kami ke rumah Makcik Halimah selepas waktu Isyak bagi majlis solat Hajat dan tahlil. Sekali lagi saya dapat menatap wajah-wajah tua dan bersalaman dengan rakan-rakan aruah ayahanda. Ya, wajah-wajah tua mereka, tetapi jelas terpancar keriangan dan ketenangan.

Tidak lupa menegur sapa dan saling bertanya khabar para makcik rakan aruah bonda, juga dengan wajah-wajah tua yang murah senyumannya. Alhamdulillah.


Anak-anak dan menantu Makcik Halimah dan aruah Pakcik Mohd. Nor memberitahu saya untuk majlis malam itu sahaja seekor kambing dan seekor lembu dikorbankan. Sebagai seorang yang 'elergik' dengan daging kambing, apa lagi dua pinggan nasi saya makan. Tuan Zainal pula malu-malu kucing.

Untuk majlis meraikan pengantin terakhir pasangan Makcik Halimah dan aruah Pakcik Mohd. Nor pada keesokan harinya, seekor lembu lagi tumbang., Wah! Memang besar majlisnya. Al-maklumlah, anak terakhir dalam keluarga. Anak lelaki yang hanya seorang pula. Namanya Saiful atau panggilan kampung Epul.


Sekitar jam 8.30 pagi tanggal 16 Oktober 2011, suasana mulai sibuk di rumah Makcik Halimah, selang sebuah rumah dari rumah saya di KG1. Saya juga memunculkan diri. Sekali lagi bertegur sapa dan bersalaman dengan orang-orang tua, dan generasi kedua Felda KG1 yang saya kenali. Tidak lupa makcik-makcik seputar rakan-rakan lama aruah bonda. Pelbagai pertanyaan saya menjawabnya dengan sopan dan ada ketikanya berlapik kata.


Semua gerak kerja memasak dijalankan secara gotong royong. Sebaik sahaja lembu disembelih, aktiviti melapah dan memotong daging lembu dibuat beramai-ramai. Suasana sedikit riuh, diselang-selikan dengan bunyi parang dan kapak memotong tulang-tulang lembu. Tugas-tugas sudah dibahagikan di antara warga KG1. Justeru sekitar jam 11.30 pagi, masakan sudah tersedia untuk dihidangkan.


Tahniah khas untuk Tuan Saiful bin Mohd. Nor dan isteri dari Temerloh. Semoga berbahagia sehingga ke dunia satu lagi, di akhirat yang kekal abadi.


Photobucket
Saya dan Tuan Zainal bertolak pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 3.00pm, 16 Oktober 2011. Perjalanan lancar. Terima kasih, Tuan Zainal bin Haji Mohd. Nor, kerana menemani saya ke KG1 dan idea mengunjungi Taman Negara. Setelah 42 tahun, inilah pertama kali saya ke sana.

Foto-foto dirakamkan oleh Tuan Zainal dan saya sendiri ketika perjalanan ke KG1, di Taman Negara dan di majlis keraian perkahwinan Tuan Saiful di KG1.

Photobucket
Photobucket
Photobucket

0 comments:


Photobucket
top