Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Bulan April tahun ini adalah antara bulan dan ketika yang sangat menyedihkan bagi saya dan chef Hana. Walaupun hanya dua kali pesanan katering yang berjaya kami laksanakan, namun masa kami berdua penuh. Sepanjang bulan ini saya terutamanya berada di Besut, Terengganu dan Kelantan selama 14 hari. Dan tahun ini (setakat April 2009), saya terutamanya lima kali berulang-alik ke Besut dan Rantau Panjang, Kelantan.

Di sini saya bagi pihak Lusiana Catering ingin memohon maaf kepada rakan dan klien yang pesanan katering mereka terpaksa ditolak. Ada juga yang sudah confirm terpaksa saya tolak di saat-saat akhir. Maaf saya pohon.

Tanggal 11 April 2009, sekitar 6.45 petang, emak saya menghembuskan nafas terakhir pinjaman Allah di muka bumi ini di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru, Kelantan (dahulu dikenali sebagai Hospital Kota Bahru). Saya iringi jenazah emak yang dibawa ke Besut untuk dikebumikan di sana, berdekatan dengan makam aruah ayah. Alhamdulillah, saya masih lagi waras untuk mensedekahkan bacaan al-Quran dan surah Yasin di sepanjang perjalanan dari Kota Baru, Kelantan ke Besut, Terengganu.

Sepanjang saat-saat akhir aruah emak di hospital, saya dan adik perempuan yang tinggal di Rantau Panjang, menjaga emak selama 10 hari. Kami berdua tidur di Hospital Raja Perempuan Zainab II selama itu juga. Sekali lagi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah justeru kerana aruah emak pergi meninggalkan kami lima beradik secara aman dan tenteram. Cukuplah kematian itu sebagai peringatan untuk Mukmin.

Setelah disahkan oleh doktor bahawa emak telah kembali ke negeri kekal abadi, saya mencium dahi emak. Masih terasa hangat tatkala dahi disentuh bibir. Air mata saya bergenang, ditahan dari merembes oleh kelopak mata. Chef Hana terus keluar dari wad kerana tidak dapat menahan isak tangis. Saya bisikkan kepada aruah emak, “Mengapa cepat sangat emak pergi?”. Subhanallah!

Saudara-mara, bapa dan emak saudara, para sepupu saya dan sahabat-sahabat aruah emak ramai yang mampir menziarahi tatkala emak di hospital. Termasuk juga lima orang jiran dan sahabat aruah ayah dan emak di Jerantut, Pahang. Ramai orang tua memberi peringatan kepada saya, “Mu jangan bimbang dan risau kerana tidak boleh buat kerja. InsyaAllah, Allah akan gantikan rezeki yang terlepas itu dengan yang lebih baik.” Subhanallah!

Aruah emak dimandikan, disembahyangkan dan dikafankan di rumah emak saudara di Besut. Sebaik sahaja selesai dikafankan, saya dan adik beradik, para anak menantu, emak-emak saudara, anak-anak saudara, dan cucu-cucu aruah emak bergilir-gilir menatap dan mencium aruah untuk kali terakhir.

“Selamat jalan, emak. Tunggu saya dan adik-adik di sana. InsyaAllah, anak-anak emak akan kembali bersama di suatu ketika nanti,” bisik saya lantas mencium dahi dan kedua-dua pipi aruah emak. Agak lama tatapan akhir saya itu.

Pada hujung bulan April pula, saya sekeluarga dan adik sekeluarga yang bekerja di Putrajaya pulang ke rumah peninggalan aruah ayah dan emak di Jerantut, Pahang. Di sanalah kami adik-beradik seramai lima orang dididik dan dibesarkan. Tujuan utama ialah untuk membersihkan persekitaran dalaman dan luaran rumah yang sudah emak tinggalkan selama hampir empat bulan semenjak ujian menimpa beliau.

Tibalah bulan Mei 2009. Allah Maha Kaya dan Maha Pembuka. Itulah sifat yang menjadi milik Allah. Tuhan semesta alam menganugerahkan rezeki kepada saya dan chef tanpa disangka.

Saya memperoleh pesanan katering pada minggu pertama dan kedua bulan Mei; dari 5 hingga 15 haribulan. Selama 9 hari saya berkampung di .My Domain Registry yang terletak di Seri Kembangan, Selangor. Dalam pada itu Lusiana Catering juga menerima tempahan bagi sajian di IMR (Institut Penyelidikan Perubatan), Jalan Pahang; di Bursa Malaysia, Bukit Kewangan, Kuala Lumpur; dan dari satu syarikat antarabangsa di Wisma Tan & Tan, Jalan Tun Razak. Serta ada beberapa lagi sebut harga yang masih saya tunggu jawapannya, insyaAllah.

Sementara itu tempahan untuk bulan Jun sudah ada dua confirm, termasuk satu katering perkahwinan.

Ingat, saudara dan sahabat, rezeki itu dari Tuhan. Kita hanya berusaha dan seterusnya berdoa. Sudah pasti yang terakhir ialah bertawakal.

(Gambar atas: Emak tatkala masih sihat dirakam di suatu lokasi di Setiu, Terengganu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Inilah rakaman gambar terakhir aruah emak bersama dua orang anak saya.)

5 comments:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah Sdr. WebSutera,

Takziah di atas pemergian ibu yang disayangi.Esok Hari Ibu...pasti saudara akan terkenangkannya.

Sempena Hari Ibu esok dan juga Pesta Buku Antarabangsa baru-baru ini, saya dan rakan-rakan berusaha menerbitkan kisah ibu masing-masing dan dimuatkan dalam satu kompilasi buku.

Kisah ibu biasa-biasa, penuh dengan ketidaksempurnaan bagi wanita sezaman mereka jika dibandingkan dengan wanita sezaman kita ini. Namun dengan kegigihan yang mereka miliki, mereka mampu mendidik kami (24 penulis lelaki dan wanita) sehingga menjadi kami pada hari ini...panduan bagi bakal ibu, peringatan bagi yang sudah menjadi ibu. Juga bahan bacaan bermanfaat bagi umum.

Bukunya bertajuk "Ibu Madrasah Pertamaku"...

Wasalam..

Norlela Zubir said...

Assalamualaikum Saudara Web Sutera. Salam takziah buat tuan dan keluarga.

Web Sutera said...

Alaikumsalam warahmatullah, Prof. Umi dan Pn. Norlela. Terima kasih atas ucapan takziah.

Cukuplah mati itu sebagai peringatan untuk Mukmin, insyaAllah.

Ummu Mishkah said...

Takziah..
Inilah hakikat kehidupan kan!
Moga websutera sekeluarga tabah menerima ujian ini..
al-Fatihah!

Masayu Ahmad said...

Takziah

Semoga roh arwah dicucuri rahmat.
Ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

Al-Fatihah


Photobucket
top