Blog ini membicarakan soal buku, bahasa dan dunia penerbitan secara khusus. Ini sebagai dedikasi kecintaan saya terhadap buku dan ilmu. Semoga bermanfaat untuk semua. Dalam masa yang sama ia juga merangkumi kembara kerjaya dan persoalan kehidupan.

Minggu pertama bulan Mac 2008 membantutkan sedikit aktiviti pembacaan saya. Ini justeru kerana beberapa faktor iaitu pilihanraya umum ke-12, majlis perkahwinan adik ipar saya dan bisnes katering. Saya masih lagi belum selesai membaca buku “Tumit Achilles dan Lain-Lain Esei” oleh Khalid Jaafar dan Sins of The Father, The Life & Crime of George Bush, Sr (setebal 913 halaman). Buku pertama oleh saudara Khalid Jaafar yang diterbitkan pada tahun 2003 oleh Institut Kajian Dasar, insyaAllah akan saya habiskan sedikit masa lagi (walaupun bahasa Melayu yang digunakan, saya kira, dalam keadaan agak ‘tergesa-gesa’ dan banyak kesalahan ejaan).

Di entri ini saya ingin mengatakan suatu perkara, iaitu tabiat membaca. Ke mana sahaja saya pergi, pasti sebuah buku akan dibawa. Begitu juga ketika membuat penghantaran makanan ke premis klien. Dalam kesibukan menguruskan bisnes katering yang turut melibatkan penghantaran makanan, penyediaan hidangan di premis klien dan juga memantau keseluruhan proses, saya akan cuba mencuri masa bersama buku yang dibawa. Saya tidak gemar menghabiskan masa tanpa aktiviti membaca, walaupun semasa menunggu ketibaan rakan di restoran.

Buku menjadikan saya tidak bosan. Masa terluang digunakan sepenuhnya dengan aktiviti membaca. Tatkala mengalami stres lantaran faktor-faktor tertentu, selain solat dan mengaji al-Quran, membaca buku boleh meredakannya. Saudara dan rakan-rakan boleh cuba, insyaAllah berkesan.

2 comments:

Muhabir Ibrahim said...

salam. Memang benar apa yang saudara kata. Saya amat bersetuju. Namun budaya orang kita menjadi sebaliknya. Mereka membazirkan sesuatu yang berharga dengan meninggalkan sesuatu yang paling bermanfaat. Apa boleh buat. Mereka terlalu leka dengan hiburan dan keseronokan yang melalaikan.

Web Sutera said...

Sdr Mal,

Bangsa kita ada yang leka dengan hiburan dan keseronokan dunia. Bukan sahaja membazir masa dengan aktiviti yang kurang berfaedah, malah ada yang melakukan perkara yang merugikan kehidupan akhirat yang pasti akan kita tempohi.

Sama-sama kita berganding bahu dan usaha cuba membetulkan setakat terdaya.


Photobucket
top