Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

23 Rabiulakhir 1432H - Assalamualaikum, pembaca blog sekalian. Sebelum saya memberikan komen ringkas terhadap buku Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme garapan idea Dr. Mujahid Yusuf Rawa, ingin saya jelaskan beberapa perkara mengenai diri saya.

1) Saya bukan ahli PAS yang berdaftar. Adakah ahli PAS yang tidak berdaftar? Sudah pasti kalau tidak mendaftar seseorang itu bukan ahli sesuatu pertubuhan. Justeru itu, okey, saya bersetuju bahawa saya bukan ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Saya pernah dua kali mengisi borang keahlian PAS, tetapi untuk kedua kalinya saya tidak menghantarkannya kepada mana-mana cawangan PAS. Yang pasti ialah saya penyokong PAS tegar sejak bersekolah menengah lagi.


2) Saya tidak berminat menjadi ahli UMNO. Sama sekali saya tidak akan mengisi borang masuk UMNO tatkala minda saya kekal waras. Kalau saya ditarik nikmat waras oleh Allah, itu saya tidak tahu. Sebagai info, saya telah mengharamkan diri saya, isteri dan anak-anak dari menjadi ahli UMNO. Mahu jadi ahli UMNO juga, tunggu saya mati dahulu!

3) Semasa aruah ayah masih ada dan atas saranan rakan-rakan rapat ayah, saya disuruh mengisi borang keahlian dan menganggotai Dewan Pemuda PAS, serta kemudiannya bertanding dalam pemilihan ketua pemuda cawangan. Kata mereka, rakan-rakan PAS di cawangan akan memberi sokongan kepada saya menjadi ketua pemuda. Itu sebab saya tidak menganggotai pasti Islam ini secara sah. Serasa diri ini tidak layak menjadi ahli dan seterusnya salah seorang pemimpin sebuah gerakan tersusun harakah Islam.

4) Dalam pada itu, saya membaca hampir semua jenis buku dan penerbitan, dari majalah metal, buku politik sehinggalah buku hadis dan tafsir al-Quran. Saya tidak mengehadkan genre pembacaan saya kepada satu bidang disiplin ilmu sahaja.
Saya membaca bukan setakat hobi semata-mata, tetapi dengan tujuan menimba pengalaman dan menyerap ilmu.

Bukannya sesiapa saya ini. Pasti para pembaca bersetuju. Saya bukan sesiapa pun. Saya hanyalah pemerhati dan penyokong tegar gerakan harakah Islam termasuk PAS. Oh ya! Saya tiada ijazah doktor falsafah yang diletakkan di permulaan nama saya. Saya hanya pelajar cabuk dari universiti tempatan sahaja dengan segulung ijazah pertama dalam sains komputer.


Berbalik kepada buku tulisan Dr. Mujahid Yusuf Rawa. Secara terkumpul, saya mengambil masa lebih kurang empat jam untuk menghabiskan pembacaan buku ini. Jumlah hari sebenar ialah selama dua hari di sela-sela saya meneliti berita-berita di Internet, menyiapkan sebut harga katering, menjawab e-mel klien, membaca buku lain dan menulis. Berikut merupakan komentar saya.


(a) Bab 1 terlalu akademik, justeru ia membosankan. Buku ini bukan tesis yang bakal dibaca oleh para pensyarah bagi calun PhD.


(b) Tanpa menyebutkan mana-mana ayat atau perenggan, saya katakan bahawa sorotan sejarah PAS yang diperikan dalam buku ini diambil dari sumber sekunder dan sumber ketiga yang tidak tepat, malah tersasar. Kemungkinan juga sumbernya datang dari musuh-musuh politik PAS sendiri.


(c) Di bahagian lain buku ini, penulis menarasi dengan gaya bahasa yang tidak menusuk jiwa. Hasilnya ada penekanan hujah yang mengelirukan. Ada kala payah untuk dihadam.


(d) Banyak pandangan peribadi penulis terapkan dalam menyelusuri sejarah mengenai apa yang diistilahkan sebagai ‘konflik’ dalaman PAS. Saya menjadi amat keliru kerana selama ini pemahaman saya berlainan.


(e) Ada beberapa saranan dan ujana boleh difikirkan sebagai agenda perubahan dalam gaya kepemimpian PAS. Itu pun kedapatan banyak juga ujana berupa pandangan kurang berhati-hati dan tumpul penulis. Prejudis mungkin?


(f) Kepimpinan ulamak mesti tetap teguh menjadi jantung dan tunjang sesebuah harakah Islam. Bagi saya ini tiada kompromi kerana ulamak adalah pewaris nabi. Kalau bukan ulamak yang menjadi kolam rujukan dan pendinding, siapa lagi? Bukankah Nabi Muhammad
(Sallallahhu’alaiwasallam) merupakan nabi dan rasul Allah yang terakhir? Justeru ulamaklah sebagai penunjuk arah dan obor menerangi manusia dan perjalanan gerak kerja Islami PAS. Mengapa Dr. Mujahid membuat tempelan yang bukan-bukan kepada ulamak dan institusi ulamak?

Ampun dan maaf saya persembahkan. Demi cinta saya kepada gerakan harakah Islam seperti PAS, saya berkomentar di sini. Bak kata seorang rakan editor, “Tuan merupakan seorang pembaca buku yang kritis. Semua sudut diambil kira.” Saya seorang hamba Allah yang berdosa. Ampunkan hambaMu ini, ya Allah ya Rabbal ‘Alamin.


Saya telusuri pula buku Menerjang Badai: 60 Tahun Mempersada Perjuangan oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor. Buku ini sebagai menjawab ujana dan taakulan yang dilemparkan dalam buku Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme. Mungkin komentar dan resensi berbeza akan saya luahkan nanti terhadap titipan ilmu dan informasi dari ruang minda Ustaz Riduan, insyaAllah.


Sekali lagi, saya bukan ahli PAS. Saya hanya pemerhati kritis dalam relung masa yang tidak mutlak. Di dunia yang sarat persepsi serta ilusi ini, yang mutlak dan Esa hanya Allah.

1 comments:

Hilmi Isa said...

Sebuah ulasan yang amat menarik Tuan Web. Secara peribadi,saya agak terkejut kerana Dr. Mujahid tidak menggunakan sumber-sumber rujukan yang betul dalam menerangkan sejarah PAS. Selaku seorang ahli akademik, beliau sepatutnya tidak melakukan perkara yang sedemikian rupa.


Photobucket
top