Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

(Nota: PPSMI ialah singkatan kepada “pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris”.)

Ini adalah pandangan, buah fikiran dan isi hati dari seorang pejuang bahasa Melayu yang berautoriti. Beliau bukan sahaja pejuang bahasa, malah seorang yang komited mengasaskan ‘mazhab’ baru dalam dunia penulisan di Malaysia, iaitu mazhab teknik Surah Yusuf.


Sila baca pandangan beliau dengan teliti. Saya tidak boleh tidak bersetuju dengan beliau.


Dalam kitab Quran, ayat ke-4 dalam bab yang bertajuk "Ibrahim" bermaksud: Kami tidak menghantar seorang wakil pun melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat menyampaikan penerangan dengan jelas kepada mereka.


Berdasarkan prinsip di atas itulah semua 4 buah kitab suci Islam - Quran, Injil, Taurat dan Zabur - setiap satunya diturunkan menggunakan 4 bahasa ibunda yang berlainan. Justeru, hanya kitab Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab kerana bahasa Arab adalah bahasa ibunda Nabi Muhammad (
Sallallah-hualaihiwassallam).

Ayat ke-4 itu memberitahu bahawa bahasa ibunda hendaklah digunakan bagi menyampaikan pendidikan. Jadi, kita lihat bagaimana Nabi Muhammad (
Sallallah-hualaihiwassallam) sendiri menerima pendidikan beliau dalam bahasa ibundanya, bahasa Arab. Berdasarkan prinsip itu juga malaikat Jibril bercakap dalam bahasa Arab kepada Nabi Muhammad apabila mengajarkan mesej-mesej Islam kepada beliau.

Prinsip yang sama digunakan oleh Nabi Muhammad (
Sallallah-hualaihiwassallam) dalam tingkah lakunya, di mana apabila beliau mengajarkan mesej-mesej Islam kepada orang-orang Arab, beliau menggunakan bahasa Arab. Apabila beliau hendak menghantar surat kepada kaum-kaum lain, surat-surat beliau dituliskan dalam bahasa-bahasa kaum itu. Sebagai contoh apabila beliau hendak menghantar surat kepada orang Yahudi, surat beliau ditulis dalam bahasa Yahudi oleh jurutulis yang pandai bahasa itu.

Apabila agama Islam mula tersebar kepada kaum-kaum bukan-Arab, Nabi Muhammad (
Sallallah-hualaihiwassallam) menghantarkan guru-guru agama kepada kaum-kaum itu dengan memilih guru-guru bangsa Arab tetapi yang pandai bercakap dalam bahasa kaum-kaum tersebut.

Dasar pendidikan yang menggunakan bahasa bekas penjajah, contohnya bahasa Inggeris, sebagai bahasa penghantar adalah suatu dasar yang tidak ada asasnya dalam kitab Quran mahupun dalam sunah Nabi Muhammad (
Sallallah-hualaihiwassallam). Justeru ia adalah dasar yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Entri berkaitan: PKPIM: Kembalikan maruah bahasa Melayu di Malaysia

Pemimpin Umno dicabar Persatuan Linguistik Malaysia


Klik di sini untuk
PETISYEN MEMBANTAH PPSMI
(Gambar: Saya memiliki buku
The Koran for Dummis, terbitan John Wiley & sons)

3 comments:

tzul said...

UNIKA tersalah anologi dalam tulisan beliau, apatah lagi apabila membuat perandaian bahawa PPSMI menentang Al-Quran. Boleh juga dipertikaikan andaian tersebut membawa fitnah terhadap Al-Quran.

1. Yang datang dari Allah adalah Wahyu yang ditujukan kepada Nabi2Nya. Jika didatangkan dalam bahasa lain selain dari bahasa kaumnya, pasti mendatangkan fitnah terhadap Nabi tersebut dari kaumnya sendiri.

2. Apabila Nabi Muhammad s.a.w. mengutus surat kepada kaum Yahudi, surat baginda ditulis dalam bahasa Yahudi oleh seorang yang ahli dalam bahasa tersebut. Bermakna, digalakkan kita mencari ilmu didalam bahasa ilmu tersebut.

3. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, 'cari lah ilmu walau hingga ke negeri Cina'. Bermakna juga, kita digalakkan mencari ilmu, dalam apa bahasa sekali pun. Jika ilmu tersebut didalam bahasa Cina, maka kita mesti ahli dalam bahasa tersebut kerana hanya dengan sedemikian baru kita boleh menimba ilmu yang di cari.

Soalanya sekarang: ilmu sains dan matematiks terdapat didalam bahasa apa? Jgn fikir hanya pada persekolahan rendah atau menengah sahaja. Di universiti nanti, bagaimana? Dipersada dunia bagaimana?

