Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Majalah Dewan Masyarakat keluaran Oktober 2008 ada memaparkan data dan fenomena yang menakutkan di negara kita yang tercinta ini. Dalam artikel bertajuk “Malam Kuala Lumpur Semakin Menggila”, penulis membentangkan fakta bahawa ” pada 8 November 2005 dianggarkan sekurang-kurangnya 150 ribu wanita terlibat dalam kegiatan pelacuran di Malaysia. Daripada jumlah itu sekurang-kurangnya 10-15 ribu orang pelacur berada di Kuala Lumpur.”

Saya petik komentar ini dari blog sahabat, Lindaamri, salah seorang ahli RAM FC (kelab pembaca novel Ramlee Awang Murshid).

“Berdasarkan kaji selidik penulis rencana ini, dominasi pelacur di ibu kota sekarang bukan lagi terdiri daripada pelacur kelas bawahan yang bersarang di Lorong Haji Taib dan chow Kit seperti 10-20 tahun dahulu. Sebaliknya, pelacur di KL sudah dimonopoli pelacur kelas menengah yang kebanyakan beroperasi di pusat spa dan urut di hotel mahupun premis persendirian.

Fakta yang lebih mengejutkan saya adalah anggaran pendapatan hasil aktiviti pelacuran ini. Purata harga “caj perkhidmatan” yang dikenakan oleh pelacur kelas menengah kepada seorang pelanggan adalah antara RM100 hingga RM250.

Dengan anggaran jumlah pelacur seramai 10 ribu orang dan lima ribu daripada jumlah ini adalah pelacur kelas menengah yang beroperasi setiap hari serta secara purata seorang pelacur dilanggan oleh tiga orang pelanggan, maka jumlah wang urus niaga seks paling minimum di KL sahaja mencatatkan RM1.5 juta sehari, RM45 juta sebulan dan RM5.4 billion setahun. Jumlah ini lima kali ganda lebih besar daripada peruntukan dalam Belanjawan 2009 untuk membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk miskin di Sabah dan Sarawak!”

Malaysia negara Islamkah? Kata Lindaamri dalam blognya:

“Pada ketika saya melihat anggaran pendapatan inilah pelbagai persoalan menerjah fikiran saya sekaligus meragui status Malaysia sebagai Negara Islam. Adakah wajar Malaysia diiktiraf sebagai Negara Islam sedangkan maksiat bermaharaja lela di hadapan mata? Sekiranya ada yang memberikan jawapan – penguatkuasaan ada dilaksanakan tetapi menurut fakta dalam rencana ini – sekurang-kurangnya sebanyak 843 serbuan sudah dibuat di pusat pelacuran di KL dan sebanyak 1309 orang pelacur berjaya diberkas (data Bukit Aman setakat 30 Jun 2008). Angka ini cuma 13.1 peratus daripada jumlah anggaran 10 ribu orang pelacur di KL.

Sememangnya sungguh menyedihkan. Adakah kerajaan sekadar memerhati tanpa mengambil sebarang tindakan drastik sambil menikmati hasil lumayan aktiviti maksiat ini? Apakah jaminan masa hadapan generasi akan datang Malaysia yang lebih terdedah kepada gejala maksiat yang lebih teruk sekiranya perkara ini tidak dibendung? Lebih menyedihkan lagi aktiviti maksiat ini telah menular di dalam Internet dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sendiri tidak boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap beberapa pengendali laman web lucah kerana mereka beroperasi secara sah mengikut undang-undang.”

Artikel penuh di sini: Lindaamri

2 comments:

lizz said...

hai..im not proud dengan jumlah pelacur ni tapi..tak boleh nak tuding jari pade diorg semate2. Kite bukan berade ditempat mereke. sure ade sebab..

Anonymous said...

Kenapa kita tidak boleh menuding jari pada mereka? Mereka adalah pemimpin kita, yang kita pilih melalui sistem demokrasi. Sewajarnya, mereka seharusnya memerintah menurut landasan yang benar. Apakah landasan yang benar? Landasan yang telah disediakan oleh Allah s.w.t. Mungkin benar mereka mempunyai sebab untuk membiarkan sahaja perkara ini berlaku tetapi mereka jangan lupa Allah juga mempunyai sebab untuk tidak merahmati mereka kerana mereka telah gagal menjadi pemimpin yang 'alim dan adil.


Photobucket
top