Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Photobucket
"Saya berjalan, sepatutnya diiringi dengan motokar," kata SN Pak Samad.

Tambahnya, inilah "pengalaman pertama" matanya pedih dan mengalami keadaan tolak-menolak dalam kumpulan penentang PPSMI sewaktu menuju ke istana.


"Rupa-rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa," katanya (gambar kiri- dua dari kanan).

Perjuangan menentang dasar ini tidak akan berhenti hari ini, malah ia akan diteruskan pada masa akan datang, katanya lagi.
(Sumber: Malaysiakini)

Jari jemari saya menggeletar sedikit ketika memblog berita ini. Gambar lain akan menyusul, insyaAllah.

Pengerusi GMP, Dato' Dr. Hassan Ahmad, berkali-kali melabelkan mereka yang berjuang dan menyokong dasar UMNO memartabatkan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara ini dengan menjadikannya sebagai bahasa penghantar subjek sains dan matematik sebagai orang-orang bangang. (Sumber: Unika)


Berita terkini: Sungguhpun himpunan 100,000 hari ini dianggap hebat dan luar biasa kejayaannya namun insiden kekasaran dan serangan pihak polis yang terpaksa menurut arahan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh diterima sama sekali.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato' Abu Bakar Chik berkata serangan bertubi-tubi dan tanpa belas kasihan itu tidak mematahkan semangat tinggi dan 'membakar' hasrat rakyat khususnya para pejuang bahasa yang mahu menjujung dan memartabatkan bahasa Melayu sekaligus membantah dasar PPSMI yang diperkenal kerajaan BN.

Baca berita penuh: Isyarat jelas rakyat tolak PPSMI, himpunan 100,000 berjaya!

Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket
Photobucket
(** Gambar-gambar di atas saya salin dari pelbagai sumber.)
Saya ingin menyorot satu berita yang dilaporkan dalam Utusan Online pada 1 Mac lalu (klik di sini). Utusan melaporkan bahawa Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Dr. Mohd. Shafie Abdullah berkata Para pelajar diingatkan supaya tidak hanya menjadi 'ulat buku' kerana ia tidak menjamin mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik pada masa hadapan.”

Beliau juga dipetik sebagai berkata “terlalu menumpu perhatian kepada akademik akan menyebabkan seseorang pelajar itu tidak cemerlang dari segi sahsiah diri dan pergaulan.”

"Pelajar-pelajar masa kini perlu melengkapkan diri mereka dengan pelbagai kemahiran seperti kemahiran berkomunikasi pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris dan bijak berhadapan dengan masyarakat serta tidak lupa jati diri dan asal-usul.
Ok, kenyataan Dr. Mohd. Shafie ada isinya. Saya setuju bahawa “tanpa penampilan yang baik, keyakinan tinggi dan mampu memotivasikan diri, pelajar berkenaan tidak akan mampu berdikari dan menghadapi pelbagai cabaran luar hanya dengan berbekalkan kecemerlangan akademik.”

Apa yang saya sama sekali tidak bersetuju ialah tajuk berita tersebut, “Elak jadi ulat buku”. Mengapa tajuk sebegini digunakan, seolah-olah penulis mengajak para pelajar supaya jangan suka membaca. Padahal menurut hemat saya, membaca merupakan langkah permulaan untuk menimba ilmu. Tidakkah saudara penulis mahu merujuk kepada ayat al-Quran pertama yang Allah sampaikan kepada Nabi Muhammad (sallallah-hualaihiwassallam), ‘Bacalah’?”


Letihlah laporan dengan tajuk yang entah apa-apa. Sedangkan pejuang-pejuang bahasa Melayu terus menerus menentang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), laporan ini pula boleh juga disimpulkan tidak berhasrat melestarikan bahasa.


Apa kata bekas menteri pelajaran, Tan Sri Musa Mohamad, berkenaan PPSMI? Beliau mengakui wujud kecelaruan dalam pelaksanaan PPSMI walaupun tujuan pelaksanaannya adalah baik.


Menurutnya “PPSMI bertujuan meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia tetapi sepanjang enam tahun pelaksanaannya ia dilihat seperti tidak mencapai sasarannya disebabkan kecelaruan itu.”


Laman Unika pula melaporkan bahawa Tan Sri Ismail Hussein, Ketua 1 Gapena berkata, "Kita menolak dan menentang sejak dahulu, tetapi tidak mendapat perhatian. Jikalau ditanya pada saya, memang saya membantah, malah ramai cendekiawan Melayu termasuk yang popular seperti Profesor Emeritus Abdullah Hassan; Profesor Diraja Ungku Aziz, Datuk Profesor Dr Nik Safiah Karim dan ramai lagi profesor lain turut menolak pelaksanaannya.

“Gapena mewakili pelbagai gabungan dan perwakilan. Gapena menulis surat kepada kerajaan supaya pandangan dan idea bijak pandai juga diambil kira. Kami terkilan kerana tidak pernah dipedulikan.

