Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

17 Rabiulawwal 1432H - Saya pernah menulis resensi dari sudut kefahaman saya berkenaan novel Gerila karya Allahyarham Lukman Iskandar. Sudut pandang saya tersebut (baca di sini) diselitkan juga dengan beberapa fakta. Ianya turut menyerlahkan kekecewaan saya. Kali ini pula, saya panjangkan satu komentar dari sahabat penulis Tuan Isma Ae Mohamad. Ternyata komentar beliau dari orang Patani cukup memberi kesan kepada saya. Bacalah di bawah.

Dalam banyak memoir mahupun autobiografi yang dirakam oleh bekas gerilawan yang 'kalah' selalunya dihidup dengan cerita-cerita atau aksi-aksi hebat sepanjang pemberontakannya.
Adakalanya boleh naik muak. Semuanya untuk membenarkan tindakannya dahulu atau untuk 'membetulkan' sejarah. Jarang sekali ia ditulis untuk renungan ke arah keinsafan tentang 'kekalahan' itu.

Begitulah anggapan banyak orang berdasarkan bacaan lepas-lepas. Namun,setelah kita mencerna hampir separuh novel, Gerila, terbitan PTS yang ditulis Allahyarham Lukman Iskandar ketika dalam tahanan ISA tahun 1992 hingga 1994, bekas orang penting gerila Patani, ia mungkin mengubah andaian itu. Walaupun ia ditulis dalam bentuk fiksyen tapi ramai yang yakin ini adalah sebahagian kisah hidupnya berdasarkan pemberontakan tahun-tahun 60-an hingga 70-an dan, yang akhirnya kecewa dengan pimpinan pemisah Patani.

Mulanya, mungkin pembaca menyangka ia akan hanya membebelkan 'kemenangan' ke atas tentera Thailand, rupanya bukan itu fokus penulis.Tetapi ia menceritakan secara jelas dan tersirat; mengapa perjuangan kemerdekaan Patani gagal, dan seperti akan terus gagal, 'jika.'

Puak pemisah Patani agak ketinggalan berbanding separatis di bahagian dunia lain dalam semua hal termasuk pengiftirafan, kelengkapan, populariti, dana dan logistik. Mereka selalunya dipandang rendah dan mendapat persepsi negatif banyak pihak termasuk di Malaysia.

Untuk itu, cuba periksa kembali buku Memoir Ibrahim Chik; Dari API ke Rejimen ke-10. Tulisnya tentang puak pemisah Patani begini;
''Di depan umum mereka bersembahyang dan berdoa panjang-panjang. Akan tetapi, mereka selalu memaksa rakyat supaya memberi derma kepada mereka. Mereka juga selalu menghukum rakyat dengan denda yang tinggi. Mereka selalu bersandar pada samseng-samseng tempatan. Adakalanya, mereka merogol kaum wanita, bukan sahaja wanita Thailand tetapi juga wanita Melayu.''

“Oh, sedap Ibrahim Chik cakap.
Dia dan Parti Komunis Malaya (PKM) mengapa berkubu di Patani? Kata hendak berjuang untuk Malaya, berperanglah di hutan-hutan Malaysia!”
Benar, kehadiran PKM di selatan Thailand adalah restu kerajaan Thailand untuk menyempitkan mobiliti puak gerila pemisah Patani. Pemisah Patani bukan sahaja perlu bertempur dengan tentera Thai tapi juga berhadapan PKM.Tidak hairanlah Allahyarham memasukan banyak aksi pertempuran dengan PKM. Nyata sekali, kehadiran PKM itu menguntungkan kerajaan Thailand.

Dan tindakan Allayarham membangun watak Kapten Raziman,seorang juruterbang TUDM, beralasankan kecelakaan udara, dan jatuh di perkubuan gerila Patani seterusnya didoktrin menjadi pejuang seperti mahu membenarkan dakwaan bahawa puak pemisah mendapat latihan di Malaysia ataupun berasal dari sana. Ia bukan rahsia besar, kebanyakkan pemimpin pemisah mendapat latihan di luar negara.

Allahyarham sendiri pun berasal dari Perlis (tentu keluarganya asal Patani), mendapat pendidikan di sana sebelum menjadi pengajar di wilayah Satun. Di situlah bermula penglibatannya dalam gerakan gerila Patani dengan menjawat Setiausaha Agung Barisan Revolusi Nasional (BRN).Tidak salah mengatakan watak Kapten Raziman adalah cerminan Allahyarham sendiri. Cuma bezanya, Kapten Raziman 'terjun' dari udara ke hutan Patani setelah kecewa dalam dua percintaannya.

