Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Photobucket

Di Kampung Pandan Dalam, ada sebuah dewan yang dibina khusus untuk didirikan sebuah perpustakaan atau pusat kegiatan ilmu. Sejak saya mendiami kampung ini, kerap kali saya melalui jalan yang menempatkan dewan tersebut.

Seingat saya dewan ini ada diwar-warkan sebagai pusat teknologi maklumat, tetapi apa yang saya lihat ialah sebuah premis yang terbiar dan atapnya senget sebelah.Untuk makluman rakan-rakan, Kg. Pandan Dalam terletak di Selangor di bawah seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Sempadannya ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kampung ini merupakan satu penempatan tradisional di pinggir bandar yang penduduknya orang Melayu. Ianya boleh diumpamakan seperti Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Atas usaha ADUN Chempaka, YB Iskandar Abdul Samad, dewan ini telah bertukar wajah. Menurut kata Iskandar, beliau memberi notis 7 hari kepada Perbadanan Perpustakaan Negeri Selangor supaya sebuah perpustakaan desa didirikan di situ.

Photobucket
Alhamdulillah, tanggal 19 Julai 2008, dewan orang ramai yang terletak di Jalan H, Kampung Pandan Dalam, Selangor telah diubah suai menjadi Perpustakaan Desa Kg. Pandan. Majlis perasmian khutub-khanah ini telah dirasmikan oleh YB Iskandar. Ramai yang hadir, termasuk saya dan anak-anak.

Dalam ucapannya, Iskandar berkata bahawa banyak program lain bakal diadakan, termasuk menyediakan kemudahan akses internet. Menurut beliau, semua program akan menjurus kepada kegiatan kelimuan.


“Aset utama ialah rakyat yang berilmu,” kata Iskandar. Beliau seterusnya menegaskan bahawa inisiatif akan diambil untuk mewujudkan pusat warisan dan budaya di dewan tersebut. Beliau mahu supaya orang luar tahu bahawa Kg. Pandan juga memiliki warisan budaya yang boleh diketengahkan seperti mana Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Namun dalam masa yang sama Iskandar tidak mahu melihat Kg. Pandan dikenali sebagai ‘little Jakarta.

Sebagai tanda sokongan, saya dan anak-anak mendaftar menjadi ahli Perpustakaan Desa Kampung Pandan pada hari pelancaran. Buku-buku PTS turut dijual semasa majlis pelancaran perpustakaan ini.

Photobucket

0 comments:


Photobucket
top