“Kami melihat masyarakat Cina menggunakan kesatuan guru bagi mendapatkan maklum balas atau melalui MCA. Sebaliknya kerajaan langsung tidak mahu mendekati kami terutama dengan cendekiawan Melayu yang berfikir.


“Pada saya, orang seperti Ungku Aziz adalah orang yang berfikir. Beliau tidak minta apa-apa pun. Beliau berkata, PPSMI ini tidak menguntungkan bangsa Melayu. Kami pun berfikiran sama seperti itu.

“Bangsa Melayu akan sentiasa kalah jikalau kita teruskan PPSMI."
Artikel ini saya cedok dari blog bertajuk “Melihat Kasunyataan”. Maklumat blog ini saya peroleh dari blog penulis Abdul Latip Talib. Sekali saya membaca ulasan dan komentar penulis blog Melihat Kasunyataan, saya sudah jatuh hati.

Sila baca dua artikel yang saya cedok di bawah; satu berkenaan kedai buku bergerak dan satu lagi isu PPSMI.


Semasa menghadiri Pertemuan Penulis Serumpun sempat meninjau-ninjau kedai buku bergerak.
Banyak juga buku-buku yang dijual termasuk buku ilmiah, sastera dan majalah.

Prof Dr. Abdullah Zakaria dan Kasim Tukiman nampaknya begitu teruja dengan lambakan buku dari sebuah van yang diubah suai menjadi 'kedai buku bergerak' itu.

Rasanya kalau di Malaysia sukar menjual buku begini, kerana budaya membaca masyarakat kita masih belum meluas.

Di UTM sendiri memang ada van yang menjual beraneka akhbar dan majalah termasuk makanan jajan. Tapi untuk jualan buku seluruhnya belum ada lagi. Beberapa hari lepas akhbar Utusan Malaysia sendiri ada menyiarkan dapatan kajian yang menyatakan bahawa mahasiswa kita sendiri kurang membaca. Terutama bahan bacaan umum. Apa lagi bahan sastera dan sejarah. (Artikel asal dari blog Melihat Kasunyataan)

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Ramai orang Melayu menyatakan bahawa mereka sayangkan bahasa Melayu. Siapa kata aku tidak sayangkan bahasa Melayu? Tengok, aku bercakap Melayu. Aku hantar anak aku ke sekolah Melayu. (Walaupun sekarang ramai orang Melayu menghantar anaknya ke sekolah Cina). Aku beli akhbar berbahasa Melayu. Apakah aku tidak sayangkan bahasa Melayu? Begitulah ukuran ‘sayang bahasa’ itu bagi kebanyakan orang Melayu. Apakah dengan hanya bercakap Melayu, membaca akhbar Melayu sudah bermakna kita sayangkan bahasa Melayu?

Bagi mereka yang sayangkan anak pula, bukan bermakna bila kita dapat memenuhi segala keperluan si anak maka itu sudah boleh dikatakan sayangkan anak, tetapi lebih jauh daripada itu, seharusnya mereka dapat membentuk anak-anak menjadi anak-anak yang soleh dan berilmu, tahu menghormati ibu bapa dan orang lain juga. Begitu juga bagi mereka yang sayangkan bahasa Melayu seharusnya bukan semata-mata dengan menggunakannya dalam percakapan harian sahaja, tetapi juga dapat memastikan kita menambahkan ilmu dan berfkir dengan menggunakan bahasa Melayu. Pastikan juga bahasa kita akan dapat terus maju sehingga menjadi salah satu bahasa penting dunia, sama taraf dengan bahasa Inggeris, Perancis, Cina dan Arab.


Bagaimanakah caranya? Di sinilah kita selalu keliru dan sentiasa tersilap. Sebagai seorang Melayu kita seharusnya belajar apa juga bahasa, selepas itu tulislah dalam bahasa Melayu. Kita belajar dan menjadi pakar matematik, mengapa kita tidak menulis dalam bahasa Melayu. Kita belajar dan menjadi pakar sains, mengapa kita tidak mahu menulis dalam bahasa Melayu. Inilah kelemahan orang kita Melayu. Sikap malas masih menguasai orang Melayu. Kalau ada pun pakar yang boleh menulis, mereka hanya boleh menulis dalam bahasa Inggeris, kerana bagi mereka menulis dalam bahasa Melayu tidak ada kualiti, tidak educated. Jadi sampai bilakah bahasa Melayu akan maju? (
Rencana asal di sini: Antara Anak dan Bahasa)

Kata saya, "Bagaimana kita mengharapkan bangsa lain menghormati bahasa Melayu, sedangkan kita sendiri tidak menggunakannya secara meluas di Malaysia secara piawai?

Bagaimana kita mahukan orang bukan Islam menghormati hukum Islam sedangkan kita sendiri (umat Melayu Islam) memperlekehkan undang-undang Islam?"

Lusiana Catering: Kisah, aktiviti dan suka duka

top