Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Sewaktu menziarahi emak saya di kampung pada hari Jumaat yang lepas, emak mengajak saya ke bandar Jerantut menemani beliau bagi urusan perbankan. Usai urusan perbankan, destinasi kedua ialah ke kedai buku. Sebenarnya saya teringat mengenai kedai buku tersebut justeru kerana itulah satu-satunya toko buku yang ada di Jerantut. Nama kedai buku tersebut ialah Toko Buku Dian.

Di era persekolahan dan pengajian saya di universiti, tatkala saya pulang ke kampung, kedai buku itulah yang sering saya kunjungi. Sekarang ini kedai tersebut sarat dengan buku. Memang agak lengkap koleksi buku-bukunya; dari buku pra-sekolah, novel-novel, sehingga buku-buku rujukan Islam.

Selain membeli buku-buku ulangkaji untuk adik saya yang akan mengambil SPM tahun ini, tarikan saya ialah terhadap longgokan buku yang dijual murah. Saya membeli buku “Budaya Usahawan” oleh Muhamad Salleh Majid dengan harga hanya RM4.00 sahaja (Harga asal ialah RM24.00). Buku ini diterbitkan oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, tahun 2003.

Walaupun buku ini diterbitkan pada tahun 2003, saya kira, banyak isinya masih lagi relevan untuk masa kini. Saya baru membaca bab 1, “Menggalakkan Siswazah Menjadi Majikan”. Paling menarik ialah pernyataan di perenggan akhir; “Elok bagi mereka mengalami pahit maung alam perniagaan pada awal umur dan jadikan sebagai teladan untuk kejayaan masa depan. Lagipun, ramai yang berjaya hari ini terpaksa diisytihar muflis sebelum berjaya.” Benar kah?

2 comments:

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Toko Buku Dian juga tempat saya mencari buku sejak kecil.Dulu hanya berjalan kaki melintasi Stesen Keretapi.Kini naik kereta, 4minit sampailah ke situ.

Anonymous said...

Dr Bubbles,

Terima kasih di atas komen sdr terhadap entri ini. Ya naik kereta, tapi saya dari tempat lain, makan masa lebih kurang 20 minit memandu.


Photobucket
top