Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

5 Syawal 1432H - Tunku Abdul Rahman hero, Datuk Onn juga hero? Ya okey, mereka mungkin hero kemerdekaan atau perunding kemerdekaan. Insan-insan lain yang tidak bernama lagi hero kerana benar-benar berjuang. Justeru kerana mereka bukannya berjuang atas tiket UMNO, maka UMNO cuba menggelapkan mereka dari sudut sejarah negara. Sudah lama dahulu saya memikirkan hal ini. Sejarah Malaysia yang dipaparkan dalam teks sekolah hanyalah pandangan UMNO sahaja. Ya, demi politik cemar.

Fahaman Komunis kekal aliran yang salah, malah haram hukumnya dalam Islam jika mendokong ajaran itu. Namun begitu, adu domba dan fitnah juga salah satu yang diharamkan oleh ajaran Islam.

Akhbar jahanam Utusan Malaysia terus begitu. Fitnah, putar belit dan adu domba. Itulah selamanya.


Rakyat perlu berjiwa besar menghadam sejarah sebenar - SAMM


Isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950-an telah dikenang sebagai serangan kumpulan pengganas ke atas sekumpulan anggota polis yang bertahan di rumah pasong. Persepsi ini telah ditulis oleh pengkaji sejarah mengikut acuan pihak tertentu bagi menyembunyikan hakikat sebenar – pihak yang menentukan apakah kriteria pejuang kemerdekaan.


Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin (kini Tan Sri) membuat filem Bukit Kepong berdasarkan persepsi betapa pihak yang menyerang rumah pasong Bukit Kepong itu adalah pengganas, sedangkan gerakan yang diketuai oleh Mat Indera juga sebenarnya harus dikenang sebagai salah satu serangan ke atas kubu British yang menjajah Tanah Melayu untuk beberapa abad lamanya.


Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Wilayah Persekutuan ingin menegaskan bahawa sejarah kemerdekaan negara harus segera dikaji semula oleh pengkaji sejarah yang tidak berkepentingan selain daripada merekodkan sejarah sebenar, bukan oleh pengkaji sejarah upahan yang menulis berdasarkan telunjuk pihak yang menang bagi menutup sejarah di sebalik sejarah.


Tindakan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu (foto atas) mengulas mengenai peristiwa Bukit Kepong dan watak sebenar Mat Indera dalam ceramahnya harus dipuji kerana ia membangkitkan ghairah rakyat terutamanya dari golongan anak muda untuk mengetahui sejauh manakah British itu dianggap sebagai penjajah dan apakah dengan menyerang British itu akan dianggap sebagai pengkhianat di Tanah Melayu.


Pihak polis di rumah pasong Bukit Kepong itu juga bertugas bagi mempertahankan kepentingan British seperti estet getah dan ladang. Adakah pasukan polis ketika zaman jajahan British menunjukkan taat setia mereka terhadap Queen of England apabila lagu "God Save the Queen" didendangkan setiap kali lawatan pegawai tertinggi British? Ini juga persoalan yang harus digali semula untuk rakyat mengetahui sejarah penentangan penjajah yang sebenar.


Ia berkait rapat dengan proses menuntut kemerdekaan apabila semua kumpulan, kesatuan dan pertubuhan yang bergerak menuntut kemerdekaan telah diharamkan kecuali UMNO. Kumpulan penuntut kemerdekaan ini akhirnya dituduh sebagai pengkhianat dan pengganas hanya kerana menentang British yang statusnya masih lagi penjajah di Tanah Melayu ketika itu. Turut menjadi persoalan ialah, mengapa UMNO sahaja yang dibenarkan berkempen untuk merdeka sedangkan banyak lagi pergerakan menuntut kemerdekaan. Adakah UMNO membenarkan pertubuhan mereka menjadi talibarut British demi untuk merdeka di atas acuan penjajah?


Oleh yang demikian, SAMM Wilayah Persekutuan di atas rasa tanggungjawab ke atas sejarah negara yang dikhuatiri terperosok, harus digemburkan semula untuk tatapan rakyat. Sejarah peradaban negara juga seharusnya disifatkan dengan lebih keterbukaan kerana ia membentuk asal usul kita rakyat Malaysia. Rakyat juga harus lebih terbuka dan berjiwa besar untuk menerima hakikat sebenar sejarah negara, lebih-lebih lagi apabila ianya melibatkan proses menuntut kemerdekaan.


Bagi kami anak muda inilah satu peluang sangat baik sempena pasca hari kemerdekaan ke-54, untuk rakyat mengasak pihak berwajib bagi menampilkan sejarah sebenar kemerdekaan negara. SAMM akan ke hadapan bagi merealisasikan apa itu sejarah.


“Perjuangan adalah Perlaksanaan kata-kata."


-- Oleh Shariful Azmir Bin Haji Mustafa, Penyelaras Negeri, Solidariti Anak Muda Malaysia Wilayah Persekutuan.


Di bawah ini pula petikan kenyataan AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.


Mat Indera adalah seorang guru agama yang mendapat tauliah agama dari sultani Johor, kata AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik. “UMNO dan penjajah yang tuduh Mat Indera komunis.”


Beliau mengulas serangan UMNO dan medianya yang bertubi-tubi terhadap Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu yang mencadangkan agar sejarah negara dikaji semula. Ini berikutan daripada dakwaan bahawa UMNO melakarkan sejarah negara berdasarkan kepentingannya tetapi bukan cerita yang sebenar.


Mohamad Sabu berkata, isu serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada tahun 1950 telah diceritakan UMNO sebagai penjahat menyerang hero, iaitu polis yang mempertahankan balai itu. Ia menjadi satu kepercayaan ramai apabila Jins Samsudin membuat filem Bukit Kepong pula berdasarkan persepsi itu.


Antara yang menyerangnya adalah kumpulan yang dipimpin oleh Mat Indera di samping komunis yang juga melawan penjajah British ketika itu. Polis ketika itu adalah bertugas dengan penjajah Inggeris yang menjajah Tanah Melayu pada waktu itu.


Antara pihak yang menentang Inggeris adalah pejuang Islam yang dipelopori oleh Abu Bakar Al-Bakir, kumpulan Nasionalis Melayu pimpin Ahmad Boestaman dan juga komunis.


Namun kesemua mereka tidak menjadi hero yang memperjuangkan kemerdekaan, dan sejarah negara yang dipimpin UMNO hanya menyatakan hero adalah Datuk Onn Jaffar dan Tunku Abdul Rahman. Padahal Datuk Onn adalah menteri besar yang dilantik Inggeris untuk mentadbir Johor. Tunku Abdul Rahman pula adalah pegawai British.

2 comments:

Anonymous said...

Mat Indera mengetuai pembunuhan pegawai keselamatan yg beragama islam semuanya. Mat Indera berbeza dengan Datuk Maharajalela (yg bunuh JWW Birch), berbeza dengan Tok Janggut (melawan inggeris di Kelantan) dan berbeza dengan Rosli Dhoby (melawan Inggeris di Sarawak). Mat Indera adalah orang alim yg akhirnya mati dalam kesesatan, ketabsuban dan kebodohan - seperti setengah2 ahli PAS yg terlihat kini.....

Anonymous said...

mat indra seorang penegak keadilan mengikut hukum islam kerana mengetuai pembunuhan terhadap mereka yg bertugas bagi pehak penjajah yg datang untok merosakan aqidah umat islam secara lamah lembut, walau pun mereka itu beragama islam tetapi mereka adalah petualang negara yg bersekongkol dengan penjajah yg patut dihapuskan.


Photobucket
top