Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Nampaknya kes tangkapan dan pendakwaan ke atas Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. Maza) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus menjadi polemik komuniti Islam negara ini.

Dalam berita terkini, Malaysiakini melaporkan bahawa tujuh ilmuan Islam yang tidak diberikan tauliah oleh JAIS beberapa bulan lalu dipercayai kerana mereka disyaki membawa aliran Wahabi dan dekat dengan Dr. Maza.

Penolakan terhadap permohonan ketujuh-tujuh mereka, selepas diwawancara sebelum bulan Ramadhan lalu, bagaimanapun tidak menyatakan sebarang alasan. Malaysiakini difahamkan soalan-soalan tiga pegawai Jais yang menemuduga mereka menjurus kepada usaha menyelidik sikap mereka terhadap beberapa isu fekah dan akidah yang boleh dikaitkan dengan aliran Wahabi.

Soalan-soalan itu, antaranya, isu lafaz niat sembahyang, marhaban dibolehkan atau tidak, aliran teologi Ash-Shaari dan perdebatan isu 13 sifat-sifat Allah yang menjadi pengetahuan umum penganut Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.

Tetapi
Malaysiakini melaporkan bahawa, ketua penolong pengarah Bahagian Dakwah Jais, Ahmad Zaki Arshad menafikan ketujuh-tujuh ilmuan Islam ditolak tauliah mereka kerana disyaki beraliran Wahabi. (Baca laporan penuh di sini)

Tahukah saudara bahawa ilmuan Islam terkenal Prof Dr Yusuf al-Qardhawi juga pernah dilabelkan Wahabi.


Berdasarkan artikel dari al-Fikrah.net, kesarjanaan dan ketokohan beliau telah diakui oleh beratus malahan beribu ulama besar yang lain di seluruh dunia. Beliau yang sering dijoloki dengan gelaran Al-Imam Al-Wasatiyah (Imam yang bersederhana) bukan sahaja memberi pengaruh yang besar dalam dunia intelektual, malahan memberi sumbangan dalam dunia politik Islam.

“Namun begitu, tokoh Ilmuan Islam ini semasa mudanya menempuhi pelbagai dugaan dan cabaran bukan sahaja dari luar malahan dari dalam pusat pengajiannya. Suatu ketika dahulu, beliau berhadapan dengan pelbagai kontroversi hanya kerana beliau menegur gurunya berkaitan dengan perkara khurafat yang berlaku di sekitar Mesir. Atas peristiwa ini, beliau digelar oleh gurunya dengan gelaran Wahabi!

“Tuduhan dan fitnah yang sentiasa bermain di bibir masyarakat kepada al-Qardhawi masih wujud sehinggalah masa kini, setelah beliau dikenali sebagai Sarjana dan ilmuan Islam besar. Istilah-istilah Wahabi masih lagi terus wujud dan diletakkan di bahu beliau. Malahan tuduhan bahawa beliau Muktazilah serta kafir turut berlegar di kalangan mereka yang membenci tokoh ini.

“Namun, beliau tidak pernah beranjak sedikit pun dari prinsip dan perjuangannya. Walau ditohmah dan dituduh dengan gelaran Wahabi dan sebagainya, beliau tidak pernah menganggapnya sebagai batu penghalang kepada seruannya kepada umat Islam agar kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah.

“Menariknya apabila ditanya kepada beliau tentang Muhammad bin Abdul Wahab, seorang tokoh islam yang dituduh dengan pelbagai tuduhan serta mengaitkan tokoh ini dengan gelaran Wahabi. Al-Qardhawi menjawab dalam bukunya Feqh al-Auliyat (Feqah keutamaan) ,“Perkara pokok dalam da'wah Imam Muhammad bin Abd al-Wahhab di Jazirah Arabia ialah pada bidang aqidah, untuk menjaga dan melindungi tauhid dari berbagai bentuk kemusyrikan dan khurafat yang telah mencemari sumbernya dan membuat keruh kejernihannya. Dia menulis berbagai buku dan risalah, serta menyebarkan dan mengamalkannya dalam rangka menghancurkan berbagai gejala kemusyrikan.”


“Justeru, jika ada tokoh atau Sarjana Islam yang membawa misi yang sama dan seruan yang sama maka bersiap-siaplah untuk mendapat gelaran Wahabi; yang anda sendiri tidak tahu menahu tentang terminologi ini.” (Baca di sini untuk artikel penuh)
Secara jujur saya tidak faham dan keliru dengan isu Wahabi ini. Saya bukan seorang ustaz. Tetapi melihat kepada gerakan pembaharuan Prof Dr Yusuf al-Qardhawi, saya kira Dr. Maza wajar diberi ruang untuk mengemukakan usrah tajdidnya. Pada hemat saya yang daif ini, antara penyebab mundurnya tamadun Islam sejak runtuhnya khilafiah ialah tertutupnya pintu tajdid atau aliran pembaharuan.

Dalam hal berkaitan, saya bersetuju dengan pandangan saudara Faisal Tehrani.

“Saya ingin menegaskan, saya membantah sebarang usaha mengharamkan satu-satu aliran yang tidak terkeluar dari al-Quran dan sunnah. Baik ia wahabi, salafi, syiah ataupun tarekat yang benar. Setiap aliran tersebut adalah gagasan. Ia adalah teori.

“Setiap sekolah pemikiran tidak boleh diharamkan dan dihalang sedemikian rupa. Ia hanya boleh dilawan dan dibantah dengan teori dan gagasan lain pula. Ia mesti diperdebatkan secara akademia. Jika ia (aliran tersebut) ditakdirkan 'kalah' maka ia akan mati dan luput begitu sahaja seperti yang telah menimpa sekolah pemikiran Muktazilah, Jabariyyah, Qadiriyyah dan Ibadi.


“Jadi, saya ingin mengatakan saya tidak seronok dengan apa yang menimpa Dr Asri hari ini. Ia adalah petanda buruk untuk perbahasan ilmu yang sihat.” (Petikan komen sdr. Faisal Tehrani di blognya)
Berkaitan: Agenda dan Penggunaan ICT Menurut Islam
Kepentingan Sains dan Teknologi Dalam Pembangunan Ummah

0 comments:


Photobucket
top