Pergerakan watak Raziman itu sendiri mendedahkan kepada kita dua hal. Pertama, perubahan sikap yang semakin ketara setelah beliau menguasai pergerakan pemisah Patani dengan gelaran Kolonel Razi atau Panthree Razi. Dari seorang yang bertimbang rasa kepada yang tiada kompromi dalam perjuangan tapi akhirnya bersikap pentingkan diri. Sikap seperti inilah yang membenarkan propaganda kerajaan Thai mahupun PKM bahawa gerila Patani itu zalim. Dan nama pemisah Patani menjadi busuk. Begitu juga dengan penyelewengan dana pemberontakkan yang disalahgunakan untuk tujuan peribadi. Rasa mahu menangis mengenang pengkhianatan yang dilakukan pimpinan atasan gerila Patani. Para pejuang bawahan terpaksa berjuang mati-matian, tinggal segala harta dan kemewahan tapi orang atas yang khianat.

Kedua, hal ini merujuk kepada mengapa Raziman dengan mudah diterima masuk dan diangkat pula menjadi pemimpin pemisah. Di sinilah kita akan didedahkan dengan jalur-jalur pertentangan keluarga bangsawan warisan Kesultanan Patani sejak puluhan tahun dahulu hingga kini.

Di Patani terdapat tujuh keluarga Diraja yang dipecah-pecah sejak kejatuhan Kesultanan Patani. Selalu kesepakatan tidak pernah tercapai antara tujuh keluarga ini. Dalam hal pemberontakan, ada keluarga itu mahu berjuang secara gerila, namun ada yang mahu secara parlimenteri. Terbukti cara pecah dan perintah ini berjaya melemahkan orang Melayu Patani.

Dalam novel ini, penulis mewujudkan pertentangan dua keluarga terpengaruh iaitu keluarga diraja Nongchik dan keluarga al-Fatoni. Keluarga al-Fatoni ini yang dipimpin oleh Sheikh Mazlan adalah sebenarnya pemimpin bawah tanah pemisah Patani. Beliau adalah presiden bayangan kerajaan Patani. Statusnya sebagai bekas menteri kabinet Thai dan pengerusi Majlis Agama Islam Patani berjaya menutup kegiatannya. Kononnya, Raziman itu adalah pewaris sah keluarga Nongchik. Dengan merekrut Raziman menyertai pemisah dan diangkat menjadi ketua adalah strategi keluarga al-Fatoni untuk memaksa keluarga Nongchik tunduk kepada keluarga al-Fatoni.

Diceritakan berlaku salah faham dalam perebutan kuasa antara dua keluarga ini puluhan tahun dahulu. Sejak itu dua keluarga ini bermusuh besar. Inilah wajah sebenar perjuangan Patani yang terlalu mementingkan keturunan dan maruah keluarga. Semua orang tahu, hari ini pun pengaruh politik masih berada di tangan keluarga-keluarga ini. Selalunya tidak pernah bersatu. Satu di pihak kerajaan, satu lagi di pihak pembangkang. Al-fatihah untuk Allahyarham. Semoga karya ini menjadi renungan umat Patani yang masih terbelah.

** Komentar asal dari Tuan Isma Ae Mohamad di sini.

Berkaitan:
Gerila: Adakah mustahil menubuhkan Republik Islam Patani?

P/s: Tuan Isma pernah katakan kepada saya, "Agaknya orang Bangkok selalu Google siapakah Web Sutera kerana tuan mendambakan kerajaan Islam Patani merdeka."

8 comments:

Zonan said...

Asslamualaikum Tuan,

Dimana pula ulasan tentang pribadi watak utama gerila ini?

Kaki perempuan!!! Adik beradik sama.

Baru putus cinta terus dapat cinta baru. Pantang melihat gadis cantik.

Pada saya, ini bukan sesuatu yang baik untuk ditonjolkan didalam sebuah perjuangan.

abu razeen said...

kadangkala dalam novel, kita tidak perlu terlalu lurus untuk mendirikan watak. hasilnya akan menjadi seperti plastik atau sperti panggung rtm dulu dulu too straighforward. Kejujuran yang dicari kebanyakan pembaca bukannya sifat sifat tempelan yang dipaksa keatas pembaca demi menyatakan watak hero itu adalah sebaik-baik manusia. Super perfect hanyalah untuk hero komik anak-anak. ..my humble opinion. anyway sebab tu penulis jadikan ia sebuah novel fiksyen bukannya buku sejarah..

web sutera.. semoga berjaya dengan cabaran manuskrip zulkarnian, pastinya menu katering tuan tak termasuk dalam santapan tengahhari alexander the great

Isma Ae Mohamad said...

