Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

14 Syaaban 1431 H - Sudah lama saya tinggalkan hobi membaca komik. Dari bangku sekolah menengah sehingga ke universiti, saya merupakan pengumpul komik berbahasa Melayu. Ketika bersekolah menengah, banyak komik pertarungan atau komik jantan yang menjadi minat saya. Pada masa itu nilai moral kurang menjadi perhatian. Yang lebih saya utamakan ialah kecantikan lukisan dan jalan cerita; watak jahat melawan watak baik.

Apabila saya mengingatkan kembali, ternyata ada juga komik-komik yang diterbitkan dahulu kurang menitikberatkan nilai moral, sama ada melalui lakaran lukisan mahu pun kaedah penceritaannya.


Untuk beberapa ketika saya terpesona dengan majalah komik berjudul Fantasi. Teknik lukisannya amat menarik dan penuh warna. Saya juga tidak melupakan siri komik pertarungan oleh saudara Zoy di akhbar Utusan Malaysia. Malah itulah satu-satunya alasan untuk saya membeli akhbar harian tersebut saban minggu. Saya dan adik akan menggunting keratan komik itu dan digamkan di halaman suatu buku khas. Tidak berapa lama selepas itu, muncul pula komik Tony Wong. Lakaran aksi pertarungan seni bela diri bangsa Cina ternyata amat halus dalam setiap keluarannya.

Saya jeda beberapa tahun, mungkin berpuluh tahun dari membaca komik. Tanpa disangka-sangka, minat membaca komik mu
ncul kembali menerusi siri komik jantan terbitan PTS. Selain komik bersifat feminin yang ditujukan khas untuk anak-anak gadis, saya turut teruja dengan kegagahan tim dan pekomik generasi muda menghasilkan komik pertarungan.

Antara judul yang ‘meremajakan’ kembali diri saya ialah Takaza siri satu. Iya, saya mengaku pada awalnya saya hadiahkan kepada anak bujang saya. Namun naluri saya tidak tega untuk berhelah. Saya turut membacanya. Ternyata lain. Memang tidak serupa dengan komik-komik yang dihasilkan pada era akhir 70-an, 80-an dan awal 90-an dahulu.


Secara jujur ingin saya nyatakan bahawa pekomik saudara Sitrahaslee masih agak ‘remaja’ dari sudut lukisannya. Walaupun lakaran mimik muka sudah menjadi, namun aksi pertarungan kurang menyengat. Walau bagaimanapun, unsur paling ketara dan amat berbeza ialah dalam nilai cerita, narasi dan bahasa yang digunakan. (Foto kiri: Komik Tony Wong)

Nilai moral, pengajaran, perilaku penyesalan dan kekelaman dunia kongsi gelap berjaya dinarasi lewat bait-bait penceritaan dan dialog-dialog watak. Petikan ayat-ayat Quran juga tepat dengan apa yang mahu dicapai oleh pekomik ini. Bahasa Melayunya cantik dan kadang-kadang bisa mengusik nurani saya secara halus. Saya mengecapi bahasa Melayu yang dipersembahkan oleh saudara Sitrahaslee.


Saya sudah membeli sekuelnya, Takaza siri dua. Saya telah menelitinya sepintas lalu. Namun masih belum ditelaah secara terperinci. Saya yakin, insyaAllah, ianya bertambah menarik.

1 comments:

RABUN said...

gembira dengan situasi komik malaysia skang...


Photobucket
top