Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Majlis Fatwa Kebangsaan pada 22 Nov. 2008 (Sabtu) mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya Datuk Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam,” kata Dr Abdul Shukor Husin seperti dipetik oleh Malaysiakini.

Photobucket
Sebagai maklumat, yoga dirujuk sebagai “A Hindu discipline aimed at achieving a state of perfect spiritual insight and tranquility. Yoga is an integral part of the Hindu religion.”

Dalam laman web Hindu Wisdom ada dinyatakan: “There is a saying: “There is no Yoga without Hinduism and no Hinduism without Yoga." The country of origin of Yoga is undoubtedly India, where for many hundreds of years it has been a part of man's activities directed towards higher spiritual achievements. The Yoga Philosophy is peculiar to the Hindus, and no trace of it is found in any other nation, ancient or modern.

“It was the fruit of the highest intellectual and spiritual development. The history of Yoga is long and ancient. The earliest Vedic texts, the Brahmanas, bear witness to the existence of ascetic practices (tapas) and the vedic Samhitas contain some references, to ascetics, namely the Munis or Kesins and the Vratyas.” (Hindu Wisdom)

Yoga juga bermaksud begini: “Yoga is from the Sanskrit word 'Yug' meaning union (with the Divine. Today it is often translated to mean union of the body, mind, and spirit.”

Dalam perkembangan berkaitan Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd Wahid ketika dihubungi berkata, Majlis Agama Negeri Selangor akan bermesyuarat pada 2 dan 3 Disember ini itu membincangkan secara khusus mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan semalam. (Dipetik dari mStar Online)

“Sesuatu fatwa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mendapat kelulusan Majlis Agama Islam negeri sebelum dibawa kepada perkenaan Sultan. Selepas mendapat perkenan Sultan, baru ia boleh diwartakan,” kata Mufti Selangor.

Tambahnya, proses mewartakan sesuatu fatwa itu akan mengambil masa kira-kira dua bulan jika tidak ada sebarang penangguhan. “Jika tiada banyak bantahan dan mendapat kelulusan Majlis Agama Islam negeri dan dapat perkenaan Sultan, dalam masa dua bulan ia (fatwa) akan dapat diwartakan,” katanya.

Jadi saya harap masyarakat Islam tidak mempertikaikan dan seterusnya ingkar dengan fatwa ini. Harus diingat bahawa ahli-ahli dalam Majlis Fatwa Kebangsaan merupakan mereka yang faham dalam bidang masing-masing, insyaallah. Keputusan ini adalah bagi menjaga kepentingan syariat Islam supaya tidak bercampur dengan elemen-elemen lain.

Namun seperti yang kita tahu dan amalkan, kerajaan Malaysia dan pastinya agama Islam tidak melarang penganut agama Hindu dan lain-lain dari mengamalkan senaman yoga ini. Itu hak mereka.

Jurucakap Sisters of Islam, Norhayati Kaprawi memberi komen, “I don't think it had caused any Muslim to convert to Hinduism, neither has it weakened their faith.” Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman menyeru pengguna Islam di negara ini agar menerima dengan terbuka keputusan yang diumumkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Saya sarankan mereka terima dengan terbuka keputusan Majlis Fatwa. Mereka lebih bijak dan pakar dalam menentukan hukum sesuatu perkara itu. Kita wajib berpegang kepada al-Quran dan As-Sunnah serta hukum qiyas yang diguna pakai oleh Majlis Fatwa dalam mengeluarkan fatwa,” katanya.

Jelas beliau, yoga merupakan satu amalan yang sinonim dengan agama Hindu. “Aspek pergerakan dan bacaan mentera yang diguna pakai dalam amalan yoga boleh menghakis akidah umat Islam, jadi jalan terbaik untuknya adalah menjauhi amalan tersebut.”

1 comments:

Isma Ae Mohamad said...

Saya hampir hendak beli buku yoga yang diterbit sebuah syarikat penerbitan tempatan. Sahaja hendak tahu bukan nak amal.


Photobucket
top