Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

(Komentar ini ditulis pada 11 Mac 2007)

Alhamdulillah, syukur hanya pada Allah, Tuhan Semesta Alam.
Setelah hampir dua tahun membelinya, baru saya selesai menghabiskan pembacaan novel ketiga bagi trilogi Tombiruo, iaitu Tombiruo Terakhir hasil karya idea Ramlee Awang Murshid, dalam masa lima hari.

Trilogi tersebut merangkumi tiga buah novel yang tebalnya melebihi 500 muka
surat setiap satu; Tombiruo, Semangat Hutan dan Tombiruo Terakhir. Dua novel yang mendahului Tombiruo Terakhir saya sudah baca hampir setahun yang lalu. Saya selesai membaca dan menghayatinya sebaik sahaja habis membaca novel beliau yang lain, bertajuk Ranggau (juga fiksyen yang menarik).

Saya tidak ingin menyentuh mengenai watak, plot atau tragedi dalam novel-novel ini. Yang ingin saya perkatakan ialah kecintaan Ramlee dalam watak Ejim atau Amaruddin terhadap hutan Keningau ciptaan Tuhan di Sabah. Ianya juga benar bagi hutan-hutan lain yang ada di seluruh dunia.


Dari mula trilogi ini, melalui novel pertama Tombiruo, Ramlee telah menerapkan nilai murni dalam memelihara warisan hutan supaya ianya kekal untuk tatapan generasi mendatang. Hutan ciptaan Tuhan tidak wajar dicemar oleh pelbagai bentuk kecemaran yang dilakukan oleh manusia.


Hutan, bukit dan gunung merupakan tulang belakang bumi yang menjadi akar tunjang supaya bumi atau tanah tetap teguh tidak musnah. Perkara memelihara alam sekitar ini memang menjadi kewajipan manusia untuk menjaganya, kerana ianya juga hidup.

Dalam kitab suci al-Quran pun Tuhan ada menyebutkan perihal pentingya hutan, bukit dan gunung dipelihara dari segala bentuk pencemaran, sama ada secara fizikal atau bentuk yang lain.

Surah an-Nabaa’, ayat 7, Allah berkata, “dan gunung-ganang untuk pengaman (pasak)”.

Surah an-Naml, ayat 88, Allah berkata, “Dan kamu lihat gunung-ganang itu, kamu kira ia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan seperti berjalannya awan. (Begitulah) ciptaan Allah yang menciptakan segala sesuatu dengan kukuh dan rapi. Dan Dia Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

0 comments:


Photobucket
top