Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

15 Ramadhan 1431 H - Kita dapat menimba banyak pengalaman orang lain dengan membaca. Apa sahaja bentuk atau genre buku, saya amat pasti semuanya bermanfaat kepada manusia, pastinya ianya turut bergantung kepada apakah niat asal kita membaca.

Membaca bagi saya amat penting. Ada orang membaca kerana ingin menimba pengetahuan untuk tujuan peperiksaan dan ada yang membaca kerana untuk memenuhi masa lapang. Namun bagi saya membaca adalah satu aktiviti yang mesti ada bagi setiap rakyat Malaysia.


Salah satu cara untuk memperoleh ilmu adalah melalui pembacaan. Namun begitu, harus diingat bahawa membaca bahan-bahan bacaan yang berbentuk picisan atau sastera murahan akan menjadikan kita terpesong dari jalan yang benar dan tergelincir dari lunas-lunas budaya baik yang dapat membina sahsiah diri.


Saya ingin memfokuskan ulasan saya kepada novel-novel kreatif yang ditulis oleh penulis yang amat saya minati, saudara Ramlee Awang Murshid. Saya kira tidak keterlaluan sekiranya saya katakan Ramlee telah berjaya membuka satu arus baru dalam penulisan novel dalam bahasa Melayu. Novel berbentuk thriller dan misteri yang matang itu telah diselitkan dengan unsur-unsur murni dalam Islam serta nilai murni masyarakat Malaysia.


Suka saya nyatakan di sini bahawa novel berbentuk demikian mempunyai penggemar di Malaysia. Sudah sekian lama pasaran negara dibanjiri dengan novel thriller, misteri dan fiksyen dari barat. Usaha murni Ramlee, yang amat berjaya, harus diteruskan dan diikuti oleh penulis-penulis yang lain.


Novel thriller, misteri dan fiksyen dari barat sudah semestinya, antara lain, memuatkan nilai-nilai budaya barat yang kurang sesuai dengan masyarakat timur, terutamanya masyarakat Malaysia. Walaupun tidak dinafikan ada unsur-unsur kemanusiaan sejagat dalam karya-karya kreatif dari barat, namun demi untuk menyampaikan mesej mereka, ada sesetengah (bukan semua) penulis barat lebih cenderung menerapkan propoganda barat yang kadang-kadang terlalu bobrok dan hodoh.


Dengan berkata demikian, saya tidak menolak satu isu bahawa pembaca yang matang dapat menyaring unsur-unsur kurang sihat/propaganda yang cuba hendak disampaikan oleh penulis barat. Apa yang penting bagi saya ialah kita membaca dan dalam masa yang sama menimba atau meminjam pengalaman orang lain; yang kurang elok atau berniat jahat kita jadikan sempadan dan panduan, yang baik kita ambil dan praktikkan dalam kehidupan.

Justeru, amat perlu novel-novel kreatif dalam negara disuburkan lagi dengan kehadiran karya-karya seumpama yang dihasilkan oleh Ramlee, supaya kita dapat mempelbagaikan genre novel di Malaysia.

(Desain muka depan buku:
Personal Justice by Ramlee Awang Murshid)

Berkaitan:
English novels from Alaf21
Meniti Maut and Mikhail – Watch out this two Malay novel
The Promise: Internet fraud and bogus ‘love-affair’
Jasmines the flower and Jasmine the lady


*** Sastera adalah akhlak, estetika, keindahan, keagamaan, keutamaan, mengangkat tema-tema baru yang bermutu dan mengajak kepada sifat malu. Karya sastera yang baik ialah yang mengajak kepada akhlak yang mulia dan mencegah perkara-perkara yang hina. (Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni)

0 comments:


Photobucket
top