Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Satu minggu sebelum tiba Aidil Adha, rumah aku bersepah dengan buku-buku (baca: selalunya begitulah!). Dari sudut kecil tempat aku melepak di depan komputer riba (di sebelah kanannya berdiri salah satu rak buku), di meja kopi berhampiran sofa utama, dalam kamar rahsia aku dan isteri, di meja makan di dapur sehinggalah (kadang-kadang) di dalam bilik air; sentiasa ada buku.

Mengapa buku bersepah di dalam rumah?
Bulan Oktober, November dan Disember tahun ini merupakan bulan kegilaan membeli buku. Aku dan anak-anak bagaikan kemaruk! Lantaran saban minggu membeli buku, aku tidak tahu di mana lagi untuk aku tempatkan buku-buku tersebut. Ditambah lagi dengan habit aku yang akan membaca buku walau di sudut manapun ketika berada dalam rumah, menyebabkan buku tersebut juga ‘berjalan’ mengikut tuannya.

Pada pagi Aidil Adha yang lalu, isteri aku ‘mengamuk’.
Amukannya bagai badai! Habis semua buku yang berada di segenap sudut dimasukkan ke dalam satu kontena plastik yang biasanya berisikan pinggan-mangkuk atau lain-lain peralatan ketering. Sebaik aku pulang bersolat sunat Aidil Adha di masjid, aku lihat buku-buku tersebut sudah tiada!

Aku lihat di rak buku, tiada juga. “Sayang, mana buku-buku?”, tanya aku kehairanan.
“Itu dalam kontena plastik,” jawab isteri tersayang sambil menuding jari ke arah bawah rak buku di kanan meja komputer. Di situ terletak kotak tersebut berkelubung dengan kain merah.


Aku tersenyum.


Buku Demi Masa


Saya selesai membaca buku Demi Masa karya Abu Hassan Morad, bos Galeri Ilmu. Walaupun ada beberapa a
rtikel beliau akan menjadi tidak malar hijau (evergreen) kerana faktor masa dan peristiwa, namun sebahagian besar tetap relevan. Beliau mengulas dari sudut pandang seorang Islam yang bernama Melayu. Menarik untuk diteliti dan dicerna kerana banyak perbandingan dibuat dalam setiap komentar.

Sinopsis dari penerbit


Demi Masa yang ditulis oleh Abu Hassan Morad ini merupakan luahan rasa hati beliau terhadap masyarakat hari ini, berkisar terutamanya tentang nasib orang Melayu Islam di Malaysia.


Sebagai seorang anak peneroka yang dibesarkan dalam suasana penuh mencabar, yang kemudiannya menjadi seorang guru, penulis, pengarah dan beberapa lagi amanah lain yang terpikul di bahunya, beliau melihat dan merasa sendiri realiti kehidupan masyarakat yang tidak seimbang, kucar-kacir, tidak terurus, tertindas dan sebagainya. Semua itu disebabkan oleh sifat tamak, tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri, tidak prihatin, lemah, penakut, ego dan lain-lain, sebagai akibat daripada kegagalan melaksanakan tugas yang diamanahkan terhadap diri masing-masing.


Dalam catatannya, beliau menyeru anak bangsanya agar berubah, kembali menghayati ajaran Islam yang indah, mengambil iktibar terhadap apa jua kejadian dan mencungkil hikmah terhadap setiap perkara yang berlaku di bawah bumbung dunia globalisasi dunia hari ini.


Tajuk: Demi Masa

Pengarang: Abu Hassan Morad

Penerbit : Galeri Ilmu

ISBN: 978-983-097-188-9

Mukasurat: 192 halaman

Harga: RM19.50 (Sem. Malaysia), RM21.50 (Sabah & Sarawak)

0 comments:


Photobucket
top