Saya tidak menyokong secara membuta PPSMI. Begitu juga saya tidak menentang PPSMI secara membuta. Yang saya terkilan, perbincangan menentang PPSMI selalunya berpusat (kalau ikut istilah Bahasa Melayu sekarang, berFOKUS) kepada usaha memartabatkan BM. Tidak ditanya, dalam suasana masa kini, dalam bahasa apakah ilmu-ilmu tersebut banyak terdapat.

Dalam ertikata lainnya, persoalan hanya berkisar pada POLITIK BANGSA.

Mahu memartabatkan Bahasa Melayu?

1. Kerajaan perlu memberi penekanan kepada penguasaan bahasa-bahasa ilmu dunia.

2. Perbanyakkan cendiakawan2 yang mahir dalam bahasa-bahasa ilmu tersebut sehingga timbul kemampuan untuk mereka menimba ilmu-ilmu yang terdapat didalam bahasa-bahasa tersebut, semuga boleh ditulis semula didalam bahasa Melayu untuk diajar dan didalami bukan saja di peringkat sekolah rendah dan menengah, bahkan hingga ke peringkat yang tertinggi.

3. Kerajaan perlu menjaga kepentingan ahli-ahli tersebut didalam usaha mereka. Pastikan mereka tidak perlu bimbang tentang keperluan hidup mereka dan keluarga, bukan hanya setakat memberi gelaran Datuk dan Tan Sri.

4. Ikut contoh2 yang telah diberikan oleh pemerintah2 Islam (dan bukan Islam) pada zaman dulu, yang begitu mementingkan pencarian ilmu sehingga sanggup membiayai sepenuhnya keperluan2 para ilmuan dalam usaha murni mereka.

Buat masa ini, saya amat pesimistik. Saya tidak nampak kesungguhan kerajaan didalam menangani isu-isu ini.

Anonymous said...

Masalah PPSMI adalah Minda Masyarakat bukannya Bahasa itu sendiri.

1. Apabila menggunakan BM sebagai bahasa pengantar sains dan matematik, kita masih ketinggalan dalam bidang teknologi dan negara kita kekal sebagai negara pengguna

2. Jika minda masayarakat negara maju (mementingkan logik melebihi politik) maka bahasa apapun digunakan dalam teknologi kita akan kuasai. Ini yang berlaku dalam mana-mana empayar dunia pada permulaan kegemilangannya.

Anonymous said...

Mohon izin, Tuan Web.

Sdr tzul,

Menurut mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin, hadith “Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China” merupakan hadith palsu.

Rujuk:
http://drmaza.com/home/?p=34

Bahkan, kebanyakan ulama hadith telah menghukumkan hadith ini lemah dari semua jalan-jalannya.

Rujuk:
http://al-qayyim.net/web/index.php?option=com_content&task=view&id=265&Itemid=2

"Apabila Nabi Muhammad s.a.w. mengutus surat kepada kaum Yahudi, surat baginda ditulis dalam bahasa Yahudi oleh seorang yang ahli dalam bahasa tersebut."

Apa yang saya faham daripada ayat di atas adalah untuk menyampaikan (bukan mencari)ilmu mestilah dalam bahasa yang difahami oleh penerima ilmu tersebut.

Pada zaman Khalifah Makmun dahulu, beliau mendirikan institut terjemahan pertama di dunia iaitu Baitul Hikmah. Institut tersebut aktif menterjemahkan karya-karya dari Eropah seperti karya-karya Plato dan Aristotle ke bahasa Arab.
Maka rakyatnya tidak semestinya menguasai Bahasa Yunani untuk mempelajari ilmu-ilmu tersebut.

Ilmu sains dan matematik untuk peringkat rendah dan menengah sememangnya sudah ada dalam Bahasa Melayu. Apa rasionalnya diajar dalam Bahasa Inggeris? Di universiti nanti? Apa saudara fikir semua pelajar di Malaysia nanti akan mengambil bidang sains dan matematik walaupun mereka tidak berminat?

Perkasakan dahulu penguasaan sains dan matematik dalam bahasa ibunda. Di samping itu, subjek Bahasa Inggeris itu sendiri yang perlu dikaji cara pengajarannya.

Jika mereka sudah menguasai sains dan matematik yang diajar dalam bahasa ibunda dan juga Bahasa Inggeris yang diajar dengan teknik yang betul, saya fikir tiada masalah besar untuk sesiapa yang ingin melanjutkan pengajian mereka dalam sains dan matematik ke peringkat yang lebih tinggi walaupun terpaksa belajar dalam Bahasa Inggeris.

Mereka sudah ada asas yang kukuh dan faham konsepnya, tinggal sahaja memahami istilahnya dalam Bahasa Inggeris. Ini berbeza dengan mereka yang sudahlah tiada asas yang kukuh dalam sains dan matematik, diajar pula dalam bahasa yang belum mereka kuasai.

Persoalannya sekarang, mereka belajar Bahasa Inggeris untuk meguasai sains dan matematik atau mereka belajar sains dan matematik untuk menguasai Bahasa Inggeris?


Photobucket
top