Pada saya sabagai orang Patani, novel gerila hanyalah kritikan penulisnya ke atas perjuangan pemisah patani yang gagal kerana terlalu banyak kepentingan hal-hal keluarga yang ditombok bersama dalam perjuangan. Ia mungkin kekecewaan bersifat peribadi penulis.

Ya, saya tahu sesetengah pembaca tak suka dengan cara penceritaannya tetapi kewujudan watak Susan itu lojik kerana waktu itu peacecorp sukarelawan kristian banyak bergiat di selatan Thai hingga menimbul keresahan ibubapa.Tapi kalau mudah jatuh cinta, itu saya tak tahu, cinta mudah datang dan tak dapat dipaksa...haha

Sayang beliau sudah meninggal, kalau tidak ia boleh jawab beberapa persoalan kita..

Zonan said...

Assalamualaikum

Saya membaca berpaksikan kepada "Pengalaman sebenar penulis". Saya akui jahil tentang perjuangan saudara kita di Utara sana, namun saya kagum.

Apa yang saya mahu nyatakan disini, skop ulasan banyak kepada perjuangan dan meninggalkan sesuatu yang nampak kecil pada org lain barang kali.

Putus cinta kemudian kapal terhempas kemudian jatuh cinta dgn Susan. Jumpa sepupu yang cantik.. Pun sapu juga...

Adiknya pun sama.. Sampai ditangkap khalwat.. Secara tidak langsung perjuangan mereka gagal kerana tidak bersatu hati.. dan perjuangan diri juga gagal kerana gagal mengawal nafsu.

Itu yang mahu sampaikan dan itu juga yang saya bincangkan bersama Tuan Rumah ini.

Maaf andai tersalah kata.

sue onn said...

Novel ini sangat menarik pada awal pembacaan. Kesudahannya yang mungkin sedikit mengecewakan.

Pada saya, kejujuran itulah yang menarikkan jalan cerita ini. Mungkin Tuan Zonan merasakan ia mencacatkan peribadi seseorang apabila dia digambarkan seolah-olah seorang lelaki yang kaki perempuan hanya kerana dia seorang pejuang. Setuju dengan pendapat Tuan Abu Razeen, kesempurnaan watak tanpa ada kekurangan diri itu ada ketikanya akan menjadikan ia plastik.

Apa yang digambarkan dalam watak itu saya rasa adalah sifat semulajadi yang pada sesetengah manusia biasa.Makanya isu kaki perempuan itu bukanlah isu besar yang boleh mencacatkan jalan cerita. Fokuskan kepada perjuangannya bukan kepada kebolehannya menawan hati wanita..kihkih..hanya pandangan dari kaca mata saya sahaja..

Isma Ae Mohamad said...

:) tindakan penulis yang 'menjatuhan' watak Raziman ke hutan akibat kecelakaan jet adalah satu perlambangan bahawa puak pemisah Patani mendapat latihan dari luar.

Dan watak Raziman yang dibangun tidak sempurna itu sebagai realiti ketua pemisah masa itu yang menyebabkan pemberontakan gagal. Kalau kita kaji secara mendalam kita akan bertemu dengan penyelewengan para ketua pemisah(bukan semua) hingga membuatkan orang bawah sangat kecewa. Itu saya kata, novel ini bukan novel yang membebelkan akan kemenangan, novel ini adalah satu kritikan ke atas perjuangan yang gagal.Sebab itu ia tidak berakhir dengan kemenangan.Ia berakhir dengan mendaki bukit terherot-herot yang bermakna perjuangan masih jauh.Tiada wira dalam novel ini.

aburazeen said...

macam best je buku ni kat mana nak beli ye.. secara online ada tak? .cerita ni, lepas tu campur cerita pejuang kaukasus ... pejuang plestin, fuhhh... boleh gambarkan pejuang pejuangnya bergabung .. mesti menarik jika digarap sebagai novel islami .. tapi sapa nak buat? oh ya! pengkritik novel/resensi buku bebas untuk menyatakan apasaja yang berkenan dan tak berkenan.. untuk panduan bakal penulis akan datang

Web Sutera said...

Assalamualaikum, para sahabat. Terima kasih atas komen & kritikan. Kalian memang berhak untuk berkata-kata. Kita ada ruang demokrasi :-) Walau apa pun, saya raikan kelainan dan perbezaan.

Sdr. Abu Razeen, buku terbitan PTS ini boleh diperoleh di mana-mana kedai buku, terutamanya rangkaian MPH, Popular dan Muda Osman. Saya yakin di kedai-kedai buku persendirian yang kecil pun ada, insyaAllah.


Photobucket
top