Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

"Malah, tidak ada bukti yang kukuh untuk menyokong dakwaan sesetengah pihak bahawa kononnya pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu akan menyebabkan para pelajar di negara ini sukar bersaing di peringkat tertinggi.” (PKPIM)

Dalam perkembangan terkini, blog
UNIKA
menyatakan bahawa Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gerakan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) akan bertindak dengan cara memobilisasi isu PPSMI (pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris).

Blog UNIKA memetik makluman jurucakap kumpulan itu yang berkata bahawa demonstrasi, risalah dan mungkin beberapa aktiviti radikal lain akan dilakukan
.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Peradaban Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sedang membentuk sebuah delegasi yang akan mengunjungi Menteri Pelajaran Malaysia di Putrajaya, selepas hari raya Aidil Adha nanti.


Delegasi ini bertujuan menyampaikan sebuah memorandum rasmi kepada Menteri Pelajaran Malaysia bagi menyatakan pendirian para akademik di UPSI tentang PPSMI, dan sekali gus meminta Menteri Pelajaran Malaysia supaya segera menghentikan taktik melambat-lambatkan dan meneutralisasikan usaha mengembalikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik dalam sistem pelajaran Malaysia.


Rombongan ini akan diketuai oleh Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Pengarah Institut Peradaban Melayu, UPSI.


Beberapa hari lepas, Malaysiakini melaporkan PKPIM menyokong penuh saranan bekas Menteri Pelajaran, Tun Abdul Rahman Yaakub supaya pengajaran matapelajaran sains dan matematik dikembalikan kepada bahasa Melayu, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara.


"Bantahan yang dibuat oleh bekas menteri pelajaran itu terhadap pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, harus diberi perhatian serius oleh semua pihak," kata Setiausaha Agung PKPIM, Khairul Anwar Shazali.


"PKPIM sejak dari awal pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam b
ahasa Inggeris, telah menyuarakan bantahan terhadap pendekatan tersebut. Dan sehingga kini PKPIM tetap tegas dengan pendirian bahawa pengajaran sains dan matematik harus dikembalikan kepada bahasa Melayu.”

Khairul berkata, PKPIM bersetuju dengan kenyataan Abdul Rahman bahawa dasar pengajaran dalam bahasa Melayu yang telah dimulakan sejak tahun 1970, telah berjaya melahirkan ramai pakar dalam bidang sains dan matematik.


Dalam penguasaan bahasa Inggeris, Khairul dipetik sebagai berkata "Bagaimanapun, penguasaan bahasa asing tersebut haruslah dibuat dengan memperkasakan kaedah pembelajaran bahasa itu sendiri, dan bukannya dengan mengorbankan subjek sains dan matematik sehingga ditukar bahasa pengantarnya.”


(Gambar kulit buku: Kedua-dua novel sains fiksyen di atas sudah saya baca. Entiti mesin cerdas yang ingin menguasai manusia. Saya akan ulas Saga Horizon sedikit masa lagi.)

2 comments:

Anonymous said...

Saya sangat bersetuju dengan perjuangan yang hendak dilakukan bagi mengembalikan martabat Bahasa Melayu di pesada negara kita yang semakin hari semakin terhakis , tercemar dan pudar kegemerlapannya. Menukar bahasa penghantar dari B. Melayu kepada B. Inggeris terhadap matapelajaran Sains & matematik adalah umpama "salahkan nyamok, kelambu dibakar".Usah mengabui mata rakyat yang cerdik dengan mewar-warkan keputusan UPSR dengan menonjol-nonjolkan pelajar yang mendapat 5A. Apa yang terjadi pada pelajar yang mendapat keputusan tercorot? Bersikap jujurlah semua pihak dan marilah semua bijak pandai, ahli akademik, ahli bahasa dan pemerintah supaya duduk semeja berbincang dan tanpa ada apa2 muslihat dan agenda untuk kepentingan diri sendiri , utamakanlah kepentingan masa depan anak bangsa kita. Adakah kita akan melihat satu hari nanti , bangsa kita sudah hilang identiti? Mana dia pejuang2 yang berkata mereka berjuang untuk melayu? Mengorbankan B. Melayu samalah seperti mengorbankan bangsa melayu.

Anonymous said...

Memang bahasa Melayu tidak ada salah dan boleh digunakan dalam pembelajaran sains dan matematik. Hanya perspektif orang cerdik pandai kita saja yg melihat ianya 'tidak tercapai' bukan oleh sebab ianya tidak boleh digunakan sebagai bahasa ilmu tetapi tidak adanya sumber bahan sains yang diterjemahkan/ditulis oleh golongan saintis ini, maka mereka menyalahkan "bahasa Melayu".


Photobucket
top